Tuesday, January 6, 2009

Monolog Kasih Untuk Seorang Ayah

Hj Muhamad Hj Awang (1923-31 Disember 2008)

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُور

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
"

(Ali 'Imraan 185)

“Apabila seseorang manusia itu mati, terputuslah daripadanya segala amalan melainkan tiga perkara: 1 – Sedekah Jariah, 2 – Ilmu yang bermanfaat, dan 3 – Anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

(Ayat alQuran dari surah Aali 'Imran di atas adalah bagi memperingati pemergian ayah tercinta, Hj Muhammad Hj Awang yang telah berpindah ke alam barzakh pada jam 6.00 petang, 31 Disember 2008. Hadith di atas pula adalah merupakan satu ringkasan kepada hidupnya yang panjang, tapi penuh berjasa).

Ayah,

Tepat seperti firman alKhaliq di atas, ayah telah pergi meninggalkan kami untuk ke alam barzakh yang abadi pada jam 6.00 petang, 31 Disember 2008 dengan begitu tenang. Sudah hampir satu minggu ayah meninggalkan kami, tapi terasa seolah-olah ayah masih berada bersama-sama kami, dalam setiap bualan kami dan dalam setiap perbuatan kami.

Semasa mesyuarat keluarga selepas pengkebumian ayah, kami sempat berbari tentang jasa-jasa ayah dan perjalanan hidup ayah serta nilai-nilai murni yang masing-masing perolehi dari ayah. Semoga apa yang kami bincangkan dan apa yang kami tuturkan dalam perbincangan itu menjadi satu bukti segala ma'ruf dan hasanat yang ayah telah lakukan di dunia ini, dan juga sebagai bukti yang ayah telah melaksanakan tanggungjawab ayah dengan sebaik-baiknya sebagai seorang bapa kepada anak yang ramai dan juga kepada masyarakat.

Ayah,

Sejak awal hidup ayah, ayah lebih mementingkan ilmu di atas segala-galanya. Ayah pernah bercerita yang ayah memilih untuk belajar pondok dan mendalami ilmu ugama dan tidak ingin mewarisi ilmu Tok Ayah, seorang guru silat.

Kubur Tok Ayah dan Wo di Kampung Belukar, Kota Bharu

Ayah seorang yang tidak menjadikan kesenangan duniawi sebagai prioriti, tapi meletakkan pendidikan, terutamanya pendidikan ugama sebagai keutamaan bagi anak-anak dan sesuatu yang ayah perjuangkan sepanjang hidup ayah. Itulah sebabnya ayah meninggalkan kesenangan hidup sebagai Guru Pondok di Selatan Thailand dan balik ke Kota Bharu demi menjamin pendidikan yang terbaik untuk anak-anak, dan ayah tetap dengan keputusan ayah walaupun dimarahi oleh orangtua ayah. Kemudian ayah menghantar kami ke sekolah ugama di Kota Bharu bermula dari Darjah 1 lagi, sedangkan waktu itu sekolah ugama bukanlah pilihan kebanyakan ibubapa. Alhamdulillah, pandangan jauh ayah inilah yang menjadikan kami seperti sekarang ini; semua anak-anak ayah mempunyai pengetahuan ugama yang cukup, dapat membezakan di antara haq dan batil, ma'ruf dan munkar, pahala dan dosa dan hidayah dan dhalaalah. Itu jasa ayah kepada kami yang hanya mampu kami balas dengan doa berterusan anak-anak kepada ayah.

Ayah juga memperjuangkan pendidikan ugama dengan menggalakkan orang lain menghantar anak-anak ke sekolah ugama, hinggakan rumah kita dulupun menjadi seperti asrama untuk mereka yang belajar di sekolah ugama. Berapa ramai anak-anak yang sekarang menjadi manusia yang berguna dan mempunyai ilmu ugama yang cukup hasil dari usaha ayah itu. Sampai sekarang ramai yang datang dan berterimakasih kerana jasa ayah ini.

Ayah pernah berkata 'Hidup Biar Berjasa', dan kata-kata ini ayah manifestasikan dalam hidup ayah. Ayah telah mengasaskan sebuah sekolah di kampung yang sekarang menjadi sebuah sekolah kebangsaan, dan ayah tidak berhenti mengajar ugama di masjid-masjid dan surau-surau di merata tempat. Minat ayah dalam bidang pembangunan insan ini begitu mendalam sehinggakan dalam soal karier, ayah amat suka jika anak-anak menceburi bidang pendidikan. Alhamdulillaah, majoriti anak-anak ayah merupakan manusia yang terlibat dengan pembangunan insan; Abang Di, Kak Cik Mah dan Mek di sekolah-sekolah, Dani, Dah dan Tik di universiti-universiti sementara Dik di Kementerian Pelajaran. Semoga mereka dapat meneruskan perjuangan ayah dalam dunia pendidikan ini.

Ayah,

Hidup ayah adalah satu hidup yang simple. Di sebalik kesempitan hidup, ayah seorang yang suka menderma untuk anak-anak yatim, wakaf tanah kubur dan pembinaan masjid atau surau. Ayah akan menubuhkan tabung untuk anak-anak yatim di surau yang ayah mengajar, dan ayah tidak akan berfikir panjang untuk menderma untuk perkara-perkara ma'ruf, dan khabarnya duit derma yang ayah berikan di sebuah masjid telah mencapai puluhan ribu. Kami berjanji akan meneruskan usaha ayah sebagai penerusan amal jariah ayah, dan sebagai satu tanggungjawab kami sebagai anak-anak.

Ayah,

Dari segi amalan, kami anak-anak akan cuba mengikut semua perkara yang ayah amalkan. 6 surah panjang sebelum tidur yang ayah baca akan cuba kami praktikkan. Pada hari Jumaat, ayah telahpun ke masjid pada pukul 12.00 tengahari. Kata ayah 'aku nak jadi orang pertama ke masjid'. Ayah juga amat menjaga masa, hinggakan semasa ayah sakit di atas katil pun, ayah akan selalu melihat jam di sebelah ayah. Ayah amat tidak suka kalau kami melengah-lengahkan masa, sehinggakan semasa kami nak pulang ke KL pun, ayah tidak suka kalau kami terlalu lewat.

Ayah seorang yang tidak suka perkara lagha dan sia-sia. Rasanya tidak pernah kami lihat ayah menonton TV, dan ayah pernah berkata yang ayah akan tinggal di rumah anak yang tidak ada TV. Begitu juga dengan perkara-perkara lagha lain seperti mendengar muzik, bermain terup dan bersiul yang merupakan kepantangan ayah. Mungkin ayah ingin pastikan hanya alQuran yang tersemai dalam benak kami, dan Alhamdulillah, sekarang ini kami mampu menegur kesilapan bacaan alQuran walaupun tanpa melihat sendiri ayat-ayat alQuran. Ini adalah berkat ketegasan ayah, dan berkat Ma sebagai guru alQuran kami dan rumah kita yang menjadi tempat belajar alQuran untuk anak-anak kampung. Ayah amat tegas dan tidak berkompromi dalam perkara maksiat dan lagha ini, dan kami sebagai anak-anak mungkin mewarisi ketegasan ayah dalam hal-hal begini.

Dalam perkara-perkara yang nampak kecil pun, ayah adalah ke hadapan dalam pemikiran ayah. Sebagai makanan pagi, ayah menyuruh kami makan lempeng yang disediakan oleh Ma sebelum ke sekolah, walaupun rutin orang Kelantan adalah makan nasi waktu pagi. Rupa-rupanya, makan makanan berasaskan gandum adalah merupakan satu sunnah Rasulullah.

Ayah,


Walaupun tidak mempunyai harta yang banyak, ayah adalah seorang yang kaya. Sebelum ayah berpindah ke alam yang kekal, semua anak-anak dan ramai cucu-cucu berada di sisi ayah dan membacakan kalimah-kalimah suci untuk ayah, termasuklah beberapa orang cucu yang bergelar alhafiz sekarang. Itulah kekayaan yang sebenar, dan kami tak pasti sama ada kami akan menjadi kaya seperti ayah. Apa pun, kami akan cuba, ayah.

Ayah,

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara sebelum ayah berpindah ke alam baqa' yang kami tidak pasti dan mungkin tidak akan dapat jawapannya.

Sehari sebelum ayah pergi, ayah minta buah anggur untuk dimakan. Selepas kami beli dan cuba bagi ayah, ayah cakap yang ayah dah makan. Sampai 50 biji ayah makan, ayah cakap, dan masa kami kupas kulit anggur yang dibeli untuk bagi ayah, ayah kata tak perlu kupas sebab anggur yang ayah makan tadi tu takpun dikupas. Kami tak pasti siapa yang menyuapkan anggur-anggur itu untuk ayah.

Pada awal pagi keberangkatan ayah, ayah minta makanan sebab ayah kata ayah lapar. Tapi selepas Ma sediakan, ayah kata dah makan. Kami tak tahu siapa yang suapkan ayah di awal pagi tu.

Beberapa ketika sebelum ayah berpindah ke alam yang seterusnya, ada semacam wangian yang datang dan pergi di rumah kita. Kami tidak tahu di manakah punca wangian ini.

Apapun ayah,

Semoga anggur yang ayah makan itu adalah hasil usaha ayah yang menyemai dan mendidik manusia-manusia untuk menjadi soleh dan muslih, yang sekarang ini pula menabur bakti untuk masyarakat.

Semoga makanan yang ayah makan di awal pagi itu adalah habuan awal yang ayah dapat hasil usaha ayah memberi makan anak yatim, derma untuk membina masjid-masjid dan surau-surau dan wakaf tanah kubur.

Semoga wangian itu adalah wangian dari setiap huruf, setiap perkataan dan setiap ayat yang ayah baca sebelum ayah menutup mata setiap malam, yang datang kembali mengerumuni ayah sebelum ayah menutup mata buat kali terakhir di dunia ini.

Insya Allah.

Ayah,

Ruang yang ayah tinggalkan terasa amat kosong, seperti mana kosongnya hati kami sekarang.

Tiada lagi senyuman untuk cucu-cucu bila kami balik ke Kota Bharu.

Tiada lagi kata-kata nasihat dan tunjuk ajar yang ayah berikan bila kita berbual pendek semasa balik bercuti.

Tiada lagi doa untuk keselamatan kami yang ayah selalu bacakan di depan pintu sebelum setiap kali kami memulakan perjalanan kembali ke KL.

Yang tinggal hanyalah ingatan yang terpahat dalam ingatan kami sekarang, wajah ayah yang tersenyum.


Semoga ayah pergi dengan penuh redha terhadap kami sebagai anak-anak dan penuh puas kerana telah melaksanakan tanggungjawab ayah di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Kami sebagai anak-anak akan cuba menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan ayah dan meneruskan amal jariah ayah.

Semoga ayah dimasukkan dalam golongan 'illiyyiin di akhirat nanti.

Allaahummaghfirlahuu warhamhuu.

11 comments:

pakDean said...

Semoga ayoh ditempatkan dalam kalangan teratas disana.. Ameenn

Siti Norina Muhamad said...

Abe La, TQ atas coretan yang agak complete tentang ayah...Rasanya diri sendiri masih belum mampu menulis mengenang ayah..terlalu banyak kenangan bersama ayah yang terbayang di mata, tetapi belum sanggup diluahkan dengan kata-kata..nantilah..perasaan belum lagi reda, walau pun redha atas segalanya.setiap hari msh terdengar panggilan ayah..msh terhidu bau ayah, n masih ternampak tubuh ayah di katil...

Abdul Azim said...

dari jauh kita kirimkan doa dan sedekah..
semoga sampai kepada ayoh di sana..
tak boleh nak kira jasa ayoh..semoga Allah terima semuanya..Ameen..

farah225 said...

Ayah La,
K.long sungguh terkesan dgn posting ayah La.
K.long juga amat berbangga dilahirkan sebagai cucu Ayoh.bila orang tanya k.long sekolah mano,k.long jawab sekolah agama, pastu tanya adik beradik,semua pon sekolah agama.orang kagum.syukur sangat.Ma (moksu mah) memang royak sokmo yang Ayoh meme menekankan perkara ni.ma pesan jugak anak2 cucu kak long esok pastikan juga dihantar ke sekolah agama. Insyaallah k.long akan ingat sokmo menda ni.
Satu perkara lagi, mungkin ayah La atau mak2 n pak2 sedara lain boleh berkongsi cara mendidik anak supaya menjadi anak2 yang soleh dan solehah seperti acuan yang Ayoh terapkan.

Anak Timur Laut said...

masing-masing mempunyai kenangan dengan ayah yang patut dikongsi bersama. yang penting ialah agar anak2 kita faham why we do or prohibit certain things. suasana (biah) kita dan biah anak2 kita terlalu berbeza, dan mungkin kita perlu tegas seperti ayah, atau lebih lagi.

kak long,

ayah la ni jiwa seni sikit, mungkin macam ayah di, ikut ayoh kot. ada lagi beberapa org anak ayoh yang agak berjiwa seni.

kita kena maintain legacy kita bersekolah agama. itu warisan yg ayoh dah bagi utk anak cucu yg patut kita pertahankan. keberkatan hidup adalah pada ilmu agama yang kita ada. other things will naturally come.

utk berkongsi cara mendidik anak, mungkin ayah la tak boleh bagi banyak 'DOs' and 'DON'Ts', tapi bagi ayah la, the first don't is jangan bagi TV didik anak kita. ayoh dulu tak ada TV, jadi kami banyak baca buku, dan membaca buku lebih membuka minda dan daya imaginasi kita.

banyak perkara yg ayah la tak buat sebagaimana yg ayoh buat, dan ayah la rasa ayah la tak lah berjaya seperti ayoh. let's learn from mistakes.

Emmet F. Benrahem said...

posting yg sgt mendalam...
rasenye kite xley lagi wat posting yg mendalam cam ayah la buat nh..
yeh..
mmg dulu kck2,asek terpike knape la ummi babah anta g skola agame...yg jaoh dr rumah,walhal sekolah tmn melawati nh 50 langkah je dr rumah.
ble pemikiran maken matang,bole nmpk keperluan n peranannye kini...
tanpe didikan agame yg diterapkan,mgkn ktorg(fathi fawwaz) merangkak bace alQuran,skip mnde2 wajib cm puase n solat,merempit sane sini xtntu hale.
alhamdulillah corak pembentukan peribadi syakhsiah cucu2 ayoh bole dilihat hasilnye skrg.
xde yg merempit ke hulu kehilir,isap dadah ganja sume.
corak ini ibarat corak harmonograph,complex tetapi hasilnye cukup cantik...dan berbeza...

allahumma nawwir qulubana binuuri hidayatik...
kama nawwartal ardho binuuri syamsik...

moge2 Allah redha dengan pertemuannye dgn ayoh,dan ayoh gembira dgn keredhaan Allah pabila beliau pergi menemui YGMAHA ESA....
allahuakbar!

Anonymous said...

Thank you for this very nice entry, buat Uti teringat sangat2 kat Ayoh. And banyak buat Uti faham why Ayoh and Ma buat certain things, why Abah and Mak buat certain things, and why aunts and uncles buat certain things - semuanya for our future and the future of the ummah.

I wish I was a better granddaughter, and I wish I was there... Sedih sangat tengok everything dari jauh je. Hanya dapat kirimkan doa dan sedekah dari jauh je. Teringin nak bersama semua orang...

Allahummaghfirlahu warhamhu wa`aafihi wa'fu anhu... Moga Ayoh ditempatkan bersama-sama para Nabi, para pejuang kebenaran, para syuhada' dan orang2 yang soleh. Ameen.

Anak Timur Laut said...

salaam uti,

rest assured that you are a good granddaughter to a very good grandfather.

ada dua profession yg ayoh suka untuk anak cucunya; guru dan doktor (sorry munzir, engineer not included). jadilah seorang doktor yg boleh berbakti kpd society, mengikut aspiration ayoh. pastikan melakukan yg ma'ruf, dan insyaAllah semua ma'ruf yg dilakukan oleh anak cucunya, ayoh akan dapat share.

Anonymous said...

amat terkesan hati juga membaca coretan ayah la...banyak juga tia sendiri belajar dengan melihat dan memerhati cara hidup ayah mat...alhamdulillah, didikan yang sama banyak ayah (ayah D) dan mak ikut dalam mendidik kami...especially budaya al Quran yang kami khatam sebelum masuk sekolah menengah, makan lempeng untuk sarapan (which i really hated most suatu masa dahulu but now lempeng dah jadi favourite),dan banyak lagi...n alhamdulillah, didikan bersekolah agama dan berkerjaya sebagai pendidik yang kami adik-beradik (sehingga ke menantu sekali ceburi)membuatkan kami bangga menjadi keluarga sedarah sedaging dengan ayah mat ...insyallah ajaran dan didikan ayah mat menjadi sesuatu yang akan diamal turun-temurun...we are very proud to be ayah mat's grandparents!
p/s: yes ayah la, u do have the same jiwa seni just like ayah...nice words!

Anonymous said...

correction ...we are very proud to be ayah mat's grandchildren...hehe, teacher pun leh silap!

Anak Timur Laut said...

minta maaf kalau entry ni agak menyentuh perasaan, especially yg berada jauh di negeri org. as i said, i wrote from my heart.

mutia,

bagi pendidik, hasil kerjanya dapat dilihat pada manusia berguna yang dihasilkan, dan itu merupakan sesuatu yang satisfying. tidak mcm engineer yg produknya adalah benda2 mati. itulah sbbnya ayoh galakkan anak cucu jadi pendidik. ayoh juga menekankan belajar setinggi mungkin. satu soalan yang dia akan tanya ialah 'belajar sapa mano' dan bukan 'gaji tinggi mano'.

 

blogger widget
Touchsmart PC