Saturday, August 29, 2009

'Cow' Itu Lembu'

Maka seramai 50 orang penduduk Seksyen 23 Shah Alam telah mengadakan demonstrasi semalam bagi membantah pembinaan kuil di seksyen tersebut, siap dengan mengusung kepala lembu dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK.

Isu kuil ini telahpun lama diperbincangkan oleh pelbagai peringkat. Mengulas isu ini, Noh Omar telah menyatakan bahawa kerajaan PR tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

Apa yang seakan-akan dilupakan ialah kuil ini adalah tapak baru bagi kuil di Seksyen 19 yang akan dipindahkan. Tapak kuil di seksyen 19 itu terlalu dekat dengan kawasan kediaman, dan dikelilingi rumah yang majoritinya Melayu/Islam. Setiap hari buka pintu rumah, benda pertama yang nampak ialah kuil yang tidak sampai 20 kaki depan rumah (dengan patung kudanya dll) (dan melalui kawasan tersebut selepas pulang dari rumah kawan saya yang berdekatan semasa larut malam adalah sesuatu yang amat tidak menyenangkan). Ini telahpun berterusan lebih 20 tahun, dan tiada apa yang dilakukan oleh Ahmad Razali, Mat Taib, Abu Hasan Omar dan Khir Toyo bagi mengatasi masalah ini. Semasa penjualan rumah oleh PKNS lebih 20 tahun dulu, kedudukan kuil tidak ditunjukkan dalam plan lokasi, dan penduduk hanya menyedarinya selepas pindah ke rumah baru mereka. Lebih 20 tahun dulu, banyak lagi tanah lapang di Shah Alam, dan mencapai kompromi untuk memindahkan kuil itu mungkin lebih senang. Jadi kejayaan kerajaan PR dalam mencapai kompromi atas isu ini dan memindahkan ke tapak baru yang lebih sesuai adalah perlu dipuji, dan penduduk seksyen 19 tentunya amat berterima kasih.

Tapak baru di seksyen 23 adalah tapak industri, dan agak jauh dari kawasan perumahan. Berbeza dengan seksyen 19 yang 100% perumahan, seksyen 23 adalah 'mixed development' (kilang dan rumah). Penganut Hindu boleh terus berkeras bahawa kuil mereka di seksyen 19 telahpun ada di situ sebelum Shah Alam dibangunkan (bekas Ladang Sg Renggam), tetapi nampaknya mereka berkompromi dengan bersetuju berpindah ke seksyen 23 yang tidak begitu jauh dari tapak asal. Jaraknya lebih 200m dari kawasan perumahan, dan bukannya 20 kaki seperti di seksyen 19 sekarang.

Memikul bangkai binatang dari Masjid Negeri di bulan Ramadhan bukanlah memberikan imej yang baik kepada Islam. Mereka yang melakukannya mungkin merasakan mereka telah melakukan sesuatu untuk Islam, tanpa menyedari bahawa mereka telah mencemarkan imej Islam. AlQuran melarang mencerca tuhan-tuhan agama lain, kerana dibimbangi penganut agama lain akan mencaci balik Tuhan kita. Begitu juga dengan menghina imej suci apa-apa agama, yang mungkin akan menyebabkan mereka juga akan bertindak menghina syiar-syiar agama kita.

Muslim yang terdidik bertindak atas kefahaman yang dalam tentang asas agamanya, dan tidak bertindak tidak keruan bagaikan seekor lembu.


No comments:

 

blogger widget
Touchsmart PC