Wednesday, December 21, 2011

Dedikasi Untuk Seorang Isteri



BILA TANGANKU KU HULURKAN

(dedikasi sempena ulangtahun ke 25)

Ingatkah lagi saat itu
Satu hari lebih dua dekad lalu
Bila seorang pemuda yang tidak punya apa-apa
Jauh sekali dari seorang lelaki pilihan
Menghulurkan tangannya kepadamu
Meminta sesuatu yang ia sendiri tidak pasti
Menyerahkan satu harga diri di antara sela-sela jarinya
Dan kau menyambutnya mungkin antara sangsi dan harapan

Ingatkah lagi waktu itu
Bila kita disatukan
Kita menganyam kasih dalam seribu perbezaan
Mengharap satu pertautan yang berpanjangan
Mendoakan satu keserasian dalam satu perkongsian
Mengimpikan satu kebahagiaan dalam hari-hari mendatang

Isteriku
Terima kasih kerana sudi menemaniku
Bersama dalam kepayahan membina kehidupan
Berkongsi mengecapi pahit manis satu perkongsian
Betah menerima seorang insan yang penuh kekurangan

Isteriku
Terima kasih kerana memberiku:
seorang Al-Abrar, muga ia sentiasa di kalangan orang yang membuat kebaikan
seorang Al-Fateh, hendaknya ia sentiasa mampu menguasai dirinya
seorang Al-Faqihah, biarlah ia menjadi seorang yang faham tentang agamanya
seorang Munibah, harapnya ia selalu taat kepada Tuhannya dalam semua perkara
seorang Abid, doakan ia menjadi hamba yang melimpah imannya

Isteriku
Bila tanganku aku hulurkan
Dan ianya disambut penuh hormat
Akan kujunjung penghormatan itu
Kerana di situ juga ada mimpi dan harapan kita bersama

Shah Alam
21 Disember 2011

Monday, November 7, 2011

Al-Khansa' Kurun 21

(i)

Siapa yang tidak mengenali Al-Khansa', penyair agung di masa jahiliyyah? Beliau merupakan seorang penyair yang amat dikagumi oleh golongan Arab Jahiliyyah, dan syair-syairnya sentiasa ditunjukkan di pasar 'Ukkaaz, yang merupakan acara tahunan bagi golongan Arab Jahiliyyah. Bila dua orang saudara lelakinya dalam peperangan di zaman sebelum Islam, beliau telah menyelusuri jalan-jalan di kota Mekah dengan mengalunkan syair ratapannya.

Beliau telah pergi menemui Rasulullah saw beserta dengan kaumnya, Bani Sulaim pada tahun 630H dan telah Islam dengan kerelaan hatinya. Beliau mempunyai empat orang anak: Yazid, Mu'awiyah, 'Amr dan 'Amrah yang juga telah mengikuti jejak ibunya memeluk Islam. Semasa perang alQadisiyyah, keempat-empat orang anaknya telah turut serta dalam perang ini. Sebelum ke medan perang, beliau berpesan dengan penuh semangat kepada anak-anaknya:


"Wahai anak-anakku, kalian telah masuk Islam dengan taat dan berhijrah dengan penuh kerelaan. Demi Allah yang tiada ilah yang haqq selain Dia. Kalian semua tahu betapa besar pahala yang Allah siapkan bagi orang-orang yang beriman ketika berjihad melawan orang-orang kafir. Ketahuilah bahwa negeri akhirat yang kekal jauh lebih baik dari negeri dunia yang fana".

Keempat-empat anak Al-Khansa' telah berjuang dengan berani di alQadisiyyah dan semua mereka telah syahid. Bila mana Al-Khansa' mendapat berita kesyahidan anak-anaknya, beliau telah mengeluarkan kata-katanya yang masyhur:

الحمد لله الذى شرفنى بقتلهم وارجو من ربى ان يجمعنى بهم فى مستقر رحمته


(Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya)


Selayaknya lah Al-Khansa' ini digelar 'Ibu Para Syuhada'.

(ii)




Cuba lihat wajah ibu tua ini, yang wajahnya masih mampu tersenyum tenang. Tahun lepas ibu tua ini telah kehilangan 4 orang anaknya, Ashraf, Sharaf, Mohammed dan Mahmoud yang telah syahid dibunuh Zionis. Kali ini beliau sekali terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada anak lelaki yang kelima, Ahmad Al-Syikh Khalil yang telah juga telah syahid di tangan Zionis dalam serangan terbaru di Gaza beberapa hari lepas.

Wajah yang tersenyum tenang ini adalah mewakili satu golongan pilihan yang telah disebut oleh Rasululllah (saw) dalam sabdanya: 'Akan ada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat'. Para sahabat bertanya 'Di mana mereka ya Rasulullah? Jawab Rasulullah 'Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis'.

Dan pastinya ibu tua dan anak-anaknya yang syahid ini juga adalah termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam haditsnya: 'Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah' (AtTabarani).

Kehilangan 5 orang anak dan ibu tua ini masih mampu tersenyum tenang. Selayaknya ibu ini digelar Al-Khansa' kurun ini.




Thursday, August 25, 2011

Manusia-Manusia Pemurah di Malam Barakah


Beberapa malam lepas, sempat melakukan sedikit kerja-kerja amal untuk Aqsa Syarif (http://www.aqsasyarif.org.my/) dengan melakukan kutipan derma dan jualan amal di Masjid Wilayah Persekutuan sempena Malam Ihya' Ramadhan anjuran Pertubuhan IKRAM. Kerja-kerja mengutip derma sebegini untuk saudara-saudara kita di Palestin banyak membantu saya dalam menanam rasa rendah hati dalam diri ini, di samping dapat membuka mata saya untuk melihat berbagai ragam dan sifat manusia. Alhamdulillah di masjid yang gah di tengah kota ini, manusianya begitu pemurah dan begitu prihatin tentang isu Palestin dan kutipan mencecah lebih RM1,300, satu angka yang agak baik untuk kutipan yang tidak sampai 24 jam. Beberapa catatan untuk perkongsian saya perturunkan di bawah ini sepanjang menjaga 'booth' Aqsa Syarif' di masjid ini.

(i)

Selepas solat Isyak, datang seorang anak muda yang datang ke booth dan banyak bertanya tentang isu Palestin. Saya menerangkan secara detail semampu saya sambil memberikan leaflets yang menerangkan isu ini dan cara menderma yang lebih lanjut. Kemudian anak muda ini meletakkan beberapa ringgit ke dalam tabung derma. Satu jumlah yang tidak banyak, tetapi saya yakin satu sumbangan ikhlas dari seorang anak muda yang nampak tidak begitu terurus, yang kita mungkin akan melabelkannya sebagai pemuda gelandangan jika kita berjumpa beliau di tengah kota. Semoga Allah merahmati anak muda ini.

(ii)

Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi, dan saya duduk di atas kerusi sambil membaca kitab suci. Ternampak satu sosok beruniform menghampiri tabung derma dan membaca leaflet yang ada di atas meja. Orang tua ini adalah security guard masjid ini yang mengambil kesempatan di awal pagi untuk melihat-lihat program yang ada di masjid. Kemudian orang tua ini menyeluk sakunya dan meletakkan seringgit ke dalam tabung derma dan berlalu dari situ.

(iii)

Orang sudah mula ramai ke masjid pada jam 5.00 pagi untuk beriktikaf dan bertahajjud. Kelihatan seorang yang saya rasa amat familiar menaiki tangga dan terus meluru ke booth kami dengan menggenggam beberapa ratus ringgit di tangannya. Kemudian beliau memasukkan wang RM300 itu ke dalam tabung derma, bersalam dengan saya dan terus memasuki ruang solat. Otak ligat memikirkan siapakah orang ini. Ah, baru teringat yang dermawan ini adalah seorang arkitek terkemuka negara, yang hasil kerjanya banyak dapat dilihat di negeri kelahirannya Terengganu.

..........................................................................................................................................................................

Sumbangan yang dikutip oleh Aqsa Syarif telah banyak memberi manfaat kepada saudara-saudara kita di Palestin. Hasil derma ini, telah terdiri kilang roti yang telah mula mengeluarkan hasilnya pada Jun lepas, dan satu lagi kilang roti akan dibina di Jabaliyya. Pada minggu lepas, sukarelawan Aqsa Syarif telah ke Gaza dengan membawa sejumlah RM 1.2 juta bagi membiayai pelbagai projek di sana. Anak muda berpakaian selekeh, orang tua jaga masjid dan professional terbilang itu semuanya telah menyumbang bagi membantu saudara kita yang terjajah di Palestin. Tidak kira sama ada seringgit cuma ataupun beberapa ratus sumbangannya, semoga semua ini akan menjadi amal jariah bagi mereka dan anak-anak yatim serta miskin di sana akan menjadi benteng kepada mereka di hari hisab nanti.


Saturday, August 20, 2011

Mutu Perkhidmatan - Di Mana Kita

Beberapa hari lepas, saya ke kedai jahit untuk membuat alteration jubah untuk dipakai di Hari Raya nanti. Selepas membuat bayaran, saya sekali lalu melihat ke muka tukang jahit dengan beranggapan dia mungkin akan berkata 'terima kasih' memandangkan saya yang menggunakan perkhidmatannnya. Melihatkan beliau diam membisu, untuk menutup transaksi (close the transaction), saya tersenyum dan berkata 'terima kasih' kepadanya. Tiada jawapan 'sama-sama' yang saya dengar dari tukang jahit, dan hati kecil saya berkata 'iniah kali pertama dan terakhir aku ke sini'.

Kita telah masuk abad 21, dan taraf perkhidmatan kita masih di tahap negara mundur. Kita beranggapan seolah-olah orang lain memerlukan kita, dan added value dalam perkhidmatan adalah tidak perlu. Terlalu jauh sebenarnya kita dengan negara maju yang lain dari segi mutu perkhidmatan, dan bilakah kita akan mencapai mutu perkhidmatan yang setaraf dengan mereka jika kita ingin menjadi negara maju.

Bila melihat kepada perkara ini, saya akan selalu teringat semasa saya di Jepun pada tahun 1992 dahulu. Contohnya bila masuk ke bank, kita akan dihampiri oleh pegawai berkot yang akan menunjukkan kaunter mana yang perlu kita pergi. Pegawai yang berada di kaunter pula akan terus berkata 'irasshai mase' (welcome) dan melayan kita dengan cekap. Mereka akan meletakkan wang dalam satu tray kecil, berdiri dan menyerahkan wang kepada kita dengan kedua-dua belah tangan. Sebelum kita beredar, kita akan terdengar hampir semua di kaunter akan berkata 'arigatou gozaimasu' (terima kasih). Di negara kita pula, anda perlu bertanya kepada pegawai keselamatan untuk bertanyakan tentang perkhidmatan bank tersebut, dan adalah perkara biasa jika pegawai di kaunter sibuk bersembang dengan rakan di sebelahnya tentang drama yang disiarkan malam sebelumnya, dan dalam masa yang sama memproses transaksi anda yang sedang berdiri menunggu di depan kaunter. Dan anda juga berkemungkinan terpaksa mengutip syiling-syiling anda yang diberikan oleh pegawai tersebut yang ditaburkan di atas kaunter. Mendapat ucapan terima kasih adalah satu bonus yang mungkin akan membuatkan anda tersenyum hingga ke petang.

Saya juga teringat semasa saya ke sebuah restoran makanan Arab di Shah Alam (yang saya juga ada sedikit share di dalamnya) untuk membeli kebab dari pembuatnya yang berketurunan Arab. 'Two chicken kebabs, please', kata saya. Mungkin orang Arab itu tidak mendengar apa yang saya cakap, tapi kata-katanya amat menaikkan darah pelanggan, pertanyaan sinis 'how many? One, two, one thousand?' Juga kata-kata seorang pramugara semasa saya di dalam satu penerbangan antarabangsa yang bila melihat saya terjingkit-jingkit mengangkat beg, beliau bertanya 'ada batu ke dalam beg tu?' Terasa nak keluar four-letter word masa tu.

Dengan tahap perkhidmatan sekarang, kita masih terlalu jauh untuk bersaing dengan orang lain dalam semua bidang. Kita masih lagi bermimpi untuk mencapai taraf negara maju kurang dari 10 tahun dari sekarang jika kita masih di takuk lama. Bilakah kita akan berubah dan tidak lagi berfikir yang kita yang memerlukan pelanggan dan bukan sebaliknya.


Saturday, August 6, 2011

Doa Untuk Hama

Posting ini adalah sebagai menyahut seruan Ikhwanul Muslimin yang menyeru para penyokongnya di Mesir untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari solidariti dengan umat Arab, terutamanya di Syria yang sekarang ini sedang menghadapi pembantaian berterusan dari rejim Syiah Nusayriyyah pimpinan Basyar alAssad.

Bermula 1 Ogos 2011, rejim Basyar alAssad telah mula mengepong bandar Hama bagi memadamkan kebangkitan rakyat di sana. Hari ini genaplah 5 hari mereka dikepong dan diganyang oleh tentera kerajaan dengan menggunakan kereta kebal dan snipers. Orang luar dan wartawan tidak dibenarkan memasuki bandar ini dan hingga kini, dianggarkan korban mencapai 300 orang.

Hama adalah merupakan kubu kuat Ikhwanul Muslimin (IM) di Syria dan pembantaian massal sebegini bukanlah perkara baru bagi Hama. Ikhwanul Muslimin merupakan satu force yang amat ditakuti oleh rejim Syria dan pernah memenangi 10 kerusi parlimen pada tahun 1961. Gerakan ini kemudiannya telah diharamkan selepas rejim Parti Baath merampas kuasa pada tahun 1963, dan mereka meneruskan perjuangan bersenjata yang mencapai kemuncaknya pada tahun 1982. Keahlian di dalam IM di Syria adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati.

Pada tahun 1982, IM telah bangkit dan mengambil alih bandar Hama. Rejim alAssad kemudiannya telah bertindak balas dengan menghantar 12,000 tentera di bawah pimpinan adik Hafiz alAssad, Rifaat alAssad dengan dibantu oleh helikopter dan kereta kebal bagi menghapuskan kebangkitan rakyat ini. Selepas 27 hari dikepong, tentera Syria telah memasuki bandar Hama dan melakukan pembunuhan massal dengan secara rambang memasuki rumah-rumah, mengumpulkan semua keluarga dan menembak mereka secara beramai-ramai. Sebahagian besar bandar ini telah dimusnahkan. Dianggarkan seramai 40,000 orang penduduk bandar Hama telah dibunuh, satu angka yang menjadikan tragedi Sabra dan Shatila sebagai satu tragedi kecil sahaja. 15,000 orang lagi diklasifikasikan sebagai hilang sementara 100,000 orang telah dihalau keluar dari bandar Hama. Peristiwa ini menandakan satu kekalahan IM sebagai satu kuasa politik di Syria dan ramai dari ahli IM telah meninggalkan Syria sementara pemimpin IM Syria, Ali Sadruddin alBayanuni telah mendapat suaka politik di London. Tragedi Hama dan cerita perjuangan di Syria (termasuk pembunuhan beramai-ramai ahli IM di penjara Tadmur pada 27 Jun 1980 oleh Rifaat alAssad) adalah menjadi topik perbincangan para aktivis Islam zaman awal 80an. Nasyid-nasyid oleh Muhammad Abu Ratib, seorang ahli IM kelahiran Aleppo juga menjadi kegemaran para aktivis di masa itu. Nasyid Abu Ratib kebanyakannya berkisar tentang perjuangan Islam di Palestin dan Syria dan memang penuh semangat.


Sejarah berulang lagi di Hama, dan kita hanya mampu berdoa agar tragedi kali ini tidak seburuk tahun 1982. Dengan closed-door policy oleh rejim alAssad, angka sebenar kematian hingga sekarang amat sukar ditentukan. Tindakan rejim ini yang membunuh rakyat mereka sendiri dan menyerang hospital dan masjid perlu dikutuk oleh masyarakat dunia. Adakah kita ingin melihat tragedi Hama berulang dan saudara-saudara kita di sana terus dibunuh oleh golongan Nusairiyyah yang dianggap kuffar oleh sebahagian besar ulama' Islam? Kebangkitan di Hama adalah jelas satu jihad dan kesinambungan satu perjuangan satu golongan majoriti yang telah ditindas lebih 40 tahun oleh golongan minoriti Nusairiyyah, dan satu suara untuk membebaskan diri dari cengkaman kezaliman yang telah terlalu lama di Syria. Semoga saudara kita di bumi barakah ini beroleh kemenangan.


Monday, August 1, 2011

Marhaban Yaa Ramadhan

Ramadhan datang lagi, dan seperti biasa di awal Ramadhan ini, masjid kembali padat dengan para pengunjung yang datang untuk beribadat di bulan penuh barakah ini. Seperti biasa saya dan keluarga akan ke masjid negeri di Shah Alam untuk bersolat Isyak dan diikuti dengan tarawikh. Belum pun masuk waktu Isyak, laluan ke masjid telahpun sesak dengan kenderaan yang semuanya menuju ke masjid. Sebagai pengunjung rutin ke masjid negeri, fenomena ini adalah perkara biasa setiap kali datang Ramadhan, atau lebih tepat pada malam-malam awal Ramadhan. Fenomena ini akan berubah terutamanya selepas separuh kedua bulan Ramadhan.

Inilah fenomena biasa yang akan kita lihat setiap tahun, dan ini amat bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Islam. Terlalu banyak perkara yang umat Islam sebelah Nusantara ini praktikkan yang amat jauh dari yang telah digariskan oleh Islam. Kebanyakan kita hanya bersungguh-sungguh melakukan ibadah fardhu dan sunat pada bulan Ramadhan sahaja, sementara mengabaikan semua ini di bulan-bulan lain. Maka jadilah kita seperti disebut oleh Dr. Yusuf alQaradhawi sebagai 'Ramadhaaniyyuun' dan bukannya 'Rabbaaniyyuun' sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Ramadhan juga sepatutnya menjadikan kita insaf terhadap penderitaan dan kesengsaraan saudara seIslam yang lain. Akan tetapi tidak ramai daripada kita yang dapat betul-betul menghayati konsep ini. Bila datang saja Ramadhan, media kita akan mengiklankan buffet berbuka puasa di hotel-hotel yang harganya tidak kurang dari RM70 seorang, dan ada yang mencapai RM150. Adakah cara bermewah-mewah begini yang kita ingin terapkan dalam masyarakat kita, dan apakah roh Ramadhan yang akan kita dapat dari 'self-indulgence' sebegini? Bila melihatkan kepada majlis sebegini, saya selalu teringatkan kepada satu artikel yang ditulis oleh mendiang MGG Pillai bertajuk The Gluttony of Ramadhan. Satu pengamatan yang amat pahit bagi orang Islam, tapi pada masa yang sama kita tidak dapat menolak realiti ini yang berlaku dalam masyarakat kita.

Cara kita menyambut kedatangan Ramadhan juga begitu asing dari yang digalakkan oleh Islam. Islam amat menggalakkan kita untuk memeriahkan suasana Ramadhan, tetapi sebaliknya suasana ini hanya dapat kita lihat di akhir Ramadhan dan sempena menyambut kedatangan Syawal. Islam menggalakkan kita bersungguh-sungguh menghidupkan ibadah pada 10 hari terakhir Ramadhan, tetapi sebaliknya orang kita telah menuju ke pasaraya bagi persiapan menyambut Syawal pada hari-hari terakhir Ramadhan. Begitu jauh kita dari sikap para sahabat dan salafussoleh yang akan menangis bila berakhirnya Ramadhan.

Kita adalah ummah yang telah dimuliakan oleh Allah dengan bulan Ramadhan, yang di dalamnya ada fasa rahmat, fasa maghfirah dan fasa pembebasan dari api neraka. Hilangnya ketiga-tiga fasa ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan kita. Menyambut kedatangan Syawal bukanlah seperti merayakan tamatnya bulan Ramadhan, tetapi menyambut satu kemenangan dalam perjuangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan itu. Semasa belajar di England dahulu, kami pelajar Malaysia selalu menjemput para pensyarah bagi menghadiri majlis hari raya anjuran pelajar Malaysia. Saya masih ingat seorang pensyarah saya, Prof. Adrian Hyde yang berkata 'you must be very happy that Ramadhan is over'. Mungkin beliau tidak tahu apa yang nak diucapkan kepada kami sempena hari raya, dan dari perspektif beliau mungkin semua umat Islam gembira dan merayakan tamatnya Ramadhan di mana semuanya 'terpaksa' berlapar dan dahaga selama sebulan. Saya hanya tersenyum dan berkata 'Thank you, Prof'.


Wednesday, July 13, 2011

Rasuah

Satu cerita tentang Indonesia untuk dikongsi bersama. Dengan kenaikan kos sara hidup di negara kita sekarang, dan yang utamanya kurangnya integriti (dibaca sebagai iman) di kalangan masyarakat kita, sama ada penjawat awam atau swasta, tidak mustahil fenomena ini juga akan berlaku di Malaysia. Kita terlalu tidak jelas tentang definisi rasuah. Ada baiknya kita melihat kembali kepada hadis di bawah bagi memahami definisi rasuah..

'Nabi Muhamad s.a.w. bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lali ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata: “ini untuk mu (bahagian untuk Islam) dan ini untuk ku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka Baginda murka sambil bersabda: “ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapa mu atau ibu mu, sehingga datang kepada mu hadiah mu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)” – Riwayat Al-Bukhari & Muslim
........................................................................................................................................................................

Tidak biasanya, Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Ir Tifatul Sembiring tidak mengucapkan pantun saat memberikan kata sambutan pada seminar politik yang dihadiri oleh Prof James Fox dari Australian National University dan Jakob Utama, tokoh pers, di Jakarta, Senin.

Tifatul justru menyampaikan sebuah lelucon yang menggambarkan potret masyarakat Indonesia, yang sampai kini masih menjadi permasalahan bangsa. Lelucon itu menceritakan dua orang yang sedang berdialog. Satu orang Eropa dan satunya, sudah tentu orang Indonesia.

Orang Indonesia bertanya pada orang Eropa, berapa gajimu dan untuk apa saja uang sejumlah itu?

Orang Eropa menjawab, "Gaji saya 3.000 Euro, 1.000 euro untuk tempat tinggal, 1.000 Euro untuk makan, 500 Euro untuk hiburan."

Lalu sisa 500 Euro untuk apa? tanya orang Indonesia.

Orang Eropa menjawab secara ketus, "Oh ... itu urusan saya, Anda tidak berhak bertanya!"

Kemudian orang Eropa berbalik bertanya. Kalau anda bagaimana?

"Gaji saya Rp950 ribu, Rp450 ribu untuk tempat tinggal, Rp350 ribu untukmakan,Rp250 ribu untuk transport, Rp200 ribu untuk sekolah anak, Rp200 ribu untuk bayar cicilan pinjaman, ... Rp100 ribu untuk....".

Penjelasan orang Indonesia terhenti karena orang Eropa menyetop penjelasan itu dan langsung bertanya."Uang itu jumlahnya sudah melampui gaji anda. Sisanya dari mana?" kata orang Eropa itu keheranan.

Kemudian, orang Indonesia itu menjawab dengan enteng," begini Mister, tentang uang yang kurang, itu urusan saya, anda tidak berhak bertanya-tanya,"

Spontan hadirin tertawa, termasuk Prof James Fox yang tertawa hingga terpingkal-pingkal.


Friday, July 8, 2011

Aku Orang Melayu

Saya baru saja selesai membaca buku 'Perihal Orang Melayu', satu terjemahan dari buku 'Malay Sketches' oleh Sir Frank Swettenham. Di antara petikan yang saya ingin kongsikan di sini ialah tentang penerangan Sir Frank Swettenham mengenai orang Melayu:

Orang Melayu biasanya bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan senang berbicara. Orang Melayu tidak pernah menikus, tetapi dengan orang yang tidak dikenalinya dia agak pendiam dan agak curiga, walaupun tidak ditunjukkannya. Dia seorang yang berani dan amanah dalam menjalankan tugas, tapi dia juga bersikap suka berbelanja, suka meminjam wang, dan lambat pula membayarnya balik. Dia petah bercakap, berkata-kata dengan kiasan dan ibarat, suka menggunakan peribahasa dan kata-kata pujangga, suka berkelakar dan suka benar dengan jenaka. Dia mengambil tahu hal ehwal jiran tetangganya, dan sebab itu kadang-kadang dia juga suka bercerita tentang hal orang. Dia memang semula jadinya suka bersukan, pandai menangkap dan menjinakkan gajah, nelayan yang mahir, dan sungguh cekap sekali dengan perahu. Tetapi yang terutama sekali, dia seorang yang agak konservatif, bangga dan cintakan tanah air dan rakyatnya, memuliakan adat resamnya, takut kepada rajanya, dan menghormati pihak berkuasa - tetapi ia mencurigai semua jenis pembaharuan dan akan menentang apa-apa jenis pembaharuan yang dipaksakan ke atasnya.

Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, padanya hal ini harus dihapuskan sekalipun dengan pertumpahan darah. Jika dia merasa maruahnya dicemarkan, sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia betul-betul dihantui dengan niat untuk menuntut bela. Orang Melayu selalu dikatakan berperangai suka mengkhianat, tetapi saya tidak bersetuju, mungkin ada orang lain yang lebih bersifat begitu. Dia seorang yang bersopan dan dia mahu orang lain juga bersikap begitu terhadapnya dan dia tahu cuma satu sahaja cara untuk menebus malu jika dihina.

Kita adalah satu bangsa yang pernah menjadi agung di rantau sebelah sini. Banyak nilai-nilai positif yang kita miliki yang telah membantu kita menjadi agung. Malangnya kita sekarang menjadi begitu defensif dan seakan rela bila orang lain mengatakan kita bangsa yang 'malas, suka hiburan, tidak proaktif' dan macam-macam nilai negatif lain yang dicampakkan kepada kita. Dan kita pun menjadi rendah diri dan malu untuk bersaing dengan bangsa lain. Tiada orang yang boleh menjadikan kita rendah diri tanpa kerelaan kita sendiri (No one can you feel inferior without your consent).

Saya juga amat tertarik dengan bait akhir sajak oleh Dato' Abdul Aziz Deraman, yang mencadangkan kita kembali kepada Islam dalam usaha menjadikan kita agung kembali. Kita perlu kembali kepada punca yang menjadikan bangsa Melayu yang amat dihormati di rantau ini, iaitu Islam.

Bismillahirrahmanirrahim
Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Ribuan tahun punya hak dan pertuanan di sini
Punya kekuatan punya peradaban
Punya kebenaran punya keagungan
Punya ketuhanan punya kebudayaan

Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Akar jiwamu memegang darahku
Batang hatimu menjadi tubuhku
Daun aqalmu melitup zat dan sifatku,
Bangsaku jangan mengubah rupa
Bangsaku jangan meleka sambil melewa
Biarlah utuh diujian sepanjang masa

Hai bangsaku,
Seribu lupa selaksa sedar
Tawarlah segala yang lupa
Dari hikmatan kebendaan dan kepuraan
Dari hikmatan peniruan dan kesesatan
Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan,
Jika bisa pada jiwa tawar pada hati
Bisa pada aqal tawar pada aqal
Tawarlah pada segala wujud keperibadian kita
Pulang pulih seperti keadaan asal

Hai bangsaku aku tahu usulmu
Jatuh di segala ceruk rantau alam ini
Jatuh di utara jatuh di selatan
Jatuh di timur jatuh di barat,
Janganlah pula duduk tunggu, jaga mengilas siku.

Hai bangsaku,
Aku mintamu pindah balik segala kekuatan
Segala peradaban, segala kebenaran
Segala keagungan dan segala-galanya
Memulia dan meneruskan kegemilangan

Biarlah utuh diuji zaman-berzaman
Itulah asalmu tapakmu bersenang
Masa kini dan akan datang,
Aku hendak minta kepadamu
Pulang pulih seperti keadaan asal
Sebab, belum cukup belum genap belum sampai ajal
Bukan kuasa aku tapi dengan kuasa Allah
Berkat kita kata: Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah


Tuesday, June 28, 2011

Down Memory Lane - Sekolah Maahad Muhammadi

Semasa cuti tahun lepas, saya sempat menziarahi kembali tempat saya dididik selama 9 tahun, iaitu Sekolah Maahad Muhammadi. Tempat di mana saya mula belajar membaca dan mengira dari darjah 1, seterusnya memasukki tingkatan 1 sebelum ke Kolej Islam Klang selepas SRP.

Walau bagaimanapun banyak bangunan asal sekolah ini telahpun diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru. Semua bangunan yang penuh nostalgik bagi saya, seperti yang saya paparkan dalam entry saya di sini, telahpun dirobohkan. Tempat penuh kenangan bagi saya, di mana saya mula memasukki darjah 1 pada umur 6 tahun dan yang saya tinggalkan selepas tingkatan 3, semuanya telah tiada lagi.

Yang tinggal hanyalah bahagian depan sekolah yang dulunya merupakan bilik guru dan pejabat sekolah, dan juga dewan besar. Melihat tempat ini mengingatkan kembali kepada semua guru-guru yang sangat saya hormati, guru-guru yang banyak menabur bakti bagi mendidik kami untuk menjadikan kami insan Muslim yang sebaik-baiknya.

Semua guru-guru ini adalah menjadi uswah dan qudwah bagi anak didik mereka. Ustaz Nik Abdul Kadir (sekarang Dato'), yang dulunya menjadi mudir sekolah ini adalah seorang yang amat dihormati. Seorang yang amat tegas, tapi berwajah tenang dan sentiasa senyum ini sekarang adalah merupakan Timbalan Mufti Negeri Kelantan. Beliau bukan saja dihormati kerana ilmunya, tetapi juga kerana kebolehannya dalam rawatan secara Islam. Ramai lagi guru-guru yang pernah mengajar saya di sini dan kebanyakannya telahpun meninggal dunia, dan jasa mereka dalam membentuk akal budi amat saya hargai, dan perlu saya sebut di sini.

Cikgu Asma', guru yang banyak mengajar saya tentang disiplin dalam hidup. Seorang guru yang begitu dedikasi, dan tidak hairanlah semua anak-anak beliau berjaya dalam profesion masing-masing. Di antaranya ialah Prof Dato' Dr Nik Mohd Nasri Nik Ismail, Dekan Fakulti Perubatan di USIM dan juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Perubatan, Malaysia. Seorang guru yang sentiasa menyatakan hasratnya untuk berjumpa adik beradik saya yang merupakan anak murid beliau, mungkin untuk melihat hasil usahanya dalam mendidik kami anak hingusan yang datang ke sekolah dengan seluar bertampal. Walau bagaimanapun saya amat terkilan kerana hajatnya untuk berjumpa dengan saya, hasil didikannya sejak sekolah rendah, tidak kesampaian.

Cikgu Wan Hasmah, bekas guru Bahasa Inggeris saya yang sempat saya telefon bertanya khabar tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Seorang guru yang lemah lembut tapi tegas dalam mengajar kami, pelajar sekolah Arab yang agak bodoh berbahasa Inggeris. Kesabaran beliau amat saya sanjungi.

Bahasa Arab adalah merupakan subjek yang amat saya minati, dan tidak ada yang boleh mengalahkan saya dalam subjek ini. Semua subjek-subjek yang berkaitan dengan Bahasa Arab diajar oleh para asatizah yang begitu colourful dan interesting, yang walaupun tidak mempunyai paper qualifications tetapi mampu mengajar dengan begitu berkesan. Masih ingat lagi Ustaz Yahya yang mengajar Mutala'ah dan Mahfuzaat, di antara subjek yang saya sukai yang melibatkan hafalan, dan juga Ustaz Soh yang mengajar Qawaid dan Sorof. Seorang lagi ustaz yang menjadi favourite ialah Ustaz Fakhri yang mengajar Khat dan Imla'. Subjek yang saya tunggu-tunggu ialah Imla', sementara bila tiba subjek Khat, saya lebih suka buat hal sendiri kerana tangan kidal ini amat kurang seninya. Ustaz Fakhri juga amat suka bercerita, dan cerita-cerita klasik Arab seperti Sinimmar dan Habannaqah masih saya ingat sampai sekarang. Begitu juga dengan ceritanya tentang emak saudaranya yang berkahwin dengan tentera Jepun yang telah dihantar ke Tanah Melayu sebagai seorang spy sebelum pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu.

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang banyak berbakti, yang walaupun dengan imbuhan yang tidak seberapa, tetapi penuh dedikasi dalam mendidik anak bangsa. Mereka adalah rare breed dalam bidang pendidikan, yang tidak kenal penat jerih dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Hanya dewan besar ini yang tinggal, dewan yang paling membangkitkan memori indah kerana di sinilah banyak rekod tercipta bagi saya, dan tempat di mana saya pernah membuatkan ibu saya begitu berbangga dengan saya. Harapan saya semoga dewan besar tidak akan diruntuhkan.

Monday, June 20, 2011

Dua Gambar, Seribu Makna


Mungkin kita biasa melihat kedua-dua foto di bawah ini. Foto pertama menunjukkan seorang anak perempuan berumur 4 tahun sedang memegang tangan ayahnya yang akan dihantar ke Iraq. Gambar perbarisan di Fort Dix ini telah diambil oleh Abby Benethum, ibu kepada anak ini, Paige Benethum.

Gambar di bawah pula memaparkan seorang prisoner of war (POW) di pusat tahanan di Najaf yang sedang memujuk anak lelakinya yang juga berumur 4 tahun. Tahanan perang Iraq ini, yang telah ditutup matanya dan hilang harga dirinya, masih mampu untuk memujuk anak ini yang mungkin tinggal sebatang kara dan telah kehilangan ibunya.

Itulah mangsa perang, dan di dalam perang, semua musuh adalah faceless dan hanyalah sekadar statistik. Kita tidak tahu apa yang seterusnya terjadi kepada POW Iraq dan anaknya ini, tetapi askar US dan anaknya ini mendapat liputan meluas di US dan digambarkan dengan penuh emosi.

Betapa kita hanyalah buih-buih di atas air yang nampaknya banyak, tapi tidak mempunyai sebarang nilai. Khalifah alMu'tasim telah menghantar tenteranya ke sebuah negeri hanya semata-mata kerana seorang wanita Islam telah dihina. Abul Hasan Ali anNadwi berkata: 'Inilah bezanya antara pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini dengan mereka yang menjadi pimpinan umat Islam yang dahulu. Pemimpin-pemimpin dahulu sentiasa merasakan tanggungjawab membela umat Islam sebagai sebahagian dari tugasnya.'

Selamat Hari Bapa untuk semua bapa, ayah, papa, abi dan apa juga anda dipanggil oleh anak-anak anda. Didiklah mereka untuk menjadi batu yang menentukan aliran arus, dan bukannya hanya menjadi buih yang dibawa arus entah ke mana.


Sunday, June 12, 2011

Makian Pasir dan Kerikil

Makian Pasir dan Kerikil

Menyisiri jalan-jalan di segitiga emas ini
Yang penuh dengan mungkar yang melata
khamar zina judi di depan mata
dan bangunan baru menggila dibina
Aku seakan terdengar suara pasir dan batu kerikil
Yang melafazkan sumpah seranah maki nista:

'Wahai manusia yang zalim jahil
Yang berani memikul amanah Ilahi
Yang kami sendiri tidak sanggup tanggungi
Kenapa kau khianati amanah itu
Dengan melatakan kefasadan di bumi ini.'

'Wahai pengkhianat satu amanah
Kami yang selalu bertasbih bertahmid mentaqdiskan Ilahi
Di temani air mengalir dan pepohon rendang
Kenapa kau bawa kami ke tempat penuh celaka ini
menjadi lapik kaki pendurhaka Ilahi dan para 'aasi
menjadi saksi kepada sejuta kemungkaran di kamar sepi
menjadi pelindung pelaku noda penderhaka Ilahi
dan kami mungkin begini hinggalah ke akhir masa nanti.'

'Wahai manusia
kembalikan kami ke tempat asal kami
biar kami betah kembali mengagungkan alKhalik ini
bergolek di dasar sungai mensyukuri Rabb ini
atau melusuri bukit bukau mengingati Rabbul Izzati
dalam satu rapsodi yang abadi
memikul sedikit amanah yang telah kau lupai.'

Tiba-tiba aku merasakan
yang dimaki itu adalah juga aku
yang begitu nafsi-nafsi di kota derhaka ini
yang sudah hampir lupa tangggungjawab diri
yang hanya menyisir di tepi kakilima bangunan
dan melihat semua kemungkaran tapi masih tetap bisu dan menyepi


Thursday, June 9, 2011

The Rape of Lojing

On the way back to Kota Bharu, I managed to take photos of the destruction of Lojing, which is becoming worse with the affected area more widespread than before. In the name of commercial farming and eco-tourism, they have done massive earthworks on the area, damaging the area.

They even cut bare an area up to the hilltop.




The sedimentation has silted the nearby Sg Belatop, which is a tributary to Sg Brooke, and the flow will go to Sg Neggiri before going to Sg Kelantan.














A senior officer in the Department of Environment once told me that every time his team come back from visiting the area, they will be deeply stressful after seeing the degree of damage done on the environment.

Finger pointing has been going on for quite sometime on this issue, but the project is going on and the environmental devastation is fast approaching Pos Brooke. The towkays are the ones who really gain from this project and at the expense of locals, including Orang Asli. And as usual, we are only watching and are only good in blaming others. It is time to wake up and really evaluate our action, before another 'Pos Dipang' tragedy happens, this time in this Blissful Abode (Darul Naim)



Saturday, June 4, 2011

Lagi Tentang Hidup dan Kehidupan


Seusai solat Isya' di surau Seksyen 3 bersama bongsuku, aku terus ke kereta untuk pulang ke rumah di Seksyen 24. Tiba-tiba cermin keretaku diketuk oleh seorang anak remaja dan bertanya 'Pak Cik, nak beli buah jambu batu potong? Ada dua bungkus, last.' Pada mulanya aku teragak-agak untuk melayan anak remaja ini, tetapi hati kecilku menyuruhku untuk melihat barangan yang dijual anak ini, dan memastikan yang anak ini jujur dalam menjalankan urusannya bila dia menyebut 'tinggal dua bungkus, last.'

Aku keluar dari kereta dan mengikuti anak ini ke tempat dia meletak buah jambu potongnya di bawah pokok di hadapan surau ini. Memang betul tinggal dua bungkus plastik jambu, dan anak ini bercakap benar. Terdapat dua orang lagi sedang menunggu di bawah pokok, seorang berumur lingkungan 11 atau 12 tahun dan seorang lagi sekitar 5 tahun. Aku mengambil kesempatan untuk berbual dengan anak-anak ini.

'Tinggal kat mana?' tanyaku. 'Kami duduk di flat seksyen 16,' jawab yang tua. Jaraknya dalam 5 hingga 6 km, dan dengan membawa tong berisi barangan setiap sejauh itu memang amat mencabar.

'Ayah tak datang ambik?' selidikku lagi. 'Ayah tak ada kenderaan. Ayah baru dapat kerja jadi jaga kat kilang,' jawabnya lagi.

'Yang dua orang ni adik ke?' tanyaku lanjut. 'Yang dua ni sepupu saya. Mereka tinggal dengan kami. Ayah mereka dah meninggal sebab penyakit lelah,' jawab yang paling tua. Tersentak aku mendengarnya. Dua anak yatim kecil ini terpaksa menumpang di rumah bapa saudaranya yang kerja pun ala kadar sahaja, di tengah bandar yang serba mahal ini.

Aku mengambil kedua-dua bungkus jambu dan membayarnya. Jelas kegembiraan terpancar di wajah mereka kerana berjaya menghabiskan jualan mereka malam itu. Aku ambil lagi 2 not RM10 dan memberinya kepada yang paling tua yang pada mulanya berkeras tidak mahu menerima pemberianku. 'Ini untuk belanja sekolah esok, dan untuk yang dua ni jugak. Mereka anak yatim,' ujarku.

Anak ini tunduk dan mencium tanganku, sementara senyuman anak paling kecil yang berumur 5 tahun begitu mengesankanku, kerana itulah di antara senyuman paling 'pure' yang aku pernah lihat. Wajah 'innocent' yang belum tahu apa-apa, tapi telah mula merasai pahit getir satu kehidupan.

Aku kembali masuk ke kereta, dan terasa ada air mata tumpah semasa aku memandu balik ke rumah dari surau. Dan sepanjang perjalanan, aku teringat kembali jalan sepanjang Kota Bharu yang aku lalui untuk ke sekolah dengan berjalan kaki setiap hari, dan jeruk kelubi atau kuih-kuih yang hasil jualannya aku kutip setiap petang selepas sekolah. Itu lebih 35 tahun dulu, tetapi untuk melihat perkara yang sama sekarang di negeri 'maju' ini agak menyesakkan dada ini. Alhamdulillah, keperitan hidup ini memberiku sedikit kesedaran untuk memahami kesusahan orang lain.


Tuesday, May 31, 2011

Cerita Seorang Sahabat


Akhir-akhir ini, aku nampaknya lebih gemar untuk bercerita tentang perkara-perkara 'simple' tetapi dapat memberi kesan yang mendalam kepada jiwa ini. Mungkin kerana akhir-akhir ini aku dianugerahkan seorang sahabat yang amat aku kagumi keperibadiannya, dan cerita-cerita 'simple' yang dilantunkannya amat memberi kesan kepada aku. Cerita yang mampu mengetuk hati-hati dan memberikan 'break' sekejap dari cerita-cerita haraki dan yang seumpamanya.

Cerita pertama dari sahabat ini ialah tentang seorang sahabatnya di Melaka yang begitu keluh kesah kerana tidak dikurniakan anak walaupun telah 9 tahun berkahwin. Dalam suatu majlis, sahabat ini berkesempatan untuk berjumpa dengan Tuan Guru Jalaluddin Abdul Wahid dan menceritakan masalahnya. Dengan senyum Tuan Guru ini berkata: 'Syeikh, itu maknanya Allah rindu sangat untuk anta berdoa. Allah nak sangat dengar doa anta kepadaNya'. Sahabat ini balik dengan dada lapang dan tidak lagi berfikir tentang masalahnya, sebaliknya dia lebih menumpukan kepada doa yang dia selalu lakukan secara konsisten. Alhamdulillah, sekarang ini sahabatnya itu telahpun dianugerahkan 9 orang anak.

Di kesempatan yang lain, sahabat ini bercerita tentang Imam Ahmad Ibnu Hambal yang telah pergi ke sebuah bandar tanpa memberitahu sesiapa, dan pada malamnya dia mengambil keputusan untuk tidur di masjid di bandar itu. Semasa sedang tidur, beliau telah diseret keluar dari masjid oleh petugas masjid itu yang tidak mengenalinya. Kejadian itu telah dilihat oleh seorang lelaki yang kemudiannya telah mengajak Imam Ahmad tidur di rumahnya. Semasa berada di rumah lelaki itu, Imam Ahmad melihat yang lelaki ini selalu sahaja beristighfar sebelum melakukan sesuatu. Bila ditanya oleh Imam Ahmad, lelaki ini menjawab: 'Aku selalu beristighfar kerana aku dapati yang dengan istighfar, Allah akan makbulkan apa sahaja hajat aku. Akan tetapi ada satu hajat yang sampai sekarang Allah belum makbulkan, iaitu untuk berjumpa dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal'.

Betapa kurangnya aku dalam berdoa dan beristighfar, dan betapa aku memerlukan kedua-dua ini dalam menghadapi hidup ini. Berdoa dan beristighfarlah.



Friday, May 27, 2011

Anak Melayu Kurun 21


Beberapa minggu lepas, saya sempat trekking ke Air Terjun Sungai Lepoh di Ulu Langat bersama dengan sahabat-sahabat yang semua mereka hampir separuh umur. Ada dari mereka ini yang memang veteran mendaki gunung, sementara bagi saya kali terakhir saya mendaki gunung ialah 19 tahun lepas di Mount Fuji, Jepun. Dalam Waterfalls of Malaysia, accessibility untuk ke Air Terjun Sungai Lepoh dikategorikan sebagai moderate, dan biasanya mengambil masa dua jam (atau 1.5 jam bagi yang cukup fit).

Pendakian ini agak memenatkan kerana terdapat beberapa kawasan yang agak curam dan licin terutamanya selepas hujan. Kehadiran pacat di sepanjang trek juga tidak memungkinkan kita berhenti rehat agak lama. Dengan keadaan trek yang licin, jatuh adalah perkara biasa.


Selepas lebih kurang 2 jam perjalanan, kami sampai ke Air Terjun Sungai Lepoh. Tempat ini masih tidak tercemar dan menikmati deruan air terjun sebegini amat melapangkan fikiran. Ini adalah beberapa shots yang saya ambil semasa di sana.





Sepanjang pendakian, kami berjumpa dengan ramai pendaki lain, yang majoritinya adalah anak-anak muda, dan sempat juga kami sapa menyapa di dalam hutan itu. Sepanjang pendakian, kami berselisih jalan dengan dua kumpulan remaja Melayu dan dua kumpulann remaja Cina. Apa yang memberi kesan kepada saya ialah bila berselisih dengan sekumpulan anak-anak Melayu ini, ramai yang langsung tidak memberikan sebarang reaksi walaupun selepas disapa, dan tidak langsung membalas senyuman kami. Berbeza dengan remaja Cina yang kami temui, kumpulan pertama memberikan kata-kata perangsang seperti 'dah tak jauh dah' dan 'all the best'. Kumpulan kedua pula sempat bersembang dan memberi kata nasihat 'take care, got snakes there, but we have already put sulphur in the area'.

Berfikir kembali dan membandingkan sikap mereka, saya agak kecewa dengan sikap generasi anak Melayu sekarang yang nampaknya sudah hilang kesantunan, malah bangsa lain mungkin lebih 'courteous' dari kita. Mereka tidak merasa malu untuk berpelukan di siang hari di Suria KLCC sedangkan di masa itu orang sedang berpusu-pusu untuk ke Masjid AsSyakirin berhampiran KLCC. Anak-anak muda kita dengan sombongnya membunyikan hon kereta kerana laluan mereka tersekat sekejap di hadapan pintu masjid negeri Shah Alam, sebagaimana yang terjadi kepada saya minggu lepas semasa saya sedang 'download' barang-barang untuk pameran tentang isu Palestin untuk sebuah NGO di masjid tersebut.

Kita mungkin akan meninggalkan satu generasi yang tidak tahu bersopan, kurang ajar dan tidak tahu malu. Bagaimanakah agaknya Melayu Islam 50 tahun dari sekarang?


Tuesday, May 24, 2011

Tragedi Tanah Runtuh Hulu Langat - Melihat Kemanusiaan



Diam tak diam rupanya sudah lebih satu tahun blog ini diabaikan oleh tuannya. Semangat untuk menulis kembali datang bila terdengar kata-kata seorang Ustaz bahawa blog adalah satu amanah, dan pemiliknya perlulah melaksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya.

Terlebih dahulu, alFatihah kepada semua anak-anak yang syahid dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat. Semoga mereka akan mendapat kerahmatan di bawah payung Ilahi di dunia yang kekal abadi nanti, dan pastinya anak-anak yang pergi dalam keadaan putih bersih ini akan mendapat kerehatan abadi di sana, jauh dari dunia yang menjadikan mereka yatim ini.

Saya tidak ingin bercerita dan mengulas panjang tentang tragedi tanah runtuh ini kerana rasanya ini telah saya ulas dalam posting saya sebelumnya. Kali ini saya ingin mengulas tentang beberapa aspek manusia dan kemanusiaan yang boleh kita ambil dari tragedi tanah runtuh ini.

Dalam kebejatan suasana politik negara, tragedi ini telah menampakkan solidariti rakyat dalam membantu mangsa tanpa mengira perbezaan kaum. Selain dari pihak kerajaan yang menjanjikan bantuan segera, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah menghulurkan bantuan sebanyak RM25,000 kepada rumah anak yatim ini. Selain dari itu, Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa. Satu jumlah yang bukanlah banyak tapi amat signifikan dalam menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita ini, sifat kemanusiaan amat subur. Seorang wanita berusia 55 tahun juga diberitakan telah menyediakan makanan secara sukarela kepada 300 orang pasukan penyelamat, dan wanita yang tidak ingin dikenali ini selayaknya adalah di antara 'unsung heroine' dalam tragedi ini.

Kita juga dapat membaca berbagai anekdot tentang kehidupan lanjutan dari tragedi di Hulu Langat ini. Kita saksikan bagaimana seorang remaja berumur 17 tahun yang juga terkorban, Dzahir Haziq yang selalu ke rumah anak yatim ini setiap hujung minggu bagi membantu mengajar matematik kepada anak-anak yatim di rumah tersebut. Rumah ini juga menjadi tempat tuition untuk anak-anak di kawasan ini, selain dari menjadi tempat mempelajari Islam.

Paparan the Star tentang adik Khairul Anuar Mohd Nazri yang sedang dipeluk adiknya juga agak mencuit perasaan. Dua beradik ini terpisah kerana perceraian ibubapa mereka, dan tragedi ini berjaya menyatukan kembali keluarga ini. Begitu juga dengan berita hari ini tentang ibu yang telah berjaya bertemu kembali dengan anaknya selepas terpisah selama 11 tahun. Beberapa anekdot tentang hidup dan kehidupan yang walaupun ada titik hitam, tetapi tetap disulami perkara positif bagi mereka yang ingin mendapatkan iktibar tentang manusia dan kemanusiaan.

Seputih jubah yang mereka pakai, sesuci itulah juga anak-anak ini dalam bertemu Tuhan mereka, dan mereka telah juga memberikan sedikit iktibar bagi kita yang begitu 'yatim' di dunia
yang penuh kebejatan ini.

AlFatihah.
 

blogger widget
Touchsmart PC