Sunday, April 5, 2009

Barisan Ampuh atau Barisan Ampu?

Akhirnya tercapai sudah impian Najib untuk menjadi seorang PM. Akhirnya penantiannya (atau penantian Rosmah) selama ini tamat sudah. Akhirnya teori RAHMAN terbukti menjadi kenyataan.

Semasa merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri baru-baru ini, Najib telah berkata: ''Safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi''.

Berdasarkan kepada keputusan perhimpunan agung UMNO 2009 baru-baru ini, kita tidak pasti sama ada barisan kepimpinan negara nanti adalah yang ampuh atau tidak. Satu soalan yang timbul ialah adakah mereka yang dipilih ini adalah yang terbaik di kalangan anggota UMNO. Berdasarkan senarai ahli Majlis Tertinggi dan Pemuda yang dipilih, nampaknya prospek untuk kita dipimpin oleh 'the best' begitu kabur sekali.

Cuba kita perhatikan beberapa nama yang terpilih dalam Majlis Tertinggi ini. Muka-muka seperti Bung Mokhtar Radin yang lebih terkenal dengan sikap merapunya dan bercakap lucah dalam Parlimen telah terpilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi. Begitu juga Tajuddin Abdul Rahman yang mempunyai reputasi 'racist' dan juga tidak lari dari mengeluarkan kata-kata lucah dalam Parlimen, dan beliau boleh dikategorikan sebagai ultra-nationalist atau ultra Malay. Terdapat juga individu yang bermasalah yang terpilih seperti Hamzah Zainuddin, yang pernah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar RM11 juta kepada bekas isterinya (jika mahkamah memutuskan jumlah itu, hartanya mestilah tidak kurang dari RM22 juta, satu 'pencapaian' yang hebat untuk seorang pengerusi FELCRA). Ada juga seorang bekas menteri yang dikatakan terlibat dalam kes mencabul kehormatan di sebuah hotel di KL Sentral, tapi masih terpilih menduduki Majlis Tertinggi. Kesemua mereka ini hanyalah ahli-ahli Parlimen dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet. Jika Najib meletakkan kriteria sebagai menteri ialah ahli MT, maka kita mungkin akan dipimpin oleh satu barisan pengampu, dan bukannya barisan yang ampuh.

Jika dilihat kepada keputusan perwakilan Pemuda UMNO, dapatlah disimpulkan bahawa lebih dari 500 Pemuda UMNO tidak meletakkan sebarang sensitiviti kepada seriusnya politik wang dalam UMNO bila mereka melantik seorang yang telah terbukti terlibat dalam rasuah politik sebagai Ketua Pemuda. Begitu juga dengan calon nombor 2, Dr Khir Toyo yang juga telah disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana masalah yang sama. Khairi telah mendapat 304 undi, sementara Khir Toyo mendapat 254 undi, menjadikan sejumlah total 558 pemuda yang mempunyai persepsi yang kabur dan 'tidak apa' tentang rasuah.

Nampaknya individu-individu yang tidak dikaitkan dengan rasuah politik seperti Rais Yatim dan Shahrir Samad tidak mendapat tempat dalam kepemimpinan UMNO sekarang. Apakah implikasi yang boleh difikirkan dari senario ini? Dalam beberapa tahun mendatang, kita mungkin akan dipimpin oleh manusia-manusia perasuah yang akan menjadikan wang sebagai alat untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Tidak berapa lama dahulu, kita dikejutkan dengan satu 'survey' yang menyatakan bahawa 30.5% pelajar universiti kita sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian. Kesimpulannya, dalam beberapa tahun mendatang kita akan mendapat satu kombinasi kepimpinan yang korup yang akan dibantu oleh para pentadbir dan pegawai kerajaan/swasta yang langsung tidak mempunyai integriti. Satu 'ingredient' yang mengerikan ke arah keruntuhan satu bangsa negara.

Teori RAHMAN telahpun berlaku. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengeluarkan satu teori baru untuk kepimpinan akan datang. Bagaimana dengan teori HADI, dan kita memulakan dengan Husam. Saya tidak pasti siapakah A itu, tapi saya berharap D itu ialah Dr Dzulkifli Ahmad, pakar toxicology yang pastinya akan menyahtoksikkan semua unsur-unsur negatif dalam masyarakat kita.

Insya Allah.


No comments:

 

blogger widget
Touchsmart PC