Diam tak diam rupanya sudah lebih satu tahun blog ini diabaikan oleh tuannya. Semangat untuk menulis kembali datang bila terdengar kata-kata seorang Ustaz bahawa blog adalah satu amanah, dan pemiliknya perlulah melaksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya.
Terlebih dahulu, alFatihah kepada semua anak-anak yang syahid dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat. Semoga mereka akan mendapat kerahmatan di bawah payung Ilahi di dunia yang kekal abadi nanti, dan pastinya anak-anak yang pergi dalam keadaan putih bersih ini akan mendapat kerehatan abadi di sana, jauh dari dunia yang menjadikan mereka yatim ini.
Saya tidak ingin bercerita dan mengulas panjang tentang tragedi tanah runtuh ini kerana rasanya ini telah saya ulas dalam posting saya sebelumnya. Kali ini saya ingin mengulas tentang beberapa aspek manusia dan kemanusiaan yang boleh kita ambil dari tragedi tanah runtuh ini.
Dalam kebejatan suasana politik negara, tragedi ini telah menampakkan solidariti rakyat dalam membantu mangsa tanpa mengira perbezaan kaum. Selain dari pihak kerajaan yang menjanjikan bantuan segera, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah menghulurkan bantuan sebanyak RM25,000 kepada rumah anak yatim ini. Selain dari itu, Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation juga telah memberikan sumbangan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa. Satu jumlah yang bukanlah banyak tapi amat signifikan dalam menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita ini, sifat kemanusiaan amat subur. Seorang wanita berusia 55 tahun juga diberitakan telah menyediakan makanan secara sukarela kepada 300 orang pasukan penyelamat, dan wanita yang tidak ingin dikenali ini selayaknya adalah di antara 'unsung heroine' dalam tragedi ini.
Kita juga dapat membaca berbagai anekdot tentang kehidupan lanjutan dari tragedi di Hulu Langat ini. Kita saksikan bagaimana seorang remaja berumur 17 tahun yang juga terkorban, Dzahir Haziq yang selalu ke rumah anak yatim ini setiap hujung minggu bagi membantu mengajar matematik kepada anak-anak yatim di rumah tersebut. Rumah ini juga menjadi tempat tuition untuk anak-anak di kawasan ini, selain dari menjadi tempat mempelajari Islam.
Paparan the Star tentang adik Khairul Anuar Mohd Nazri yang sedang dipeluk adiknya juga agak mencuit perasaan. Dua beradik ini terpisah kerana perceraian ibubapa mereka, dan tragedi ini berjaya menyatukan kembali keluarga ini. Begitu juga dengan berita hari ini tentang ibu yang telah berjaya bertemu kembali dengan anaknya selepas terpisah selama 11 tahun. Beberapa anekdot tentang hidup dan kehidupan yang walaupun ada titik hitam, tetapi tetap disulami perkara positif bagi mereka yang ingin mendapatkan iktibar tentang manusia dan kemanusiaan.
Seputih jubah yang mereka pakai, sesuci itulah juga anak-anak ini dalam bertemu Tuhan mereka, dan mereka telah juga memberikan sedikit iktibar bagi kita yang begitu 'yatim' di dunia
yang penuh kebejatan ini.
AlFatihah.
No comments:
Post a Comment