Selamat menyambut Ramadhan untuk semua.
Ramadhan Bertamu Lagi
Tetamu itu datang lagi, sahabat
Mengetuk pintu nafsu kita yang selalu 'asi ini
Menjanjikan hari-hari penuh rahmah
Membuka luas pintu maghfirah
Membawa bersamanya seribu barakah
Ladeni tetamu ini, sahabat
Dengan tilawah ayat-ayatNya di balik bibir kering
Basahi pipi-pipi kita dengan solat di kegelapan malam
Gembirakan fuqara' dengan tanganmu yang 'ulya
Penuhkan rumahNya dengan tasbih tahmid takbir memujiNya
Jangan abaikan tetamu ini, sahabat
Dengan tidur kita yang panjang
Dengan tilawah yang kosong dari tadabbur
Dan dengan iftar yang penuh pembaziran
Jangan malukan tetamu ini, sahabat
Dengan majlis berbuka di hotel lima bintang
dengan dibuai alunan keroncong gamelan
atas nama satu strategi perniagaan
kendatipun tuan punya wang punya segala
Kerana di sana masih ada saudara satu Ilah satu syahadah
Yang masih tidur kelaparan
Di balik dentuman bunyi bom dan senapang
Muliakan tamu ini, sahabat
Kerana ia adalah murabbi tahunan
Agungkan tamu ini, sahabat
Kerana ia juga adalah
pembawa hari-hari yang penuh rahmat
menjanjikan maghfirah atas segala kekhilafan
pembebas dari panas neraka di hari kemudian
Marhaban bika ya Ramadhaan.
1 comment:
لعلكم تتقون
Post a Comment