Saturday, June 6, 2009

Dirgahayu Tuanku

Sempena dengan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Tuanku, dengan hormat dan penuh takzimnya patek mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah ke Bawah Duli Tuanku sempena ulangtahun Tuanku hari ini.

Sempena hari yang berbahagia ini, patek juga berdoa ke hadhrat Allah Subhanahu Wataala semoga Duli Tuanku serta Baginda Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya. Demikian juga, patek berdoa semoga Duli Tuanku berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat, dengan penuh daulat dan kesejahteraan.

Limpahan rahmat dan hidayah Allahlah yang paling penting yang perlu untuk Tuanku dalam menerajui negara tercinta ini. Untuk memperolehi rahmat dan hidayah Allah Subhanahu Wataala, mungkin Tuanku perlu mengikut suri tauladan yang telah ditunjukkan oleh Paduka Ayahanda dan Nenda Tuanku yang begitu rapat dengan ulama 'amilin. Tradisi eratnya hubungan ulama 'amilin dan umara' telahpun dimulakan sejak zaman Nenda Paduka Sultan Omar yang mendampingi Tukku Tuan Besar serta Nenda Sultan Zainal Abidin I yang rapat dengan Tok Pulau Manis, seorang ulamak tersohor yang merupakan peneraju pendidikan agama di Terengganu, ulama istana dan guru kepada orang ramai.

Tradisi mendampingi ulama ini diteruskan oleh Nenda Tuanku Sultan Zainal Abidin III yang sentiasa mendampingi anak Tukku Tuan Besar, Tokku Paloh yang merupakan seorang ulamak kerohanian yang juga terlibat dalam bidang pentadbiran Terengganu. Tokku Paloh juga diterima sebagai penasihat utama kepada Nenda Sultan Zainal Abidin III dan berjaya mematahkan percubaan penjajah untuk mencampuri urusan negeri. Nenda Tuanku ini juga adalah juga anak murid kesayangan seorang lagi ulama besar Terengganu, Tok Syeikh Duyung. Boleh dikatakan ulama-ulama inilah yang menjadi tunjang kepada pemerintahan nenda-nenda Tuanku di Terengganu.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Kejayaan nenda Tuanku Sultan Zainal Abidin III dalam menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah pada usia yang muda (16 tahun) adalah berkat mendampingi ulama, sehinggalah nenda Tuanku dapat memerintah selama 36 tahun. Penjajah tidak dapat bertapak di negeri Tuanku kerana ulama dan umara yang berganding bahu mempertahankan jati diri dan akidah umat. Itulah sebabnya selepas kematian Tokku Paloh pada 1917 dan kemangkatan Nenda Tuanku setahun selepas itu, barulah penjajah sedikit demi sedikit dapat menguasai Terengganu.

Tuanku. Negara akan selamat jika pemerintah tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Sebaliknya negara dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Negara juga akan lebih binasa jika pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Akan tetapi akan sentiasa ada ulama yang akan terus mempertahankan kebenaran di kalangan umat ini sepertimana dulunya Haji Abdul Rahman Limbong di negeri Tuanku tetap berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kuffar walaupun beliau kalah dan dibuang keluar negara.

Ampun Tuanku. Segala musibah yang menimpa negara hari ini mungkin kerana hilangnya keberkatan dalam pimpinan sekarang. Kepimpinan sekarang nampaknya diterajui oleh golongan yang fasid dan bukan golongan yang terbaik di kalangan rakyat. Rasuah dipandang ringan dan menjadi mainan golongan pemerintah, zina sudah terlalu melata, arak dan judi menjadi mainan harian. Akibatnya rakyat terpaksa menanggung bala yang datang silih berganti; tanah runtuh, ekonomi merudum, bangunan berantakan menyembah bumi dan entah apa lagi musibah yang akan menimpa.

Ampun Tuanku. Tuanku mempunyai model yang terbaik yang telah diasaskan oleh nenda-nenda Tuanku. Model itu begitu berkesan satu abad lepas, dan tentunya model yang berasaskan Islam ini juga adalah yang terbaik untuk setiap masa.

Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.



No comments:

 

blogger widget
Touchsmart PC