Wednesday, April 29, 2009

Pesta Buku Antarabangsa 2009

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang seperti biasa diadakan di Putra World Trade Centre telahpun tamat beberapa hari lepas. Sambutan yang begitu hebat untuk pesta ini sedikit sebanyak memberikan harapan bahawa tradisi keilmuan masih segar dalam masyarakat kita. Kawasan di sekitar PWTC dipenuhi dengan kereta dan bas-bas sekolah yang membawa pengunjung ke pesta ini. Seperti tahun-tahun lepas, lebih 90% pengunjung PBAKL 2009 adalah dari kalangan orang Melayu.

Saya sempat mengunjungi pesta buku ini pada hari Sabtu dan Ahad lepas. Hari Sabtu dikhususkan untuk melayan anak-anak dengan melayan mereka membeli buku-buku yang mereka inginkan sementara hari Ahad adalah hari saya seorang diri ke sana bagi mencari buku-buku yang saya minati dengan lebih fokus tanpa sebarang 'distraction'. Tapi nampaknya kawasan ini begitu padat dengan pengunjung, menyebabkan agak sukar untuk meneliti buku-buku yang akan dibeli. Selain dari pengunjung yang datang bersama keluarga sempena hujung minggu, terdapat juga para pelajar yang datang dengan rombongan sekolah masing-masing.

Berdasarkan pengamatan saya, PBAKL ini tidak begitu mendapat publisiti sama ada di media cetak ataupun media elektronik. Mungkin bagi pihak penganjur, publisiti tidak perlu kerana semua booth telahpun 'sold out', dan mereka tidak perlu menghabiskan wang untuk publisiti selanjutnya. Sepatutnya tugas mempromosi ini diambil oleh kerajaan melalui kementerian tertentu sebagai satu tanggungjawab mereka memupuk masyarakat berilmu.

Satu perkara lagi yang diperhatikan ialah makanan dan minuman yang dijual di sini agak mahal dan begitu membebankan para pengunjung. Bayangkan secawan teh berharga RM3 sementara jus (cair) berharga RM5. Mungkin kos sewa tempat agak mahal, tetapi ini dapat diatasi dengan mengenakan sewa yang rendah semasa PBAKL. Tempat pameran ini adalah milik sebuah parti yang begitu gah memperjuangkan agenda bangsa Melayu. Tapi nampaknya mereka lebih berminat untuk membuat keuntungan maksimum dari pengunjung pesta buku ini yang rata-ratanya bangsa mereka sendiri. Bayangkan jika seorang bapa terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 untuk seorang anaknya untuk makan tengahari di situ.

Dua gelas teh dan tiga gelas jus cair ini berharga RM21

Di harap pesta buku tahun hadapan lebih diberikan publisiti oleh kerajaan, dan tidak hanya dibiarkan kepada penganjur pesta yang lebih mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan kepentingan umum. Diharapkan juga PWTC milik parti Melayu ini dapat menyumbangkan kepada golongan marhaen bangsa mereka sendiri dengan menggalakkan semua golongan masyarakat mengunjungi dan dapat menggunakan semua kemudahan di sini dengan bayaran minima. Mereka ini hanyalah golongan pekerja yang datang dengan keluarga masing-masing dan bukannya para perwakilan perhimpunan agong parti yang semua makan minum mereka ditanggung oleh para pelobi parti. Mereka ini hanya inginkan sedikit kemudahan di penjuru-penjuru kawasan PWTC dan bukannya inginkan makanan mewah di Riverside Cafe and Restaurant sepertimana para perwakilan perhimpunan parti.

Berhentilah dari hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan dari bangsa sendiri.

Sunday, April 26, 2009

Sungai Kelantan

Sungai Kelantan
aku datang lagi ke dadamu
bagi mengingati kembali zaman seorang anak
pada usia enam tahun kusapa namamu
jajat bandar selepas seharian di sekolah
kecipak air waktu mandi di bawah Tambatan Diraja
atau berperahu di dadamu dari rumah rakit tanpa faham bahaya

Sungai Kelantan
lenggokmu kadang begitu tenang
mungkin senang dengan anak bumimu
dengan Tok Janggut yang bangkit melawan kuffar
dengan Tok Kenali yang menabur ilmu di Masjid Muhammadi
dengan Tok Selehor yang penuh ubudiyyah
dengan Tok Khurasan yang pakar alQuran dan Sunna
atau dengan para ilmuan dan pejuang yang tak pernah hilang
Sungai Kelantan
ada kalanya arusmu begitu deras
bila tengkujuh monsun membanjiri bumi landai ini
pernah sekali melimpahkan bah merah di tahun 20an
seakan sudah bosan dengan manusia di pinggirmu
bila seorang mujahid digantung songsang di tebingmu
bila kuffar matahari terbit berpijak di bibirmu
bila mereka bertewah dalam satu permainan politik yang sukar ditelah
atau bila khazanah di hulumu dinodai para oportunis

Sungai Kelantan
limpahan tengkujuh monsun itu
mungkin satu zikra tahunan
untuk mengingatkan manusia di pinggirmu
agar tetap berpegang pada haq dan membuang kebatilan
jika gedebe hanyalah pada tempatnya
seperti gedebe seorang Tuan Guru Haji Nik Mat
yang menyembelih ayam laga seorang ayah
atau Tok Janggut, Pa'ia, Berahim Teleng atau Tok Nebeng Dotang
yang syahid menegakkan haq di Kampung Jeram
agar jauhi maksiat dan segala khurafat
laga ayam itu budaya manusia lagha
makyong menora itu mainan mulhidin di utara
wayang kulit itu disaluti syirik
dan dikir itu pastinya bukan zikir


Sungai Kelantan
jika limpahan airmu itu adalah perintah tahunan Tuhan
janganlah beri kami satu peringatan
yang tidak mampu kami tanggung
kerana di tebingmu ini
masih ramai yang taabbud ikhlas kepada Rabbmu
Rabb kita, Rabb yang satu



anaktimurlaut

Nota kaki:

Tahniah kepada pasukan bolasepak Kelantan kerana dapat memasukki final Piala FA, walaupun kalah malam tadi. Tahniah kerana kali ini tidak berlaku apa-apa perkara yang boleh mencacatkan pandangan orang terhadap pasukan Kelantan. Sifat gedebe rakyat Kelantan bukan dengan merusuh di padang bola. Itu 'gong' namanya. Gedebe itu ialah bila kita dapat menegakkan haq walaupun di mana kita berada dan dalam keadaan mana sekalipun. Gedebe ialah bila kita dapat menerajui konglomerat utama negara seperti mana pada tahun 80an dahulu. Gedebe ialah bila kita tidak akan berkompromi dengan kebatilan dalam bentuk apa jua pun.



Thursday, April 23, 2009

Melayu Oh Melayu

Utusan Malaysia semalam memaparkan gambar tiga selebriti yang sedang menghadapi kes-kes di mahkamah syariah, sama ada kes rumahtangga ataupun kes khalwat. Gambar ini dihidangkan di muka depan akhbar berkenaan, seolah-olah kes-kes ini merupakan isu besar yang perlu diambil perhatian serius oleh para pembaca, yang tentunya terdiri dari orang Melayu.
Justify FullMedia arus perdana memainkan peranan yang penting dalam membentuk pemikiran masyarakat, dan apa yang dibaca oleh masyarakat adalah menggambarkan tahap pemikiran mereka. Jika penumpuan kita hanyalah kepada cerita-cerita sensasi artis, tahap pemikiran kita adalah pada tahap yang terlalu rendah. Media perdana terus menyumbang kepada tahap pemikiran yang rendah dengan menyajikan cerita-cerita yang langsung tidak membantu membina tahap intelektualisme bangsa kita, demi kerana mencapai volume jualan yang tinggi.

Dari satu aspek yang lain, kita semacam membina budaya mensensasikan dan menghebohkan cerita-cerita peribadi. Masalah rumahtangga adalah sesuatu yang begitu personal dan tidak sepatutnya dihebohkan, dan Islam melarang kita untuk membuka 'pekong' orang lain. Trend ini telah menjadi satu budaya masyarakat kita, dan ianya dipaparkan di media cetak dan juga elektronik.

Fenomena sekarang ialah kita diberikan bacaan sensasi dan murahan dalam media cetak. Dalam media elektronik pula kita dihidangkan dengan program-program mengarut dan juga telenovela, terutamanya dari negara jiran, yang langsung tidak menyumbang kepada pembangunan minda. Sekarang ini program televisyen kita dibanjiri pula dengan cerita-cerita tahyul yang hampir disiarkan setiap malam.

Kita semua sedar yang kita sedang menghadapi masalah generasi muda yang tidak suka membaca, dan graduan kita mempunyai tahap intelektualisme yang rendah, tetapi dalam masa yang sama media kita (terutamanya media berbahasa Malaysia) langsung tidak membantu dalam mempertingkatkan tahap pemikiran masyarakat. Beberapa orang jurutera di pejabat saya contohnya, lebih cenderung untuk membaca Harian Metro di awal pagi dan biasanya tidak akan menyentuh akhbar-akhbar lain yang agak 'heavy', dan bila diajak berbincang tentang isu-isu semasa, mereka nampaknya begitu 'blank' dan hanya mampu tersenyum.

Kita memang memilih untuk terus menjadikan masyarakat kita dan generasi depan terus mengalami kemandoman ilmu dan ketandusan intelektualisme dengan tidak membantu menyuburkan kewujudan suasana keilmuan. Itulah sebabnya program yang bersifat 'lagha' dan hiburan lebih diminati oleh generasi sekarang dibandingkan dengan program-program yang mampu menyuburkan minda mereka. Mungkin program sedemikian sudah menjadi salah satu dari pelan pendidikan kita.

Monday, April 20, 2009

Satu Penantian Untuk Penanti

Nampaknya terdapat perbezaan pendapat di antara Presiden UMNO dan Mursyidul Am UMNO sama ada mereka perlu bertanding atau tidak dalam pilihanraya kecil Penanti nanti. Tiba-tiba kita lihat mereka menjadi begitu prihatin tentang perbelanjaan beberapa pilihanraya kecil lepas yang dikatakan telah menelan belanja lebih RM2 juta.

Apalah sangat angka sebanyak itu jika dibandingkan perbelanjaan untuk projek angkasawan yang mencecah hampir RM100 juta. Apalah sangat angka sebanyak itu jika dibandingkan dengan duit yang ditaburkan semasa perhimpunan UMNO lepas. Berapa sangatlah jumlah itu jika dibandingkan dengan RM7.1 juta yang terpaksa dibayar oleh Osu Haji Sukam kepada kasino di UK. Jumlah itu juga amat kecil jika dibandingkan dengan wang yang dibayar kepada kontraktor untuk projek 'mee segera' yang pastinya pada harga yang di'inflate'kan.

Kak Tijah, ketua cawangan UMNO seksyen berdekatan tentunya akan memprotes jika UMNO memilih untuk tidak bertanding dalam PRK Penanti nanti. Sejak beberapa bulan ini, hidup Kak Tijah begitu 'lumayan' kerana biasanya beliau akan dapat sekitar RM500 untuk turut serta berkempen dalam beberapa PRK lepas. Tak tahulah berapa yang diperolehi oleh Ketua Bahagian ataupun pemimpin UMNO yang 'ranking'nya agak tinggi. Dalam PRK lah masa duit akan ditaburkan, dan masa sebegini adalah merupakan 'harvesting season' untuk Kak Tijah dan orang-orangnya. Motto Kak Tijah ialah 'kita sokong siapa yang bagi duit kat kita'.

Penanti adalah satu lagi penantian untuk Kak Tijah. Tapi biasanya semasa hari pengundian, beliau akan balik agak awal dan meninggalkan pondok panas parti kosong sebelum tengahari. Katanya, duit dah dapat, tunggu apa lagi. Masa berikutnya adalah untuk shopping.

Presiden UMNO tentunya akan menjadikan Kak Tijah hampa jika beliau memilih untuk tidak meletakkan calon nanti di Penanti, dan penantian Kak Tijah untuk 'menuai' duit seterusnya menjadi lebih panjang.

Wang atau bangsa? Pilihan Kak Tijah adalah jelas.





Thursday, April 16, 2009

Between Bangkok and Pattani

At last, the anti-government protesters in Thailand have ended their violent demonstration in Bangkok. The violent clashes ended with only two people dead and almost one hundred injured. The military was reported to have shown extreme restraint in handling the violent protest, resulting in minimum casualties.

It was reported that the protesters even resorted to damage government buildings and burn cars and buses, with some of them armed with sticks, stones and slingshots to battle with Thai authority.

Thai military should be commended for handling the protesters in a very professional manner.

How I wish that the military had shown similar restraint in handling Takbai protesters in October 25, 2004, who were mostly villagers and at most, only noisy protesters.

How I wish that the Tak Bai protesters had been allowed to disperse peacefully, just like the Red Shirt protesters in Bangkok last few days, and not to be beaten and rounded up and their bodies were stacked into trucks, resulting in many of them suffocated and died.

How I wish that those in the red brick Krue Se mosque in April 28, 2004 had been only surrounded for few days just like the 2,000 Red Shirt protesters who occupied government buildings from March 26. How I wish that those in Krue Se mosque not to be shot by heavily-armed security forces, with most of them were shot in the head, and there were signs that rope had been tied around their wrists.

Oh, my wishful thinking.




Saturday, April 11, 2009

Kabinet Baru - Antara Doa dan Harapan

Malaysia telahpun mempunyai kabinet baru bermula 9 April lepas. Rombakan besar-besaran kabinet seperti yang dicanangkan akhirnya tidak berlaku.

Melihatkan kepada tokoh-tokoh yang ada dalam barisan BN sekarang, agak ketara bahawa mereka begitu ketandusan individu yang berkualiti untuk dipilih sebagai pemimpin. Jika dilihat kepada barisan MT contohnya, terlalu ramai yang mempunyai rekod yang tidak begitu bersih dan dikaitkan dengan politik wang, dan memang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kabinet. A. Kadir Jasin dalam blognya, the Scribe telah memberikan penilaiannya ke atas MT UMNO seperti berikut:

'Second, I damned them. When I was asked on RTM’s TV1 on April 3 if Mohd Najib has enough capable people in the Supreme Council to fill his Cabinet, I said (in bahasa Melayu):
Ada sesetengah mereka kalau mandi limau, mandi bunga dan mandi sintuk sekalipun masih tidak layak dilantik menganggotai Kabinet.”

Presiden UMNO tentunya akan risau dengan penilaian sebegini ke atas barisan kepimpinan partinya ini. Senarai kabinet baru juga mengenengahkan 3 orang menteri dan 7 timbalan menteri yang bukan merupakan ahli parlimen. Betapa tidak berkualitinya lapisan atas parti pemerintah sekarang.

Premis entry kali ini adalah berdasarkan kepada pepatah Arab yang menyebut:

'Tidak semua yang dikehendaki seseorang itu dia akan dapat,
Angin yang bertiup ada masanya tidak mengikut kehendak kapal layar'

Sebagai rakyat negara ini, saya menaruh harapan agar kabinet ini dapat memberikan yang terbaik untuk negara ini. Arah angin sekarang bukanlah seperti yang kita harap-harapkan, tetapi dalam masa yang sama kita amat berharap yang kapal ini akan selamat.

Saya agak merasa lega bila beberapa orang dalam MT yang mempunyai rekod yang tidak baik telah tidak terpilih dalam kabinet. Semoga yang tidak terpilih ini tidak menjadi Raja Mendeliar ataupun Si Kitul yang akan memusnahkan negara ini. Saya juga merasa agak gembira bila beberapa orang yang merupakan antara mereka yang mempunyai rekod kerja yang baik telah dipilih. Misalnya DS Shahrizat telah kembali semula ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, satu kementerian yang seperti tidak mempunyai menteri semasa di bawah Dr Ng Yen Yen. Begitu juga dengan pelantikan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan II yang diharap dapat memberikan idea-idea bernas dalam menangani masalah ekonomi negara sekarang. Pengekalan DS Dr Rais Yatim sebagai menteri adalah satu tindakan yang baik, sebagaimana juga pelantikan Datuk Mustapa Mohamed, seorang economist mengepalai MITI adalah juga sesuatu yang tepat.

Harapan saya semoga semua mereka ini dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk negara tercinta ini. Itulah harapan saya, tetapi doa saya tidak sama dengan harapan saya. Doa saya adalah semoga dalam masa beberapa tahun lagi, arah angin akan berubah, dan kita nanti mempunyai nakhoda dan anak kapal yang baru bagi mengemudi kapal ini.

Insya Allah.


Wednesday, April 8, 2009

Suara Dari Dua Bukit

Akhirnya para pengundi di dua bukit telah membuat keputusan pihak manakah yang mereka lebih yakini untuk terus diberikan amanah kepimpinan. Akhirnya dua bukit ini telah dengan jelas menolak kepimpinan yang masih dalam 'denial syndrome' dan masih terus lena dalam sistem korup mereka.

Akhbar hari masih cuba memberikan gambaran bahawa keputusan pilihanraya ini adalah keputusan status quo. Status quo apakah jika majoriti yang diperolehi di dua bukit adalah lebih daripada PRU lepas? PR telah menang walaupun terpaksa berdepan dengan jentera pilihanraya parti pemerintah dan semua 'big guns' yang telah turun membantu dalam pilihanraya ini.

Terdapat banyak perkara yang boleh disimpulkan dari kemenangan PR ini. Nampaknya kemasukan semula Tun Mahadhir dalam UMNO dan kemunculannya dalam kempen pilihanraya tidak memberikan sebarang kesan kepada pihak lawan. Juga rakyat nampaknya menolak kepimpinan baru UMNO yang pada mereka tidak jauh berbeza atau mungkin lebih teruk daripada rejim dahulu.

Suara yang paling kuat datang dari Bukit Gantang yang dengan jelas gemanya menyokong 'mohon derhaka'. Walaupun berbagai tuduhan dilemparkan seperti beliau ada 'affair' sehinggalah kepada perkara-perkara kecil seperti beliau tidak mempunyai Ir, Hang Jebat moden ini telah membuktikan bahawa beliau adalah pejuang hak rakyat. Majoriti yang bertambah itu adalah bukti sokongan padu rakyat kepada MB dan MP ini. Gema dari bukit ini mungkin telah sampai ke Kuala Kangsar, dan ianya akan terus bergema kerana suara itu adalah suara rakyat yang telah dinafikan hak mereka.

Di Bukit Selambau, walaupun ketokohan S Ganesan dilihat melebihi S Manikumar, namun rakyat terus bersuara menolak calon MIC ini. Jelas rakyat telah muak dengan satu parti yang dipimpin begitu lama oleh seorang yang masih beranggapan bahawa beliau masih diperlukan oleh kaum India, dan masih tidak ingin memahami isyarat yang telah diberikan oleh kaumnya untuk beliau berundur. Apapun, kebingitan dari suara dua bukit ini akan menjadikan penghuni Putrajaya mungkin tidak tidur lena, dan mungkin terus menghilangkan senyum bekas penghuni Putrajaya yang beranggapan kemasukannya semula dalam UMNO akan dapat mengubah segala-galanya.

Malangnya, PR tidak mampu untuk merubah status quo di Batang Ai. Raja Brooke moden ini begitu sukar digugat dan akan melakukan apa saja bagi mengekalkan kekuasaannya. Climate politik di Sabah dan Sarawak begitu sukar diubah. Walau bagaimanapun, semoga penduduk di Batang Ai akan mendapat bekalan air bersih sebagaimana yang dijanjikan. Semoga anak-anak mereka tidak akan berterusan berjalan ke sekolah berkaki ayam seperti sekarang. Walau bagaimanapun, ada baiknya para pengundi di Sabah dan Sarawak mengambil sedikit iktibar dari lelucon di bawah ini dalam menilai politikus mereka.
___________________________________________________________________

A politician was campaigning in a rural area. Outside a ramshackle house, he saw a young man milking a cow. He approached the man, ready to make his pitch for a vote.

Just as he was getting started, an old man called from inside the house. "Luke, get in the house. And who is that guy you're talking to?" "Says he's a politician, Pop," Luke said.

"In that case, you'd better bring the cow inside with you."




Sunday, April 5, 2009

Barisan Ampuh atau Barisan Ampu?

Akhirnya tercapai sudah impian Najib untuk menjadi seorang PM. Akhirnya penantiannya (atau penantian Rosmah) selama ini tamat sudah. Akhirnya teori RAHMAN terbukti menjadi kenyataan.

Semasa merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri baru-baru ini, Najib telah berkata: ''Safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi''.

Berdasarkan kepada keputusan perhimpunan agung UMNO 2009 baru-baru ini, kita tidak pasti sama ada barisan kepimpinan negara nanti adalah yang ampuh atau tidak. Satu soalan yang timbul ialah adakah mereka yang dipilih ini adalah yang terbaik di kalangan anggota UMNO. Berdasarkan senarai ahli Majlis Tertinggi dan Pemuda yang dipilih, nampaknya prospek untuk kita dipimpin oleh 'the best' begitu kabur sekali.

Cuba kita perhatikan beberapa nama yang terpilih dalam Majlis Tertinggi ini. Muka-muka seperti Bung Mokhtar Radin yang lebih terkenal dengan sikap merapunya dan bercakap lucah dalam Parlimen telah terpilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi. Begitu juga Tajuddin Abdul Rahman yang mempunyai reputasi 'racist' dan juga tidak lari dari mengeluarkan kata-kata lucah dalam Parlimen, dan beliau boleh dikategorikan sebagai ultra-nationalist atau ultra Malay. Terdapat juga individu yang bermasalah yang terpilih seperti Hamzah Zainuddin, yang pernah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar RM11 juta kepada bekas isterinya (jika mahkamah memutuskan jumlah itu, hartanya mestilah tidak kurang dari RM22 juta, satu 'pencapaian' yang hebat untuk seorang pengerusi FELCRA). Ada juga seorang bekas menteri yang dikatakan terlibat dalam kes mencabul kehormatan di sebuah hotel di KL Sentral, tapi masih terpilih menduduki Majlis Tertinggi. Kesemua mereka ini hanyalah ahli-ahli Parlimen dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet. Jika Najib meletakkan kriteria sebagai menteri ialah ahli MT, maka kita mungkin akan dipimpin oleh satu barisan pengampu, dan bukannya barisan yang ampuh.

Jika dilihat kepada keputusan perwakilan Pemuda UMNO, dapatlah disimpulkan bahawa lebih dari 500 Pemuda UMNO tidak meletakkan sebarang sensitiviti kepada seriusnya politik wang dalam UMNO bila mereka melantik seorang yang telah terbukti terlibat dalam rasuah politik sebagai Ketua Pemuda. Begitu juga dengan calon nombor 2, Dr Khir Toyo yang juga telah disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana masalah yang sama. Khairi telah mendapat 304 undi, sementara Khir Toyo mendapat 254 undi, menjadikan sejumlah total 558 pemuda yang mempunyai persepsi yang kabur dan 'tidak apa' tentang rasuah.

Nampaknya individu-individu yang tidak dikaitkan dengan rasuah politik seperti Rais Yatim dan Shahrir Samad tidak mendapat tempat dalam kepemimpinan UMNO sekarang. Apakah implikasi yang boleh difikirkan dari senario ini? Dalam beberapa tahun mendatang, kita mungkin akan dipimpin oleh manusia-manusia perasuah yang akan menjadikan wang sebagai alat untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Tidak berapa lama dahulu, kita dikejutkan dengan satu 'survey' yang menyatakan bahawa 30.5% pelajar universiti kita sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian. Kesimpulannya, dalam beberapa tahun mendatang kita akan mendapat satu kombinasi kepimpinan yang korup yang akan dibantu oleh para pentadbir dan pegawai kerajaan/swasta yang langsung tidak mempunyai integriti. Satu 'ingredient' yang mengerikan ke arah keruntuhan satu bangsa negara.

Teori RAHMAN telahpun berlaku. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengeluarkan satu teori baru untuk kepimpinan akan datang. Bagaimana dengan teori HADI, dan kita memulakan dengan Husam. Saya tidak pasti siapakah A itu, tapi saya berharap D itu ialah Dr Dzulkifli Ahmad, pakar toxicology yang pastinya akan menyahtoksikkan semua unsur-unsur negatif dalam masyarakat kita.

Insya Allah.


 

blogger widget
Touchsmart PC