Saturday, June 4, 2011

Lagi Tentang Hidup dan Kehidupan


Seusai solat Isya' di surau Seksyen 3 bersama bongsuku, aku terus ke kereta untuk pulang ke rumah di Seksyen 24. Tiba-tiba cermin keretaku diketuk oleh seorang anak remaja dan bertanya 'Pak Cik, nak beli buah jambu batu potong? Ada dua bungkus, last.' Pada mulanya aku teragak-agak untuk melayan anak remaja ini, tetapi hati kecilku menyuruhku untuk melihat barangan yang dijual anak ini, dan memastikan yang anak ini jujur dalam menjalankan urusannya bila dia menyebut 'tinggal dua bungkus, last.'

Aku keluar dari kereta dan mengikuti anak ini ke tempat dia meletak buah jambu potongnya di bawah pokok di hadapan surau ini. Memang betul tinggal dua bungkus plastik jambu, dan anak ini bercakap benar. Terdapat dua orang lagi sedang menunggu di bawah pokok, seorang berumur lingkungan 11 atau 12 tahun dan seorang lagi sekitar 5 tahun. Aku mengambil kesempatan untuk berbual dengan anak-anak ini.

'Tinggal kat mana?' tanyaku. 'Kami duduk di flat seksyen 16,' jawab yang tua. Jaraknya dalam 5 hingga 6 km, dan dengan membawa tong berisi barangan setiap sejauh itu memang amat mencabar.

'Ayah tak datang ambik?' selidikku lagi. 'Ayah tak ada kenderaan. Ayah baru dapat kerja jadi jaga kat kilang,' jawabnya lagi.

'Yang dua orang ni adik ke?' tanyaku lanjut. 'Yang dua ni sepupu saya. Mereka tinggal dengan kami. Ayah mereka dah meninggal sebab penyakit lelah,' jawab yang paling tua. Tersentak aku mendengarnya. Dua anak yatim kecil ini terpaksa menumpang di rumah bapa saudaranya yang kerja pun ala kadar sahaja, di tengah bandar yang serba mahal ini.

Aku mengambil kedua-dua bungkus jambu dan membayarnya. Jelas kegembiraan terpancar di wajah mereka kerana berjaya menghabiskan jualan mereka malam itu. Aku ambil lagi 2 not RM10 dan memberinya kepada yang paling tua yang pada mulanya berkeras tidak mahu menerima pemberianku. 'Ini untuk belanja sekolah esok, dan untuk yang dua ni jugak. Mereka anak yatim,' ujarku.

Anak ini tunduk dan mencium tanganku, sementara senyuman anak paling kecil yang berumur 5 tahun begitu mengesankanku, kerana itulah di antara senyuman paling 'pure' yang aku pernah lihat. Wajah 'innocent' yang belum tahu apa-apa, tapi telah mula merasai pahit getir satu kehidupan.

Aku kembali masuk ke kereta, dan terasa ada air mata tumpah semasa aku memandu balik ke rumah dari surau. Dan sepanjang perjalanan, aku teringat kembali jalan sepanjang Kota Bharu yang aku lalui untuk ke sekolah dengan berjalan kaki setiap hari, dan jeruk kelubi atau kuih-kuih yang hasil jualannya aku kutip setiap petang selepas sekolah. Itu lebih 35 tahun dulu, tetapi untuk melihat perkara yang sama sekarang di negeri 'maju' ini agak menyesakkan dada ini. Alhamdulillah, keperitan hidup ini memberiku sedikit kesedaran untuk memahami kesusahan orang lain.


1 comment:

Abdul Azim said...

Kita juga bercita2 nak mewarisi sifat pemurah ayah. Ramai juga yg memerlukan disini. Semoga usaha yg kecil dipandang tinggi oleh Allah.
Terasa sedih dan insaf membaca.
Terima kasih ayah.

 

blogger widget
Touchsmart PC