Beberapa minggu lepas, saya sempat trekking ke Air Terjun Sungai Lepoh di Ulu Langat bersama dengan sahabat-sahabat yang semua mereka hampir separuh umur. Ada dari mereka ini yang memang veteran mendaki gunung, sementara bagi saya kali terakhir saya mendaki gunung ialah 19 tahun lepas di Mount Fuji, Jepun. Dalam Waterfalls of Malaysia, accessibility untuk ke Air Terjun Sungai Lepoh dikategorikan sebagai moderate, dan biasanya mengambil masa dua jam (atau 1.5 jam bagi yang cukup fit).
Pendakian ini agak memenatkan kerana terdapat beberapa kawasan yang agak curam dan licin terutamanya selepas hujan. Kehadiran pacat di sepanjang trek juga tidak memungkinkan kita berhenti rehat agak lama. Dengan keadaan trek yang licin, jatuh adalah perkara biasa.
Selepas lebih kurang 2 jam perjalanan, kami sampai ke Air Terjun Sungai Lepoh. Tempat ini masih tidak tercemar dan menikmati deruan air terjun sebegini amat melapangkan fikiran. Ini adalah beberapa shots yang saya ambil semasa di sana.
Sepanjang pendakian, kami berjumpa dengan ramai pendaki lain, yang majoritinya adalah anak-anak muda, dan sempat juga kami sapa menyapa di dalam hutan itu. Sepanjang pendakian, kami berselisih jalan dengan dua kumpulan remaja Melayu dan dua kumpulann remaja Cina. Apa yang memberi kesan kepada saya ialah bila berselisih dengan sekumpulan anak-anak Melayu ini, ramai yang langsung tidak memberikan sebarang reaksi walaupun selepas disapa, dan tidak langsung membalas senyuman kami. Berbeza dengan remaja Cina yang kami temui, kumpulan pertama memberikan kata-kata perangsang seperti 'dah tak jauh dah' dan 'all the best'. Kumpulan kedua pula sempat bersembang dan memberi kata nasihat 'take care, got snakes there, but we have already put sulphur in the area'.
Berfikir kembali dan membandingkan sikap mereka, saya agak kecewa dengan sikap generasi anak Melayu sekarang yang nampaknya sudah hilang kesantunan, malah bangsa lain mungkin lebih 'courteous' dari kita. Mereka tidak merasa malu untuk berpelukan di siang hari di Suria KLCC sedangkan di masa itu orang sedang berpusu-pusu untuk ke Masjid AsSyakirin berhampiran KLCC. Anak-anak muda kita dengan sombongnya membunyikan hon kereta kerana laluan mereka tersekat sekejap di hadapan pintu masjid negeri Shah Alam, sebagaimana yang terjadi kepada saya minggu lepas semasa saya sedang 'download' barang-barang untuk pameran tentang isu Palestin untuk sebuah NGO di masjid tersebut.
Kita mungkin akan meninggalkan satu generasi yang tidak tahu bersopan, kurang ajar dan tidak tahu malu. Bagaimanakah agaknya Melayu Islam 50 tahun dari sekarang?
2 comments:
melayu sudah hilang nilai2 murni.. sayangnya..
Salam Anak Timur Laut,
Sentuhan cukup menarik...ANAK MELAYU SUDAH LAYU hakikatnya.. apa pun teringat pesan Tok Nenek " GURU KENCING BERDIRI ANAK MURID KENCING BERLARI " mana hujung mana pangkalnya
Post a Comment