Maka Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk memberikan wang ehsan kepada Kelantan dan menidakkan hak Kelantan ke atas royalti minyak sebagaimana yang dituntut oleh Kerajaan Kelantan. Kerajaan Persekutuan juga telah melantik Datuk Dr Awang Adek Husin untuk menguruskan wang ehsan ini yang berjumlah RM20 juta, jauh dari apa yang dituntut Kerajaan Negeri.
Saya tidak ingin mengulas tentang isu royalti, jarak telaga minyak dan lain-lain yang saya kira terlalu jelas dan alasan-alasan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalah 'insulting the intelligence'. Memang amat sukar menang jika bermain bola dengan kedudukan tiang gol yang selalu diubah (changing goal posts) dan ditambah pula dengan 'referee' yang merupakan pemain ke 12 pihak lawan, yang selalu menukar peraturan permainan berdasarkan kehendak mereka. Mereka boleh menukar royalti kepada wang ehsan dan kembali semula kepada royalti mengikut kemahuan mereka tanpa ada rasa hormat kepada perjanjian yang telah dipersetujui bersama.
Sebagai seorang anak Kelantan, saya melihat episod sebagai satu penghinaan, lebih-lebih lagi dengan 'wang ehsan' yang diberi hanya berjumlah RM20 juta. Jumlah ini mungkin sama dengan jumlah yang dibelanjakan oleh parti pemerintah untuk hanya satu pilihanraya kecil. Apa yang lebih memalukan lagi ialah ada anak-anak Kelantan yang mengikut skrip Kerajaan Persekutuan dan menyokong pemberian 'wang ehsan' ini, seperti satu poster berbunyi 'Insya Allah, Wang Ehsan' semasa sesi penerangan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
Orang Kelantan bukanlah golongan yang suka meminta-minta, dan mungkin di kalangan orang Melayu Semenanjung adalah yang paling 'less-subsidized' dibandingkan dengan Melayu di Pantai Barat. Apa yang diminta adalah hak berdasarkan kepada satu perjanjian yang telah dimeterai dahulu. Seperti yang ditulis oleh Dr Hanapi Dollah, seorang pensyarah Sejarah UKM, rakyat Kelantan begitu sensitif tentang maruah, harga diri dan martabat mereka, dan mereka bertindak terhadap persekitaran sosio-politik berdasarkan perkara-perkara ini. Richard Sidney, seorang Inggeris yang telah melawat Kelantan di awal kurun 20 telah menyatakan bahawa Melayu Kelantan 'ialah Melayu yang tidak sama dengan Melayu yang diketahui di Barat. Seorang Melayu yang bermegah dengan kebolehan melakukan segala perkara'. Itulah jatidiri rakyat Kelantan, dan asas permintaan mereka ke atas royalti adalah berdasarkan satu perjanjian yang telah memastikan hak mereka ke atas wang tersebut.
Rakyat Kelantan sekali lagi telah dinafikan hak mereka dan hak ini telah 'disamun' oleh Kerajaan Pusat untuk kemudiannya dibahagikan di kalangan penyamun tarbus yang lain. Satu soalan lagi ialah adakah angka RM20 juta ini satu angka yang tepat. Angka ini mungkin jauh melebihi RM20 juta jika kerajaan betul-betul transparent dalam menentukan kedudukan telaga minyak dan gas yang terbabit. Itu belum lagi dikira kemungkinan penggunaan 'horizontal directional drilling' yang sekarang ini begitu advanced dalam bidang oil & gas, yang jauhnya boleh mencapai sehingga 7 km berdasarkan teknologi terkini.