Saturday, April 11, 2009

Kabinet Baru - Antara Doa dan Harapan

Malaysia telahpun mempunyai kabinet baru bermula 9 April lepas. Rombakan besar-besaran kabinet seperti yang dicanangkan akhirnya tidak berlaku.

Melihatkan kepada tokoh-tokoh yang ada dalam barisan BN sekarang, agak ketara bahawa mereka begitu ketandusan individu yang berkualiti untuk dipilih sebagai pemimpin. Jika dilihat kepada barisan MT contohnya, terlalu ramai yang mempunyai rekod yang tidak begitu bersih dan dikaitkan dengan politik wang, dan memang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kabinet. A. Kadir Jasin dalam blognya, the Scribe telah memberikan penilaiannya ke atas MT UMNO seperti berikut:

'Second, I damned them. When I was asked on RTM’s TV1 on April 3 if Mohd Najib has enough capable people in the Supreme Council to fill his Cabinet, I said (in bahasa Melayu):
Ada sesetengah mereka kalau mandi limau, mandi bunga dan mandi sintuk sekalipun masih tidak layak dilantik menganggotai Kabinet.”

Presiden UMNO tentunya akan risau dengan penilaian sebegini ke atas barisan kepimpinan partinya ini. Senarai kabinet baru juga mengenengahkan 3 orang menteri dan 7 timbalan menteri yang bukan merupakan ahli parlimen. Betapa tidak berkualitinya lapisan atas parti pemerintah sekarang.

Premis entry kali ini adalah berdasarkan kepada pepatah Arab yang menyebut:

'Tidak semua yang dikehendaki seseorang itu dia akan dapat,
Angin yang bertiup ada masanya tidak mengikut kehendak kapal layar'

Sebagai rakyat negara ini, saya menaruh harapan agar kabinet ini dapat memberikan yang terbaik untuk negara ini. Arah angin sekarang bukanlah seperti yang kita harap-harapkan, tetapi dalam masa yang sama kita amat berharap yang kapal ini akan selamat.

Saya agak merasa lega bila beberapa orang dalam MT yang mempunyai rekod yang tidak baik telah tidak terpilih dalam kabinet. Semoga yang tidak terpilih ini tidak menjadi Raja Mendeliar ataupun Si Kitul yang akan memusnahkan negara ini. Saya juga merasa agak gembira bila beberapa orang yang merupakan antara mereka yang mempunyai rekod kerja yang baik telah dipilih. Misalnya DS Shahrizat telah kembali semula ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, satu kementerian yang seperti tidak mempunyai menteri semasa di bawah Dr Ng Yen Yen. Begitu juga dengan pelantikan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan II yang diharap dapat memberikan idea-idea bernas dalam menangani masalah ekonomi negara sekarang. Pengekalan DS Dr Rais Yatim sebagai menteri adalah satu tindakan yang baik, sebagaimana juga pelantikan Datuk Mustapa Mohamed, seorang economist mengepalai MITI adalah juga sesuatu yang tepat.

Harapan saya semoga semua mereka ini dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk negara tercinta ini. Itulah harapan saya, tetapi doa saya tidak sama dengan harapan saya. Doa saya adalah semoga dalam masa beberapa tahun lagi, arah angin akan berubah, dan kita nanti mempunyai nakhoda dan anak kapal yang baru bagi mengemudi kapal ini.

Insya Allah.


1 comment:

Prof. Era Pasca said...

salam penulis dan pembaca..
harapan tinggal harapan.. 50 tahun sudah berlalu kini mahukan reformasi bukannye transformasi kartun...

nak minta penjelasan kiranya anda boleh memperjelaskan sedikit hal undang2 MALAYSIA... bukan nak ajak bergaduh.. hehehe

link yg terlibat:
http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/04/nik-aziz-bela-dap.html

 

blogger widget
Touchsmart PC