(i)
Dalam meniti zaman seorang anak,
Bermain ulang-alik antara rumah dan surau,
Ternampak aku seorang pengemis,
Sedang berehat selepas mungkin berjalan jauh,
Terus aku dipanggilnya,
Dan diberikannya sebiji ketupat
Yang kemanisannya masih kurasai hingga sekarang.
(ii)
Dalam meniti usia remaja di balik Tititwangsa ini,
Sedang aku menunggu bas di bandar gagak itu,
Di celah-celah manusia pelbagai bangsa yang begitu nafsi-nafsi,
Datang seorang tua menyapaku 'Anak nak ke mana?'
Dengan senyum aku memulakan perbualan,
Kemudian katanya lagi 'Oh, pak cik pun pernah belajar pondok di negeri timurlaut sana'.
Sebelum berlalu dia memberikanku dua ringgit dengan katanya,
'Buat beli makanan di asrama nanti.'
(iii)
Seorang pengemis dan seorang tua itu,
Mungkin tiada lagi di dunia ini,
Tapi ketupat pemberiannya begitu enak rasanya
Untuk seorang anak yang hingga kini mengingatinya
Dua ringgit cuma tapi besar nilainya
Untuk seorang remaja kampong di kota Di Raja ini.
Seorang pengemis dan seorang tua
Telah mengajarku nilai satu pemberian
Seorang pengemis dan seorang tua
Juga telah mengajarku erti sebuah ihsan.
Saturday, March 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Very touching and banyak pengajaran, thanks for sharing
aah byk pengajaran ayah..mendalam maksudnya..
Post a Comment