Saturday, August 6, 2011

Doa Untuk Hama

Posting ini adalah sebagai menyahut seruan Ikhwanul Muslimin yang menyeru para penyokongnya di Mesir untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari solidariti dengan umat Arab, terutamanya di Syria yang sekarang ini sedang menghadapi pembantaian berterusan dari rejim Syiah Nusayriyyah pimpinan Basyar alAssad.

Bermula 1 Ogos 2011, rejim Basyar alAssad telah mula mengepong bandar Hama bagi memadamkan kebangkitan rakyat di sana. Hari ini genaplah 5 hari mereka dikepong dan diganyang oleh tentera kerajaan dengan menggunakan kereta kebal dan snipers. Orang luar dan wartawan tidak dibenarkan memasuki bandar ini dan hingga kini, dianggarkan korban mencapai 300 orang.

Hama adalah merupakan kubu kuat Ikhwanul Muslimin (IM) di Syria dan pembantaian massal sebegini bukanlah perkara baru bagi Hama. Ikhwanul Muslimin merupakan satu force yang amat ditakuti oleh rejim Syria dan pernah memenangi 10 kerusi parlimen pada tahun 1961. Gerakan ini kemudiannya telah diharamkan selepas rejim Parti Baath merampas kuasa pada tahun 1963, dan mereka meneruskan perjuangan bersenjata yang mencapai kemuncaknya pada tahun 1982. Keahlian di dalam IM di Syria adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati.

Pada tahun 1982, IM telah bangkit dan mengambil alih bandar Hama. Rejim alAssad kemudiannya telah bertindak balas dengan menghantar 12,000 tentera di bawah pimpinan adik Hafiz alAssad, Rifaat alAssad dengan dibantu oleh helikopter dan kereta kebal bagi menghapuskan kebangkitan rakyat ini. Selepas 27 hari dikepong, tentera Syria telah memasuki bandar Hama dan melakukan pembunuhan massal dengan secara rambang memasuki rumah-rumah, mengumpulkan semua keluarga dan menembak mereka secara beramai-ramai. Sebahagian besar bandar ini telah dimusnahkan. Dianggarkan seramai 40,000 orang penduduk bandar Hama telah dibunuh, satu angka yang menjadikan tragedi Sabra dan Shatila sebagai satu tragedi kecil sahaja. 15,000 orang lagi diklasifikasikan sebagai hilang sementara 100,000 orang telah dihalau keluar dari bandar Hama. Peristiwa ini menandakan satu kekalahan IM sebagai satu kuasa politik di Syria dan ramai dari ahli IM telah meninggalkan Syria sementara pemimpin IM Syria, Ali Sadruddin alBayanuni telah mendapat suaka politik di London. Tragedi Hama dan cerita perjuangan di Syria (termasuk pembunuhan beramai-ramai ahli IM di penjara Tadmur pada 27 Jun 1980 oleh Rifaat alAssad) adalah menjadi topik perbincangan para aktivis Islam zaman awal 80an. Nasyid-nasyid oleh Muhammad Abu Ratib, seorang ahli IM kelahiran Aleppo juga menjadi kegemaran para aktivis di masa itu. Nasyid Abu Ratib kebanyakannya berkisar tentang perjuangan Islam di Palestin dan Syria dan memang penuh semangat.


Sejarah berulang lagi di Hama, dan kita hanya mampu berdoa agar tragedi kali ini tidak seburuk tahun 1982. Dengan closed-door policy oleh rejim alAssad, angka sebenar kematian hingga sekarang amat sukar ditentukan. Tindakan rejim ini yang membunuh rakyat mereka sendiri dan menyerang hospital dan masjid perlu dikutuk oleh masyarakat dunia. Adakah kita ingin melihat tragedi Hama berulang dan saudara-saudara kita di sana terus dibunuh oleh golongan Nusairiyyah yang dianggap kuffar oleh sebahagian besar ulama' Islam? Kebangkitan di Hama adalah jelas satu jihad dan kesinambungan satu perjuangan satu golongan majoriti yang telah ditindas lebih 40 tahun oleh golongan minoriti Nusairiyyah, dan satu suara untuk membebaskan diri dari cengkaman kezaliman yang telah terlalu lama di Syria. Semoga saudara kita di bumi barakah ini beroleh kemenangan.


No comments:

 

blogger widget
Touchsmart PC