Sunday, April 4, 2010

Tahniah, Ustaz Nik Dir


Satu ucapan tahniah yang sedikit lewat untuk Ustaz Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, bekas mudir (pengetua) Sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu kerana telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Pemangku Sultan Kelantan pada 31 Mac lepas.


Pada mulanya saya agak terkejut bila mengetahui yang Ustaz Nik Dir yang saya kenali sebagai seorang yang tawadhu' dan 'low profile' ini terpilih untuk mendapat anugerah Dato'. Tetapi bila melihat kepada senarai yang mendapat anugerah di Kelantan tahun ini, saya dapat memahami yang Pemangku Sultan Kelantan ini lebih cenderung ke arah memartabatkan ilmuwan dan para ulama', dengan juga memberikan anugerah Dato' kepada Tuan Guru Pondok Pasir Tumbuh. Daulat Tuanku.


Sebagai seorang anak didik Ustaz Nik Dir, saya amat menghormati beliau yang saya kenali sebagai seorang yang pendiam tetapi cukup tegas. Ustaz Nik Dir berjaya 'command respect' dari semua yang di bawahnya dari golongan guru hinggalah ke kalangan para pelajar. Murid yang dari golongan 'gedebe' pun akan merasa segan dan 'malu alah' dengan beliau.


Semasa saya memasukki Maahad Muhammadi di Jalan Merbau, Ustaz Nik Dir telahpun menjadi mudir di sekolah tersebut, dan beliau mula mengajar saya sama ada di tingkatan 2 atau 3. Sebelum itu saya hanya melihat dan menilai mudir ini dari jauh dan amat menghormati cara beliau yang benar-benar menampakkan beliau sebagai seorang ilmuwan yang 'amilin. Di tingkatan 2 dan 3, beliau hanya mengajar subjek Khat, satu subjek yang langsung saya tidak minat (tangan kidal ini tidak ada seni langsung). Saya lebih meminati subjek Imlak (dictation) yang 'alternate' dengan subjek Khat, dan biasanya saya akan 'score' full mark untuk subjek Imlak ini (atau mungkin kerana saya begitu suka kepada Ustaz Fakhri yang suka bercerita, yang ceritanya masih saya ingat hingga sekarang - cerita Habannaqah, Sinimmaar dan lain-lain). Ustaz Nik Dir amat berbakat dalam bidang Khat, dan khabarnya ini diwarisi oleh anak-anak beliau. Banyak tulisan khat di dinding sekolah Maahad Muhammadi masa itu ditulis oleh Ustaz Nik Dir.


Tempoh pembelajaran yang saya lalui di Maahad Muhammadi adalah satu masa yang amat saya hargai, di mana di masa itulah keperibadian terbentuk. Dengan dikepalai oleh Ustaz Nik Dir yang penuh sifat tawadhu' dan disokong oleh guru-guru yang ikhlas (Cikgu Asma', Cikgu Lah, Ustazah Maryam, dan lain-lain), tempoh pembelajaran ini adalah tempoh paling 'pure' dalam hidup saya. Di masa itu, saya mampu menghafaz surah Yasin dalam masa 40 minit period AlQuran, dan saya mampu menghafaz semua ayat-ayat dalam buku Mahfuzaat, sama ada kata-kata para hukama' ataupun syair Arab.


Tahniah sekali lagi kepada Ustaz Nik Dir, dan terima kasih kepada semua bekas guru-guru di Maahad Muhammadi. Semoga kalian semua sihat walafiat dan masih mampu berbakti kepada masyarakat dengan apa cara sekalipun.

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ

(Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan) -AtTaubah 105.


 

blogger widget
Touchsmart PC