Sunday, April 4, 2010

Tahniah, Ustaz Nik Dir


Satu ucapan tahniah yang sedikit lewat untuk Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, bekas mudir (pengetua) Sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu kerana telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Pemangku Sultan Kelantan pada 31 Mac lepas.


Pada mulanya saya agak terkejut bila mengetahui yang Ustaz Nik Dir yang saya kenali sebagai seorang yang tawadhu' dan 'low profile' ini terpilih untuk mendapat anugerah Dato'. Tetapi bila melihat kepada senarai yang mendapat anugerah di Kelantan tahun ini, saya dapat memahami yang Pemangku Sultan Kelantan ini lebih cenderung ke arah memartabatkan ilmuwan dan para ulama', dengan juga memberikan anugerah Dato' kepada Tuan Guru Pondok Pasir Tumbuh. Daulat Tuanku.


Sebagai seorang anak didik Ustaz Nik Dir, saya amat menghormati beliau yang saya kenali sebagai seorang yang pendiam tetapi cukup tegas. Ustaz Nik Dir berjaya 'command respect' dari semua yang di bawahnya dari golongan guru hinggalah ke kalangan para pelajar. Murid yang dari golongan 'gedebe' pun akan merasa segan dan 'malu alah' dengan beliau.


Semasa saya memasukki Maahad Muhammadi di Jalan Merbau, Ustaz Nik Dir telahpun menjadi mudir di sekolah tersebut, dan beliau mula mengajar saya sama ada di tingkatan 2 atau 3. Sebelum itu saya hanya melihat dan menilai mudir ini dari jauh dan amat menghormati cara beliau yang benar-benar menampakkan beliau sebagai seorang ilmuwan yang 'amilin. Di tingkatan 2 dan 3, beliau hanya mengajar subjek Khat, satu subjek yang langsung saya tidak minat (tangan kidal ini tidak ada seni langsung). Saya lebih meminati subjek Imlak (dictation) yang 'alternate' dengan subjek Khat, dan biasanya saya akan 'score' full mark untuk subjek Imlak ini (atau mungkin kerana saya begitu suka kepada Ustaz Fakhri yang suka bercerita, yang ceritanya masih saya ingat hingga sekarang - cerita Habannaqah, Sinimmaar dan lain-lain). Ustaz Nik Dir amat berbakat dalam bidang Khat, dan khabarnya ini diwarisi oleh anak-anak beliau. Banyak tulisan khat di dinding sekolah Maahad Muhammadi masa itu ditulis oleh Ustaz Nik Dir.


Tempoh pembelajaran yang saya lalui di Maahad Muhammadi adalah satu masa yang amat saya hargai, di mana di masa itulah keperibadian terbentuk. Dengan dikepalai oleh Ustaz Nik Dir yang penuh sifat tawadhu' dan disokong oleh guru-guru yang ikhlas (Cikgu Asma', Cikgu Lah, Ustazah Maryam, dan lain-lain), tempoh pembelajaran ini adalah tempoh paling 'pure' dalam hidup saya. Di masa itu, saya mampu menghafaz surah Yasin dalam masa 40 minit period AlQuran, dan saya mampu menghafaz semua ayat-ayat dalam buku Mahfuzaat, sama ada kata-kata para hukama' ataupun syair Arab.


Tahniah sekali lagi kepada Ustaz Nik Dir, dan terima kasih kepada semua bekas guru-guru di Maahad Muhammadi. Semoga kalian semua sihat walafiat dan masih mampu berbakti kepada masyarakat dengan apa cara sekalipun.

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ

(Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan) -AtTaubah 105.


Wednesday, March 17, 2010

2010 Yang Suram

(i)

Minggu ini telah masuk minggu ke 11 tahun 2010. Dan Isnin lepas, seorang lagi bayi telah dijumpai dibuang di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Ini menjadikan jumlah bayi yang telah dibuang tahun ini seramai 11 orang, menjadikan purata pembuangan bayi ialah seorang seminggu. Jika purata ini berterusan, kita mungkin akan menyaksikan angka pembuangan bayi untuk tahun ini berjumlah tidak kurang dari 50 kes.

Seperti biasa, gejala ini kebanyakannya melibatkan bangsa Melayu yang beragama Islam. Dalam masa yang sama, kita melihat ahli-ahli politik kita lebih berminat untuk terus bermain politik yang langsung tidak constructive dan amat destructive. Banyak perkara yang sebenarnya boleh dilakukan bersama oleh para pemimpin kita dalam mengubati penyakit masyarakat Melayu yang semakin tenat ini. Politik yang berlebihan hanya akan menghancurkan masyarakat kita.

Telah sampai masanya kita bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja bagi membantu masyarakat kita melalui kerja-kerja amal (charity) dan kemasyarakatan. Cara inilah yang diamalkan oleh AK Party di Turki sehingga mampu menguasai kepimpinan negara Turki. Begitu juga dengan strategi yang digunakan oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia dengan slogan 'Bersih, Peduli, Profesional' yang setakat ini telah berjaya menambat hati rakyat Indonesia.

(ii)

Kita baru masuk bulan ketiga tahun 2010. Tetapi nampaknya bumi kita telah ditimpa bencana yang rasanya terlalu kerap akhir-akhir ini. Gempa bumi tahun ini telahpun mengorbankan seramai 250,000 orang, dengan jumlah 15 gempa bumi yang melebihi skala 5 Richter. Satu angka yang agak tinggi untuk tempoh 3 bulan pertama tahun ini. Gempa bumi terakhir yang berlaku setakat ini ialah di pulau Honshu pada 14 Mac lepas, dengan skala 6.6, satu skala yang agak tinggi dan berlaku di pulau yang paling tinggi kepadatannya di Jepun. Bagi orang Jepun, mereka berpendapat yang satu gempa bumi besar (ohki jishin-the big one) akan berlaku setiap 69 tahun, dan masa itu telahpun lama berlalu (long overdue).

Kita telah menyaksikan begitu banyak bencana berlaku di sekeliling kita. Janganlah kita hanya menjadi penonton dan menganggap bencana ini tidak akan berlaku ke atas kita. Tsunami akibat gempa pada tahun 2004 masih segar di ingatan kita, dan jika dikaji kita akan menyedari bahawa di antara bencana alam paling dahsyat berlaku di kawasan Nusantara ini. Krakatoa pada tahun 1883 yang telah meragut 36,000 nyawa tidaklah begitu jauh dari kita. Begitu juga dengan letusan Gunung Tambora di pulau Sumbawa pada tahun 1816 yang mengorbankan 71,000 nyawa dan menyebabkan kebuluran besar-besaran dunia disebabkan perubahan cuaca dunia akibat letusan ini.

Mala petaka yang menimpa sesuatu kaum itu adalah 'directly proportional' dengan kemaksiatan yang dilakukan mereka. Kita mungkin telah membaca tentang letusan Gunung Vesuvius pada tahun 79 AD yang telah menimbus Kota Pompeii dengan debu gunung berapi sedalam 20m. Jika kita baca tentang masyarakat kota ini, kita dapati bahawa nilai akhlak terlalu rendah. Zina berlaku secara berleluasa, dan pornografi di masa itu mungkin lebih teruk berbanding 'standard' pornografi sekarang.

Langit akhlak masyarakat kita semakin runtuh. Orang Melayu sekarang merupakan 'johan' dalam kes pembuangan anak, rempit, ragut, seks rambang dan macam-macam lagi. Setiap kali menyambut tahun baru atau Valentine's Day, kita akan mendengar ramai yang ditangkap termasuk isteri orang dengan suami orang, ataupun seorang anak gadis dan ibunya yang ditangkap pada malam yang sama. Sudah tiba masanya kita bekerjasama dalam menangani gejala ini dan tidak hanya pandai menyalahkan satu sama lain. Kita sekarang sedang mengalami 'overdose of politicking' dan terlalu mengabaikan masalah umat ini yang semakin hari semakin tenat.


Friday, February 26, 2010

Kami Bukan Pengemis


Maka Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk memberikan wang ehsan kepada Kelantan dan menidakkan hak Kelantan ke atas royalti minyak sebagaimana yang dituntut oleh Kerajaan Kelantan. Kerajaan Persekutuan juga telah melantik Datuk Dr Awang Adek Husin untuk menguruskan wang ehsan ini yang berjumlah RM20 juta, jauh dari apa yang dituntut Kerajaan Negeri.


Saya tidak ingin mengulas tentang isu royalti, jarak telaga minyak dan lain-lain yang saya kira terlalu jelas dan alasan-alasan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalah 'insulting the intelligence'. Memang amat sukar menang jika bermain bola dengan kedudukan tiang gol yang selalu diubah (changing goal posts) dan ditambah pula dengan 'referee' yang merupakan pemain ke 12 pihak lawan, yang selalu menukar peraturan permainan berdasarkan kehendak mereka. Mereka boleh menukar royalti kepada wang ehsan dan kembali semula kepada royalti mengikut kemahuan mereka tanpa ada rasa hormat kepada perjanjian yang telah dipersetujui bersama.


Sebagai seorang anak Kelantan, saya melihat episod sebagai satu penghinaan, lebih-lebih lagi dengan 'wang ehsan' yang diberi hanya berjumlah RM20 juta. Jumlah ini mungkin sama dengan jumlah yang dibelanjakan oleh parti pemerintah untuk hanya satu pilihanraya kecil. Apa yang lebih memalukan lagi ialah ada anak-anak Kelantan yang mengikut skrip Kerajaan Persekutuan dan menyokong pemberian 'wang ehsan' ini, seperti satu poster berbunyi 'Insya Allah, Wang Ehsan' semasa sesi penerangan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.


Orang Kelantan bukanlah golongan yang suka meminta-minta, dan mungkin di kalangan orang Melayu Semenanjung adalah yang paling 'less-subsidized' dibandingkan dengan Melayu di Pantai Barat. Apa yang diminta adalah hak berdasarkan kepada satu perjanjian yang telah dimeterai dahulu. Seperti yang ditulis oleh Dr Hanapi Dollah, seorang pensyarah Sejarah UKM, rakyat Kelantan begitu sensitif tentang maruah, harga diri dan martabat mereka, dan mereka bertindak terhadap persekitaran sosio-politik berdasarkan perkara-perkara ini. Richard Sidney, seorang Inggeris yang telah melawat Kelantan di awal kurun 20 telah menyatakan bahawa Melayu Kelantan 'ialah Melayu yang tidak sama dengan Melayu yang diketahui di Barat. Seorang Melayu yang bermegah dengan kebolehan melakukan segala perkara'. Itulah jatidiri rakyat Kelantan, dan asas permintaan mereka ke atas royalti adalah berdasarkan satu perjanjian yang telah memastikan hak mereka ke atas wang tersebut.


Rakyat Kelantan sekali lagi telah dinafikan hak mereka dan hak ini telah 'disamun' oleh Kerajaan Pusat untuk kemudiannya dibahagikan di kalangan penyamun tarbus yang lain. Satu soalan lagi ialah adakah angka RM20 juta ini satu angka yang tepat. Angka ini mungkin jauh melebihi RM20 juta jika kerajaan betul-betul transparent dalam menentukan kedudukan telaga minyak dan gas yang terbabit. Itu belum lagi dikira kemungkinan penggunaan 'horizontal directional drilling' yang sekarang ini begitu advanced dalam bidang oil & gas, yang jauhnya boleh mencapai sehingga 7 km berdasarkan teknologi terkini.


Saturday, January 9, 2010

Viva Turkey




Alhamdulillah, akhirnya konvoi Viva Palestina telah berjaya dalam misi mereka memasuki Gaza setelah melalui perjalanan lebih 5000 batu di pertengahan musim sejuk di Eropah sekarang dan menghadapi banyak halangan yang ironisnya datang daripada orang Islam sendiri. Mereka telah disambut dengan meriah oleh penduduk Gaza yang berbaris sepanjang jalan di Gaza bagi menyambut kedatangan mereka. Buat masa ini konvoi ini telahpun keluar daripada Gaza dan ketua mereka, MP George Galloway telahpun mendapat 'anugerah' sebagai persona non grata oleh Mesir dan diberikan 'the first flight to Britain' oleh Mesir.

Apa yang menarik di sini ialah penglibatan Turki dalam membantu menjayakan konvoi bantuan ini. Kerajaan Turki telah memberikan bantuan yang bukan sedikit dalam membantu konvoi ini termasuk menaja kapal pengangkut dan campurtangan terus kerajaan Turki dalam memastikan kejayaan misi, termasuk penglibatan kepimpinan AK Party dan beberapa orang ahli parlimen mereka dalam misi ini.


Sudah sampai masanya Turki kembali memainkan peranannya dalam mempertahankan Islam. Bangsa nomad yang telah dimuliakan Allah dengan Islam ini satu masa dahulu pernah menakluk sebahagian Eropah dan pernah mengepung kota Vienna, yang kedudukannya jauh dalam Eropah. Pengaruh kerajaaan Ottoman Turki juga meliputi hingga ke Nusantara. Kita mungkin pernah membaca bagaimana dalam kurun ke16, Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Shah alQahhar telah mengirim utusan ke Istanbul bagi meminta bantuan menghadapi Portugis. Sebagai bekalan dan juga persembahan kepada khalifah, mereka juga membawa sebuah kapal yang penuh dengan lada.


Malangnya, pada masa itu Sultan Sulaiman (Suleiman the Magnificient) sedang sakit dan kemudiannya meninggal dunia, dan baginda telah diganti oleh Sultan Salim II. Misi mereka untuk berjumpa khalifah telah tertangguh, dan bekalan lada yang dibawa semakin berkurangan. Akhirnya mereka telah berjaya menemui Salim II semasa mereka berada di pasar bagi menjual lada yang tinggal hanya secupak. Salim II terus mengeluarkan arahan bagi menghantar armadanya ke Aceh lengkap dengan beratus-ratus askar dan jurutera, serta meriam yang akhirnya dinamakan 'Meriam Lada Sicupak'. Ini menyebabkan Portugis gagal melakukan sebarang penaklukan seterusnya disebabkan kekuatan Aceh yang dibantu oleh khilafah di Istanbul pada masa itu. Hingga sekarang keturunan askar Turki ini masih berada di Aceh.


Cerita ini menekankan betapa kuatnya rasa tanggungjawab seorang khalifah ke atas keseluruhan daulah Islamiyyah, dan juga ikatan persaudaraan Islam pada masa itu. Di Nusantara sendiri, kita melihat ikatan persaudaraan dan semangat jihad yang tinggi semasa kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Kita mungkin pernah mendengar bagaimana orang-orang Islam di Jawa telah datang bagi membantu Melaka dari serangan Portugis. Walau bagaimanapun, di pertengahan jalan mereka telah berjumpa dengan pahlawan Melayu yang telah berundur dari Melaka, yang seterusnya memberitahu mereka tentang kejatuhan kota Melaka. Mendengarkan berita ini, ada di antara mereka yang berpantun 'Kalau roboh kota Melaka, Papan di Jawa hamba dirikan, Kalau sungguh bagai dikata, Nyawa dan badan hamba serahkan'. Pantun ini asalnya menggambarkan betapa mereka rela berkorban nyawa untuk menegakkan bumi Islam, tetapi sekarang pantun ini mempunyai makna yang telah terlalu jauh berbeza.


Malangnya, semua itu telah hilang dari pemimpin umat Islam sekarang, dan majoritinya hanyalah menjadi agen kepada golongan kuffar. Mereka menjadikan negara mereka sebagai 'base' kepada kuasa besar untuk menyerang negara umat Islam yang lain, ataupun bersekongkol dengan kuffar bagi menyembelih saudara mereka sendiri. Tidak cukup dengan mengabaikan jiran seIslam yang kelaparan, mereka sebaliknya berusaha menggagalkan usaha pemberian bantuan, dan telah membina dinding besi bagi memastikan Gaza menjadi sebuah penjara paling besar di dunia, dan menjadi ghetto untuk orang Palestin. Bila Vladimir Ze'ev Jabotinsky, ektremis Zionis mengeluarkan idea pembinaan dinding besi di Palestin lebih 80 tahun dulu, beliau mungkin tidak terfikir yang dinding ini nanti akan dibina oleh umat Islam sendiri.

Shame on you, Egypt. Viva Turkey. Hidup Turki.

------------------------------------------------------------------------------------------------

World Bulletin / News Desk



Ismail Haniyeh welcomed the representatives of Viva Palestine Convoy, which reached Gaza after a 21-day long journey.

Members of Turkish organisations, IHH Humanitarian Relief Foundation President Bulent Yildirim and board members, and Mazlumder President Ahmet Faruk Unsal were among the visitors, the group said. Ismail Haniyeh gave the Palestinian scarf signed with 'courage award' to the guests. He also delivered a letter written to the Turkish Prime Minister Recep Tayyip Erdogan to the IHH President Bulent Yildirim. Haniyeh said he invited Erdogan to Gaza in the letter.


Speaking at the visit, Haniyeh thanked the convoy that rushed to the aid of the people of Gaza from thousands of km away and all the people of Turkey. Haniyeh said that "All the Palestinians respect you. You reached Gaza with great effort, after all hurdles." "We followed you from the beginning, lived and felt your difficulties with you, prayed to Allah for your safety. There is a great love and happiness in the hearts of the people of Gaza, because you came here. "I see your visit as an opportunity. We offer our love and respect for our brothers in Turkey. And as leaders, as well as the government and the people, we send our love to Turkey." Haniyeh also thanked the IHH for their help. Saying the help is the symbol of the "importance of Islamic brotherhood", he said.


IHH President Bulent Yıidirim announced that they will go to Palestine via ships after the convoy to make the embargo pointless. Reacting Egyptian polices' attack to the convoy, Yildirim thanked Jordan and Syria for their contribution. Meanwhile, keys of 145 vehicles that brought with the convoy were handed over to the authorities. IHH President Bulent Yildirim, Murat Mercan, AK Party deputies Husnu Tuna, Mehmet Nil Hidir, Seracettin Karayagiz, Cemal Yilmaz Demir, vice president of Saadet Party Temel Karamollaoglu, Palestine Social Affairs Minister Ahmed El-Kurdu and George Galloway attended the 'key ceremony.'


 

blogger widget
Touchsmart PC