Monday, August 31, 2009

Antara Dua Darjat

Selamat menempuh fasa kedua Ramadhan - Fasa Maghfirah.

(i)


Di antara rancangan radio yang selalu saya dengar semasa memandu ke pejabat ialah Selangor fm, dan rancangan yang saya jarang 'miss' ialah 'secawan kopi sepotong kueh' setiap jam 8.00 pagi hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Ruangan ini memaparkan sketsa kehidupan berdasarkan pengalaman DJ Zainal Rahman (atau lebih dikenali sebagai Jenal anak Pak Rahman). Mendengar sketsa kehidupan yang dipaparkan oleh DJ kadang-kadang begitu mencuit perasaan dan memberi kesedaran kepada kita.

Di antara sketsa yang masih saya ingat ialah pengalaman DJ ini di satu petang di bazar Ramadhan di Shah Alam. Sedang DJ ini sibuk membeli juadah berbuka puasa, dia terlihat dua orang anak kecil yang sedang berbincang sesuatu. DJ ini mendekati kedua anak ini dan bertanyakan masalah mereka. Rupanya anak-anak ini sedang berbincang apa yang akan dibeli dengan duit RM2.00 yang diberi oleh ibu mereka. Kata si abang 'Saya nak kuih yang ini, tapi adik saya nak kuih yang itu, sedangkan duit tak cukup. Ini pun pertama kali mak bagi duit sebab kami teringin sangat nak merasa kuih di bazar Ramadhan ni'.

Menyambung sketsa ini dalam alunan suara yang macam tersekat-sekat, DJ ini bertanyakan mana ayah mereka. Jawab mereka 'ayah kerja waktu malam, buruh kasar'.

(ii)


Setiap Ramadhan, ada saja jemputan yang saya terima untuk berbuka puasa. Kalau boleh cari alasan, saya akan cuba menolak, tapi ada kalanya memang tak dapat elak. Tempat berbuka puasa pula agak mewah, dan bagi saya langsung tidak reflect spirit Ramadhan. Lebih kepada self-indulgence dan mungkin lebih ke arah haram. Caj satu kepala at least RM70.00, dan ada yang sampai RM150.00.

Saya masih ingat semasa satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di KL, saya memerhatikan kereta-kereta mewah dengan kanak-kanak di belakang (chauffeur-driven) masuk untuk berbuka puasa. Bukan satu atau dua kereta, lebih dari 10 kereta dengan membawa anak-anak. Terfikir dalam kepala saya, adakah cara bermewah begini yang ingin ditanam dalam diri anak-anak elit Melayu ini, dan apakah roh Ramadhan yang mereka akan dapat?

(iii)

وَفِىٓ أَمۡوَٲلِهِمۡ حَقٌّ۬ لِّلسَّآٮِٕلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ

'Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)'

Hayatilah ayat di atas dan amalkannya lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini. Jangan jadikan darjat puasa kita sama dengan golongan no. 2 di atas.

Saturday, August 29, 2009

'Cow' Itu Lembu'

Maka seramai 50 orang penduduk Seksyen 23 Shah Alam telah mengadakan demonstrasi semalam bagi membantah pembinaan kuil di seksyen tersebut, siap dengan mengusung kepala lembu dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK.

Isu kuil ini telahpun lama diperbincangkan oleh pelbagai peringkat. Mengulas isu ini, Noh Omar telah menyatakan bahawa kerajaan PR tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

Apa yang seakan-akan dilupakan ialah kuil ini adalah tapak baru bagi kuil di Seksyen 19 yang akan dipindahkan. Tapak kuil di seksyen 19 itu terlalu dekat dengan kawasan kediaman, dan dikelilingi rumah yang majoritinya Melayu/Islam. Setiap hari buka pintu rumah, benda pertama yang nampak ialah kuil yang tidak sampai 20 kaki depan rumah (dengan patung kudanya dll) (dan melalui kawasan tersebut selepas pulang dari rumah kawan saya yang berdekatan semasa larut malam adalah sesuatu yang amat tidak menyenangkan). Ini telahpun berterusan lebih 20 tahun, dan tiada apa yang dilakukan oleh Ahmad Razali, Mat Taib, Abu Hasan Omar dan Khir Toyo bagi mengatasi masalah ini. Semasa penjualan rumah oleh PKNS lebih 20 tahun dulu, kedudukan kuil tidak ditunjukkan dalam plan lokasi, dan penduduk hanya menyedarinya selepas pindah ke rumah baru mereka. Lebih 20 tahun dulu, banyak lagi tanah lapang di Shah Alam, dan mencapai kompromi untuk memindahkan kuil itu mungkin lebih senang. Jadi kejayaan kerajaan PR dalam mencapai kompromi atas isu ini dan memindahkan ke tapak baru yang lebih sesuai adalah perlu dipuji, dan penduduk seksyen 19 tentunya amat berterima kasih.

Tapak baru di seksyen 23 adalah tapak industri, dan agak jauh dari kawasan perumahan. Berbeza dengan seksyen 19 yang 100% perumahan, seksyen 23 adalah 'mixed development' (kilang dan rumah). Penganut Hindu boleh terus berkeras bahawa kuil mereka di seksyen 19 telahpun ada di situ sebelum Shah Alam dibangunkan (bekas Ladang Sg Renggam), tetapi nampaknya mereka berkompromi dengan bersetuju berpindah ke seksyen 23 yang tidak begitu jauh dari tapak asal. Jaraknya lebih 200m dari kawasan perumahan, dan bukannya 20 kaki seperti di seksyen 19 sekarang.

Memikul bangkai binatang dari Masjid Negeri di bulan Ramadhan bukanlah memberikan imej yang baik kepada Islam. Mereka yang melakukannya mungkin merasakan mereka telah melakukan sesuatu untuk Islam, tanpa menyedari bahawa mereka telah mencemarkan imej Islam. AlQuran melarang mencerca tuhan-tuhan agama lain, kerana dibimbangi penganut agama lain akan mencaci balik Tuhan kita. Begitu juga dengan menghina imej suci apa-apa agama, yang mungkin akan menyebabkan mereka juga akan bertindak menghina syiar-syiar agama kita.

Muslim yang terdidik bertindak atas kefahaman yang dalam tentang asas agamanya, dan tidak bertindak tidak keruan bagaikan seekor lembu.


Friday, August 21, 2009

Ramadhan Bertamu Lagi


Selamat menyambut Ramadhan untuk semua.


Ramadhan Bertamu Lagi

Tetamu itu datang lagi, sahabat
Mengetuk pintu nafsu kita yang selalu 'asi ini
Menjanjikan hari-hari penuh rahmah
Membuka luas pintu maghfirah
Membawa bersamanya seribu barakah

Ladeni tetamu ini, sahabat
Dengan tilawah ayat-ayatNya di balik bibir kering
Basahi pipi-pipi kita dengan solat di kegelapan malam
Gembirakan fuqara' dengan tanganmu yang 'ulya
Penuhkan rumahNya dengan tasbih tahmid takbir memujiNya

Jangan abaikan tetamu ini, sahabat
Dengan tidur kita yang panjang
Dengan tilawah yang kosong dari tadabbur
Dan dengan iftar yang penuh pembaziran

Jangan malukan tetamu ini, sahabat
Dengan majlis berbuka di hotel lima bintang
dengan dibuai alunan keroncong gamelan
atas nama satu strategi perniagaan
kendatipun tuan punya wang punya segala
Kerana di sana masih ada saudara satu Ilah satu syahadah
Yang masih tidur kelaparan
Di balik dentuman bunyi bom dan senapang

Muliakan tamu ini, sahabat
Kerana ia adalah murabbi tahunan
Agungkan tamu ini, sahabat
Kerana ia juga adalah
pembawa hari-hari yang penuh rahmat
menjanjikan maghfirah atas segala kekhilafan
pembebas dari panas neraka di hari kemudian

Marhaban bika ya Ramadhaan.


Saturday, August 15, 2009

Malaysia In the Top 10

As of yesterday, deaths in our country due to H1N1 is 56, an alarming number considering our small population and cases reported. At the rate we are going, it would be very likely that we are going to surpass Thailand very soon.

What went wrong? The virus shows our vulnerability as human beings to such a small creature. As Muslims, other than taking the necessary precautionary measures, what we could do is to always 'doa' that we would be safe from this 'bala'. The pandemic is becoming more rampant, and I think during the early stage, our government was like 'fiddling while Rome burns' by not making a really effective efforts in controlling it.

And we still see the Ministry of Health's advertisement saying that 'jika anda merancang ke negara-negara yang ditimpa wabak Influenza A', sila tangguhkan perjalanan anda.....'. These words are no more relevant, WE are one of the top countries.



Saturday, August 8, 2009

AlFatihah Untuk WS Rendra

Nusantara kehilangan lagi seorang sasterawan ulung dengan kematian WS Rendra, seorang penyajak Indonesia yang juga mempunyai ramai pengikutnya di Malaysia. Marilah kita berdoa semoga segala kerja-kerja dalam bidang ini dikira Allah sebagai amal makruf dalam beliau menemui alKhaliq nanti.

Cuba hayati sajaknya yang bertajuk 'Doa Untuk Anak Cucu' ini, sambil kita juga berdoa untuknya.

DOA UNTUK ANAK CUCU
(Oleh: WS.Rendra)

Bismillaahir rahmaanir rahiim

Ya Allah
Di dalam masa yang sulit ini,
di dalam ketenangan
yang beku dan tegang

di dalam kejenuhan
yang bisa meledak menjadi keedanan
aku melihat ada muslihat
yang tak jelas juntrungannya
Ya, Allah
Aku bersujud kepadamu
Lindungilah anak cucuku

Lindungilah mereka
dari kesabaran
yang menjelma menjadi kelesuan,
dari rasa tak berdaya
yang kehilangan cita-cita

Ya, Allah
Demi ketegasan mengambil resiko
ada bangsa yang dimesinkan
atau di-zombie-kan
Ada juga yang difosilkan
atau di-antik-kan
Uang kertas menjadi topi
Bagi kepala yang berisi jerami.
Reaktor nuklir menjadi tempat ibadah
di mana bersujud kepala-kepala hampa
yang disumpal bantal tua
Kemakmuran lebih dihargai
dari kesejahteraan
Dan kekuasaan
menggantikan kebenaran
Ya, Allah
Lindungilah anak cucuku

Lindungilah mereka
dari berhala janji-janji,
dari hiburan yang dikeramatkan,
dari iklan yang dimythoskan,
dan dari sikap mata gelap
yang diserap tulang kosong

Ya, Allah
Seorang anak muda
bertanya kepada temannya
“Kemana kita pergi ?”
Dan temannya menjawab:
“Kemana saja.
Asal jangan bertanya untuk pulang.”
Daging tidak punya tulang,
untuk bertaut
Angin bertiup
menerbangkan catatan alamat
Dan rambu-rambu di jalan
Sudah dirusak orang.
Ya, Allah
Lindungilah anak cucuku

Lindungilah mereka
dari kejahatan lelucon
tentang Chernobyl dan Hirosima
dari heroin
yang diserap lewat ciuman
dari itikat buruk
yang dibungkus kertas kado
dan dari ancaman tanpa makna

Ya, Allah
Kami dengan cemas menunggu
kedatangan burung dara
yang membawa ranting zaitun
Di kaki bianglala
leluhur kami bersujud dan berdoa
Isinya persis seperti doaku ini
Lindungilah anak cucuku
Lindungilah daya hidup mereka
Lindungilah daya cipta mereka
Ya, Allah, satu-satunya Tuhan kami
Sumber dari hidup kami ini
Kuasa yang tanpa tandingan
Tempat tumpuan dan gantungan
Tak ada samanya
di seluruh semesta raya
Allah, Allah, Allah


video


_______________________________

Sunday, August 2, 2009

'Penyempurnaan' Kezaliman ISA


Justify Full

Pada 01 Ogos 2009 lepas, telah 'sempurnalah'* satu kezaliman ke atas keluarga Mat Sah Satray, seorang tahanan ISA bila isterinya, Cikgu Laila dan anaknya, Suhaib telah juga ditangkap oleh pihak berkuasa. Wanita cekal ini, yang suaminya telah diambil polis 7 tahun lalu adalah merupakan 'frontliner' dalam gerakan memansuhkan akta zalim ini.


Sehingga ke hari ini, dua beranak ini adalah di antara 69 orang yang masih ditahan reman oleh polis. Kesalahan mereka hanyalah kerana menyatakan tentangan mereka terhadap satu akta yang telah menyebabkan mereka kehilangan ketua keluarga mereka tanpa sebarang alasan diberikan. Apakah lagi yang boleh dilakukan oleh seorang isteri bila dia dipisahkan dari suami yang menjadi tempatnya bergantung? Apakah lagi yang dapat dilakukan oleh Suhaib, seorang anak remaja yang telah membesar selama 7 tahun tanpa kasih sayang seorang ayah? Peluang bertemu dengan ayahnya hanyalah bila mereka berjumpa di balik pemisah kaca di Kamunting, ataupun bila neneknya (ibu Mat Sah) sakit dan seterusnya meninggal dunia beberapa bulan lepas. Cubalah kita baca luahan hati adik Suhaib di sini.

Polis kita begitu cekap menangani kes yang membabitkan isu yang melibatkan kepentingan parti pemerintah seperti ini. Contohnya, orang tua lebih 70 tahun ini ditahan hanya kerana kesalahan memakai baju anti-ISA.
Betapa kita mengharapkan mereka juga begitu cekap dalam menangani kes-kes jenayah yang semakin hari semakin meningkat. Betapa kita mengharapkan mereka tidak bertindak keterlaluan dalam menangani perhimpunan aman yang hanya ingin menyampaikan satu protes ke atas satu akta zalim kepada Duli Tuanku. Tetapi melihatkan kepada gambar-gambar ini, kita tidak pasti siapakah yang memulakan tindakan ganas. Siapakah yang menyebabkan kedai-kedai berdekatan ditutup dan mengalami kerugian? Tentunya bukan para peserta perhimpunan, dan bukan juga Unit Amal yang mempunyai reputasi baik dalam mengawal keadaan.


Doa kita adalah bersama dengan 69 orang yang masih ditahan. Doa kita untuk keluarga Mat Sah Satray, agar terus tabah dalam mengharungi kezaliman yang berterusan menimpa mereka. Doa kita juga untuk pasukan keselamatan agar sedar bahawa tangkapan menyeluruh begini bukanlah cara yang sewajarnya, dan menggari seorang remaja bagaikan seorang penjenayah besar seperti gambar di atas tidak menghantar satu mesej yang baik kepada seluruh rakyat.



*Perkataan 'penyempurnaan' kepada satu kezaliman adalah sekadar meminjam perkataan dari lagu 'Sabra dan Shatila' oleh Allahyarham Zubair Ali. Beliau menggambarkan kezaliman Israel di Sabra dan Shatila sebagai 'menyempurnakan' kezaliman yang telah sekian lama mereka lakukan.
 

blogger widget
Touchsmart PC