Tuesday, June 28, 2011

Down Memory Lane - Sekolah Maahad Muhammadi

Semasa cuti tahun lepas, saya sempat menziarahi kembali tempat saya dididik selama 9 tahun, iaitu Sekolah Maahad Muhammadi. Tempat di mana saya mula belajar membaca dan mengira dari darjah 1, seterusnya memasukki tingkatan 1 sebelum ke Kolej Islam Klang selepas SRP.

Walau bagaimanapun banyak bangunan asal sekolah ini telahpun diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan baru. Semua bangunan yang penuh nostalgik bagi saya, seperti yang saya paparkan dalam entry saya di sini, telahpun dirobohkan. Tempat penuh kenangan bagi saya, di mana saya mula memasukki darjah 1 pada umur 6 tahun dan yang saya tinggalkan selepas tingkatan 3, semuanya telah tiada lagi.

Yang tinggal hanyalah bahagian depan sekolah yang dulunya merupakan bilik guru dan pejabat sekolah, dan juga dewan besar. Melihat tempat ini mengingatkan kembali kepada semua guru-guru yang sangat saya hormati, guru-guru yang banyak menabur bakti bagi mendidik kami untuk menjadikan kami insan Muslim yang sebaik-baiknya.

Semua guru-guru ini adalah menjadi uswah dan qudwah bagi anak didik mereka. Ustaz Nik Abdul Kadir (sekarang Dato'), yang dulunya menjadi mudir sekolah ini adalah seorang yang amat dihormati. Seorang yang amat tegas, tapi berwajah tenang dan sentiasa senyum ini sekarang adalah merupakan Timbalan Mufti Negeri Kelantan. Beliau bukan saja dihormati kerana ilmunya, tetapi juga kerana kebolehannya dalam rawatan secara Islam. Ramai lagi guru-guru yang pernah mengajar saya di sini dan kebanyakannya telahpun meninggal dunia, dan jasa mereka dalam membentuk akal budi amat saya hargai, dan perlu saya sebut di sini.

Cikgu Asma', guru yang banyak mengajar saya tentang disiplin dalam hidup. Seorang guru yang begitu dedikasi, dan tidak hairanlah semua anak-anak beliau berjaya dalam profesion masing-masing. Di antaranya ialah Prof Dato' Dr Nik Mohd Nasri Nik Ismail, Dekan Fakulti Perubatan di USIM dan juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Perubatan, Malaysia. Seorang guru yang sentiasa menyatakan hasratnya untuk berjumpa adik beradik saya yang merupakan anak murid beliau, mungkin untuk melihat hasil usahanya dalam mendidik kami anak hingusan yang datang ke sekolah dengan seluar bertampal. Walau bagaimanapun saya amat terkilan kerana hajatnya untuk berjumpa dengan saya, hasil didikannya sejak sekolah rendah, tidak kesampaian.

Cikgu Wan Hasmah, bekas guru Bahasa Inggeris saya yang sempat saya telefon bertanya khabar tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Seorang guru yang lemah lembut tapi tegas dalam mengajar kami, pelajar sekolah Arab yang agak bodoh berbahasa Inggeris. Kesabaran beliau amat saya sanjungi.

Bahasa Arab adalah merupakan subjek yang amat saya minati, dan tidak ada yang boleh mengalahkan saya dalam subjek ini. Semua subjek-subjek yang berkaitan dengan Bahasa Arab diajar oleh para asatizah yang begitu colourful dan interesting, yang walaupun tidak mempunyai paper qualifications tetapi mampu mengajar dengan begitu berkesan. Masih ingat lagi Ustaz Yahya yang mengajar Mutala'ah dan Mahfuzaat, di antara subjek yang saya sukai yang melibatkan hafalan, dan juga Ustaz Soh yang mengajar Qawaid dan Sorof. Seorang lagi ustaz yang menjadi favourite ialah Ustaz Fakhri yang mengajar Khat dan Imla'. Subjek yang saya tunggu-tunggu ialah Imla', sementara bila tiba subjek Khat, saya lebih suka buat hal sendiri kerana tangan kidal ini amat kurang seninya. Ustaz Fakhri juga amat suka bercerita, dan cerita-cerita klasik Arab seperti Sinimmar dan Habannaqah masih saya ingat sampai sekarang. Begitu juga dengan ceritanya tentang emak saudaranya yang berkahwin dengan tentera Jepun yang telah dihantar ke Tanah Melayu sebagai seorang spy sebelum pendaratan tentera Jepun di Kota Bharu.

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang banyak berbakti, yang walaupun dengan imbuhan yang tidak seberapa, tetapi penuh dedikasi dalam mendidik anak bangsa. Mereka adalah rare breed dalam bidang pendidikan, yang tidak kenal penat jerih dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Hanya dewan besar ini yang tinggal, dewan yang paling membangkitkan memori indah kerana di sinilah banyak rekod tercipta bagi saya, dan tempat di mana saya pernah membuatkan ibu saya begitu berbangga dengan saya. Harapan saya semoga dewan besar tidak akan diruntuhkan.

No comments:

 

blogger widget
Touchsmart PC