Beberapa malam lepas, sempat melakukan sedikit kerja-kerja amal untuk Aqsa Syarif (http://www.aqsasyarif.org.my/) dengan melakukan kutipan derma dan jualan amal di Masjid Wilayah Persekutuan sempena Malam Ihya' Ramadhan anjuran Pertubuhan IKRAM. Kerja-kerja mengutip derma sebegini untuk saudara-saudara kita di Palestin banyak membantu saya dalam menanam rasa rendah hati dalam diri ini, di samping dapat membuka mata saya untuk melihat berbagai ragam dan sifat manusia. Alhamdulillah di masjid yang gah di tengah kota ini, manusianya begitu pemurah dan begitu prihatin tentang isu Palestin dan kutipan mencecah lebih RM1,300, satu angka yang agak baik untuk kutipan yang tidak sampai 24 jam. Beberapa catatan untuk perkongsian saya perturunkan di bawah ini sepanjang menjaga 'booth' Aqsa Syarif' di masjid ini.
(i)
Selepas solat Isyak, datang seorang anak muda yang datang ke booth dan banyak bertanya tentang isu Palestin. Saya menerangkan secara detail semampu saya sambil memberikan leaflets yang menerangkan isu ini dan cara menderma yang lebih lanjut. Kemudian anak muda ini meletakkan beberapa ringgit ke dalam tabung derma. Satu jumlah yang tidak banyak, tetapi saya yakin satu sumbangan ikhlas dari seorang anak muda yang nampak tidak begitu terurus, yang kita mungkin akan melabelkannya sebagai pemuda gelandangan jika kita berjumpa beliau di tengah kota. Semoga Allah merahmati anak muda ini.
(ii)
Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi, dan saya duduk di atas kerusi sambil membaca kitab suci. Ternampak satu sosok beruniform menghampiri tabung derma dan membaca leaflet yang ada di atas meja. Orang tua ini adalah security guard masjid ini yang mengambil kesempatan di awal pagi untuk melihat-lihat program yang ada di masjid. Kemudian orang tua ini menyeluk sakunya dan meletakkan seringgit ke dalam tabung derma dan berlalu dari situ.
(iii)
Orang sudah mula ramai ke masjid pada jam 5.00 pagi untuk beriktikaf dan bertahajjud. Kelihatan seorang yang saya rasa amat familiar menaiki tangga dan terus meluru ke booth kami dengan menggenggam beberapa ratus ringgit di tangannya. Kemudian beliau memasukkan wang RM300 itu ke dalam tabung derma, bersalam dengan saya dan terus memasuki ruang solat. Otak ligat memikirkan siapakah orang ini. Ah, baru teringat yang dermawan ini adalah seorang arkitek terkemuka negara, yang hasil kerjanya banyak dapat dilihat di negeri kelahirannya Terengganu.
..........................................................................................................................................................................
Sumbangan yang dikutip oleh Aqsa Syarif telah banyak memberi manfaat kepada saudara-saudara kita di Palestin. Hasil derma ini, telah terdiri kilang roti yang telah mula mengeluarkan hasilnya pada Jun lepas, dan satu lagi kilang roti akan dibina di Jabaliyya. Pada minggu lepas, sukarelawan Aqsa Syarif telah ke Gaza dengan membawa sejumlah RM 1.2 juta bagi membiayai pelbagai projek di sana. Anak muda berpakaian selekeh, orang tua jaga masjid dan professional terbilang itu semuanya telah menyumbang bagi membantu saudara kita yang terjajah di Palestin. Tidak kira sama ada seringgit cuma ataupun beberapa ratus sumbangannya, semoga semua ini akan menjadi amal jariah bagi mereka dan anak-anak yatim serta miskin di sana akan menjadi benteng kepada mereka di hari hisab nanti.
No comments:
Post a Comment