Monday, August 31, 2009

Antara Dua Darjat

Selamat menempuh fasa kedua Ramadhan - Fasa Maghfirah.

(i)


Di antara rancangan radio yang selalu saya dengar semasa memandu ke pejabat ialah Selangor fm, dan rancangan yang saya jarang 'miss' ialah 'secawan kopi sepotong kueh' setiap jam 8.00 pagi hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Ruangan ini memaparkan sketsa kehidupan berdasarkan pengalaman DJ Zainal Rahman (atau lebih dikenali sebagai Jenal anak Pak Rahman). Mendengar sketsa kehidupan yang dipaparkan oleh DJ kadang-kadang begitu mencuit perasaan dan memberi kesedaran kepada kita.

Di antara sketsa yang masih saya ingat ialah pengalaman DJ ini di satu petang di bazar Ramadhan di Shah Alam. Sedang DJ ini sibuk membeli juadah berbuka puasa, dia terlihat dua orang anak kecil yang sedang berbincang sesuatu. DJ ini mendekati kedua anak ini dan bertanyakan masalah mereka. Rupanya anak-anak ini sedang berbincang apa yang akan dibeli dengan duit RM2.00 yang diberi oleh ibu mereka. Kata si abang 'Saya nak kuih yang ini, tapi adik saya nak kuih yang itu, sedangkan duit tak cukup. Ini pun pertama kali mak bagi duit sebab kami teringin sangat nak merasa kuih di bazar Ramadhan ni'.

Menyambung sketsa ini dalam alunan suara yang macam tersekat-sekat, DJ ini bertanyakan mana ayah mereka. Jawab mereka 'ayah kerja waktu malam, buruh kasar'.

(ii)


Setiap Ramadhan, ada saja jemputan yang saya terima untuk berbuka puasa. Kalau boleh cari alasan, saya akan cuba menolak, tapi ada kalanya memang tak dapat elak. Tempat berbuka puasa pula agak mewah, dan bagi saya langsung tidak reflect spirit Ramadhan. Lebih kepada self-indulgence dan mungkin lebih ke arah haram. Caj satu kepala at least RM70.00, dan ada yang sampai RM150.00.

Saya masih ingat semasa satu majlis berbuka puasa di sebuah hotel di KL, saya memerhatikan kereta-kereta mewah dengan kanak-kanak di belakang (chauffeur-driven) masuk untuk berbuka puasa. Bukan satu atau dua kereta, lebih dari 10 kereta dengan membawa anak-anak. Terfikir dalam kepala saya, adakah cara bermewah begini yang ingin ditanam dalam diri anak-anak elit Melayu ini, dan apakah roh Ramadhan yang mereka akan dapat?

(iii)

وَفِىٓ أَمۡوَٲلِهِمۡ حَقٌّ۬ لِّلسَّآٮِٕلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ

'Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)'

Hayatilah ayat di atas dan amalkannya lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini. Jangan jadikan darjat puasa kita sama dengan golongan no. 2 di atas.

1 comment:

dariana said...

كلوا واشربوا ولا تسرفوا ءان الله لا يحب المسرفين

Ertinya dgn bermewah2 kita telah melakukukan apa yg dibenci Allah, sedang fasa pertama ramadhan itu Allah melimpahkan kasih sayangNya!

 

blogger widget
Touchsmart PC