Ramadhan datang lagi, dan seperti biasa di awal Ramadhan ini, masjid kembali padat dengan para pengunjung yang datang untuk beribadat di bulan penuh barakah ini. Seperti biasa saya dan keluarga akan ke masjid negeri di Shah Alam untuk bersolat Isyak dan diikuti dengan tarawikh. Belum pun masuk waktu Isyak, laluan ke masjid telahpun sesak dengan kenderaan yang semuanya menuju ke masjid. Sebagai pengunjung rutin ke masjid negeri, fenomena ini adalah perkara biasa setiap kali datang Ramadhan, atau lebih tepat pada malam-malam awal Ramadhan. Fenomena ini akan berubah terutamanya selepas separuh kedua bulan Ramadhan.
Inilah fenomena biasa yang akan kita lihat setiap tahun, dan ini amat bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Islam. Terlalu banyak perkara yang umat Islam sebelah Nusantara ini praktikkan yang amat jauh dari yang telah digariskan oleh Islam. Kebanyakan kita hanya bersungguh-sungguh melakukan ibadah fardhu dan sunat pada bulan Ramadhan sahaja, sementara mengabaikan semua ini di bulan-bulan lain. Maka jadilah kita seperti disebut oleh Dr. Yusuf alQaradhawi sebagai 'Ramadhaaniyyuun' dan bukannya 'Rabbaaniyyuun' sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Ramadhan juga sepatutnya menjadikan kita insaf terhadap penderitaan dan kesengsaraan saudara seIslam yang lain. Akan tetapi tidak ramai daripada kita yang dapat betul-betul menghayati konsep ini. Bila datang saja Ramadhan, media kita akan mengiklankan buffet berbuka puasa di hotel-hotel yang harganya tidak kurang dari RM70 seorang, dan ada yang mencapai RM150. Adakah cara bermewah-mewah begini yang kita ingin terapkan dalam masyarakat kita, dan apakah roh Ramadhan yang akan kita dapat dari 'self-indulgence' sebegini? Bila melihatkan kepada majlis sebegini, saya selalu teringatkan kepada satu artikel yang ditulis oleh mendiang MGG Pillai bertajuk The Gluttony of Ramadhan. Satu pengamatan yang amat pahit bagi orang Islam, tapi pada masa yang sama kita tidak dapat menolak realiti ini yang berlaku dalam masyarakat kita.
Cara kita menyambut kedatangan Ramadhan juga begitu asing dari yang digalakkan oleh Islam. Islam amat menggalakkan kita untuk memeriahkan suasana Ramadhan, tetapi sebaliknya suasana ini hanya dapat kita lihat di akhir Ramadhan dan sempena menyambut kedatangan Syawal. Islam menggalakkan kita bersungguh-sungguh menghidupkan ibadah pada 10 hari terakhir Ramadhan, tetapi sebaliknya orang kita telah menuju ke pasaraya bagi persiapan menyambut Syawal pada hari-hari terakhir Ramadhan. Begitu jauh kita dari sikap para sahabat dan salafussoleh yang akan menangis bila berakhirnya Ramadhan.
Kita adalah ummah yang telah dimuliakan oleh Allah dengan bulan Ramadhan, yang di dalamnya ada fasa rahmat, fasa maghfirah dan fasa pembebasan dari api neraka. Hilangnya ketiga-tiga fasa ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan kita. Menyambut kedatangan Syawal bukanlah seperti merayakan tamatnya bulan Ramadhan, tetapi menyambut satu kemenangan dalam perjuangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan itu. Semasa belajar di England dahulu, kami pelajar Malaysia selalu menjemput para pensyarah bagi menghadiri majlis hari raya anjuran pelajar Malaysia. Saya masih ingat seorang pensyarah saya, Prof. Adrian Hyde yang berkata 'you must be very happy that Ramadhan is over'. Mungkin beliau tidak tahu apa yang nak diucapkan kepada kami sempena hari raya, dan dari perspektif beliau mungkin semua umat Islam gembira dan merayakan tamatnya Ramadhan di mana semuanya 'terpaksa' berlapar dan dahaga selama sebulan. Saya hanya tersenyum dan berkata 'Thank you, Prof'.
No comments:
Post a Comment