Akhir-akhir ini, aku nampaknya lebih gemar untuk bercerita tentang perkara-perkara 'simple' tetapi dapat memberi kesan yang mendalam kepada jiwa ini. Mungkin kerana akhir-akhir ini aku dianugerahkan seorang sahabat yang amat aku kagumi keperibadiannya, dan cerita-cerita 'simple' yang dilantunkannya amat memberi kesan kepada aku. Cerita yang mampu mengetuk hati-hati dan memberikan 'break' sekejap dari cerita-cerita haraki dan yang seumpamanya.
Cerita pertama dari sahabat ini ialah tentang seorang sahabatnya di Melaka yang begitu keluh kesah kerana tidak dikurniakan anak walaupun telah 9 tahun berkahwin. Dalam suatu majlis, sahabat ini berkesempatan untuk berjumpa dengan Tuan Guru Jalaluddin Abdul Wahid dan menceritakan masalahnya. Dengan senyum Tuan Guru ini berkata: 'Syeikh, itu maknanya Allah rindu sangat untuk anta berdoa. Allah nak sangat dengar doa anta kepadaNya'. Sahabat ini balik dengan dada lapang dan tidak lagi berfikir tentang masalahnya, sebaliknya dia lebih menumpukan kepada doa yang dia selalu lakukan secara konsisten. Alhamdulillah, sekarang ini sahabatnya itu telahpun dianugerahkan 9 orang anak.
Di kesempatan yang lain, sahabat ini bercerita tentang Imam Ahmad Ibnu Hambal yang telah pergi ke sebuah bandar tanpa memberitahu sesiapa, dan pada malamnya dia mengambil keputusan untuk tidur di masjid di bandar itu. Semasa sedang tidur, beliau telah diseret keluar dari masjid oleh petugas masjid itu yang tidak mengenalinya. Kejadian itu telah dilihat oleh seorang lelaki yang kemudiannya telah mengajak Imam Ahmad tidur di rumahnya. Semasa berada di rumah lelaki itu, Imam Ahmad melihat yang lelaki ini selalu sahaja beristighfar sebelum melakukan sesuatu. Bila ditanya oleh Imam Ahmad, lelaki ini menjawab: 'Aku selalu beristighfar kerana aku dapati yang dengan istighfar, Allah akan makbulkan apa sahaja hajat aku. Akan tetapi ada satu hajat yang sampai sekarang Allah belum makbulkan, iaitu untuk berjumpa dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal'.
Betapa kurangnya aku dalam berdoa dan beristighfar, dan betapa aku memerlukan kedua-dua ini dalam menghadapi hidup ini. Berdoa dan beristighfarlah.
No comments:
Post a Comment