Saturday, July 25, 2009

GMI vs Pewaris (a.k.a AlHabsyi vs AlKataki)

Jika mengikut perancangan dan jika tiada sebarang pembatalan di saat akhir, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan satu demonstrasi besar-besaran pada 1 Ogos depan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong. Perhimpunan ini juga akan disertai oleh 83 NGO yang lain, termasuk Pemuda Parti Gerakan. Secara 'kebetulannya' PEWARIS bersama 10 NGO Melayu juga akan mengadakan perhimpunan di hari yang sama bagi menyokong akta ini.

Adalah sesuatu yang malang bahawa satu kelompok (NGO) Melayu yang tentunya berugama Islam masih menyokong satu akta bikinan penjajah ini yang terbukti amat zalim dan begitu berlawanan dengan lunas-lunas Islam. Berapa ramai isteri yang yang terpaksa berhempas pulas bersendirian membesarkan anak-anak dan mencari rezeki kerana kehilangan tempat pergantungan mereka. Berapa ramai anak-anak yang kehilangan tempat bermanja seperti Suhaib Mat Sah ini, yang telah melihat ayahnya diambil pihak berkuasa lebih 7 tahun lepas tanpa sebarang sebab dan semuanya Ikut Suka Aku.
Banyak lagi kisah-kisah akibat akta kejam ini, yang antara lainnya boleh dibaca di sini.

Tidak hairanlah bila TG Nik Aziz menyatakan baru-baru ini bahawa ISA lebih teruk daripada perkataan binatang. Begitu sensitif golongan ini bila seorang tokoh pembangkang mengeluarkan kata-kata kesat yang sememangnya wajar bagi satu akta yang menghalalkan penahanan secara arbitrary serta melakukan semua bentuk 'interrogation' ala Guantanamo. Dan sekarang kita melihat satu kumpulan Melayu Muslim yang cuba mempertahankan akta zalim ini, dan secara tidak langsung memberikan satu persepsi negatif kepada Islam.

Momentum bagi memansuhkan ISA makin bertambah kuat. Kita tidak ingin lagi melihat penahanan tanpa bicara, dan setiap penahanan mestilah berdasarkan bukti-bukti yang cukup berdasarkan undang-undang negara. Golongan yang masih ingin melihat ISA ditegakkan nampaknya hanyalah ahli-ahli politik yang telah bankrap yang sentiasa berusaha untuk masuk 'the good books' parti Melayu mereka, sementara ketua mereka (yang begitu popular dengan nama seekor binatang) masih lagi ternanti-nanti dirinya 'dicium' pemimpin parti Melayu itu untuk dia bertukar menjadi seorang 'prince' yang 'PERKASA' berjuang mengikut apa yang diinginkan oleh tuan barunya.

Untuk kawan saya Pengerusi GMI, Syed Ibrahim AlHabsyi, I'll be there on 1st August. Untuk Ibrahim PERKASA, stop croaking and see for yourself how much the ISA families have suffered.


Saturday, July 4, 2009

Satu Petang Di Dalam Keretapi Komuter


Dalam sebuah keretapi komuter, lenguh aku berdiri sambil melihat gelagat manusia sekeliling. Manusia yang baru kembali selepas satu 'rat race' ataupun anak-anak muda yang baru balik dari berlibur di bandaraya.

Berbagai ragam mereka aku perhatikan. Satu kumpulan sedang bercakap kosong dengan tawa hilainya seperti orang lain tidak punya 'privacy' sendiri dalam komuter yang sedang tersengguk-senguk menuju destinasinya. Bingit telinga dibuatnya.

Berdekatan pintu, ada seorang anak muda dengan 'skateboard'nya duduk di atas lantai dengan melunjurkan kaki ke arah pintu, bagaikan semua kawasan itu miliknya. Peduli apa dengan orang yang ingin naik dan turun di setiap stesen yang dihalanginya.

Di penjuru sana pula, sepasang anak muda sedang duduk berpelukan di kerusi tanpa menghormati manusia sekeliling. Cukup menjengkilkan. Lebih menjengkilkan bila aku lihat yang lelakinya bukannya sebangsa dengan pasangannya itu. Betapa murahnya anak bangsaku. Kalau diikutkan bahimah dalam diri ini, mahu rasanya aku melayangkan satu 'Cantona kick' dengan kasut Red Wing ber'steel toe' aku ini ke arah mereka.

Tiba-tiba seorang anak muda di sebelahku berkata 'Duduk, pak cik?' setelah kerusi berdekatannya kosong, mempelawaku yang tidaklah setua mana ini dahulu untuk duduk. Aku tersenyum dan mengisyaratkannya untuk mengambil tempat duduk tersebut sambil tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Tahniah anak muda, kerana berjaya mengembalikan kehormatan kembali kepada generasimu dalam diri orang tua ini.


Nota kaki: Agak terkejut dengan berita dalam the Star semalam bahawa setiap hari lebihkurang 8 orang anak luar nikah dilahirkan di Johor sahaja. Masalah ini telah menjadi begitu serius dan masyarakat begitu memerlukan satu penyelesaian, dan penyelesaian itu hanyalah penyelesaian yang berbentuk Islam. Saya begitu menghormati usaha gigih kawan satu batch di KIK dahulu dalam menangani masalah ini, yang sekarang mengurus Raudhatus Sakinah. Mabruk, Puan Rosmawati. Lawati beliau di sini.


Sunday, June 28, 2009

Fi RihabilLaah

Nampaknya Jun ni tidak begitu produktif menulis, terutamanya bila sekarang ini telah mula involved dengan projek ECER. Banyak masa ditumpukan untuk lebih memahami projek ini. 'Alaa kulli hal, semoga projek ini akan menjadi kenyataan, dan bukannya modal mainan politik sahaja.

Telah lama ingin menulis tentang tajuk ini, dan nampaknya baru sekarang ada peluang. Walaupun isu ini dah agak lama, tapi mungkin boleh dikongsi beberapa catatan di sini.

(i) Kematian 1


Beberapa minggu lepas, dunia Islam bersedih dengan kehilangan seorang tokoh dakwah Islam, Syeikh Dr Fathi Yakan, iaitu pada 13 Jun. Tokoh agong ini telah menghabiskan hayatnya untuk menyedarkan umat ini kembali kepada menghayati dan memahami Islam. Pada usia 76 tahun, beliau telah menghabiskan hayatnya untuk dakwah islamiyyah dan telah mengarang lebih dari 35 buah buku.

Syeikh Fathi Yakan, yang mempunyai ijazah master dalam bidang kejuruteraan dan Ph.D dalam bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab ini, banyak menghasilkan buku yang menjurus kepada pentarbiyahan generasi muda Islam. Beliau berkeyakinan bahawa golongan pemuda adalah agen perubahan kepada daulah Islamiyyah. Beliau juga pernah berkata bahawa "Pemuda ialah sebuah tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi orang lain telah mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda dan pemudi tetapi mereka ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar." Beliau berkeyakinan bahawa para pemuda dan pemudi Islam adalah asset Islam yang harus dibangunkan dan diperkuatkan dengan semangat dan nilai-nilai Islam

Buku-buku hasil tulisan beliau seperti 'Apa ertinya intima' saya dengan Islam' dan beberapa buku lain adalah merupakan rujukan biasa di dalam usrah bagi aktivis '80an dahulu. Betapa banyak jasa yang beliau taburkan dalam mendidik generasi muda yang sekarang ini menjadi tonggak kepada perjuangan Islam di setiap pelusuk dunia, termasuk Malaysia. Semoga kesan pentarbiyahan Syeikh ini akan menjadi satu amal jariyahnya dalam beliau menghadap Ilahi nanti.

Dunia Islam telah kehilangan satu persatu para pejuangnya, terutamanya golongan awal yang terdidik dalam era 40an dan 50an. Kita hanya mempunyai beberapa nama seperti Syeikh Yusof Qardhawi, Mahdi Akef dan beberapa nama lain. Semoga kita nanti tidak akan ketandusan golongan pelapis dalam membawa panji Islam ini.

(ii) Kematian 2
Beberapa hari sebelumnya, terima satu mesej dari anak saya di Kaherah berbunyi "Ayah, ada berita sedih. Semlm 5 kawan kita accident, seorang meninggal, seorang koma, seorang patah2, 2 lagi sehat."

Sebenarnya agak jarang anak lelaki saya ini menghantar mesej, dan biasanya hanya bila ada special occasions seperti sebelum exam dan sebagainya. Biasanya dia lebih selesa communicate dengan umminya (mungkin seorang anak lelaki lebih rapat dengan ibunya). First impression yang saya dapat dari mesej ini ialah beliau mungkin begitu terkesan dengan kejadian tersebut, dan mungkin yang terlibat itu adalah kawan yang rapat dengan beliau. Jadi pada malamnya, saya melayari internet dengan dua tujuan; untuk mengenali lebih dekat pelajar yang terlibat dan juga untuk melihat circle of friends anak saya ini, sama ada dengan golongan pembawa kasturikah (hamilul miski) ataupun peniup api.

Melihatkan kepada entries bloggers pelajar perubatan Mesir yang saya baca, tidak dapat dinafikan yang pelajar ini, Ammar Zulkifli adalah satu permata di kalangan kawan-kawannya. Semua cerita tentang anak ini adalah tentang kebaikan yang dilakukannya dan betapa semua kehilangan seorang sahabat yang begitu banyak berbakti kepada batch mereka.

Setelah membaca entries dalam blog Ammar, ternyata anak muda ini adalah seorang yang begitu terdidik dan dalam usia yang begitu muda, beliau telahpun amat fokus dalam hidupnya. Kata-katanya seperti 'melihat dunia dari jendela akhirat' amat menyentuh hati orang tua ini. Tidak ada satupun entrynya yang berbentuk merapu dan orang tua ini telahpun membaca hampir semua entrynya bagi mengutip sedikit mutiara dari anak muda ini. Contohnya, anak muda ini, seorang 'budak daghak' yang menghabiskan sekolah rendahnya di Kota Bharu dan menengahnya di Perlis, tidak sedikitpun kagum dengan semua 'construction marvels' di Dubai dan beliau melihatnya dari perspektif yang begitu berbeza sebagai seorang anak muda yang terdidik. Melihatkan kepada entry ini, saya yakin yang rehlah anak saya bersama Allahyarham tahun lepas ke Jordan, Syria dan Turki tahun lepas adalah satu rehlah tarbawiyyah (even though I'm not very sure about your recent Europe trip, Azim, but hopefully it was one). Entry anak muda ini tidaklah banyak, tapi begitu berkualiti dan patut dihayati. Beruntunglah seorang ibu yang melahirkan seorang anak seperti ini. Tapi Allah lebih menyayangi anak ini, dan lebih dahulu menjemputnya menuju kerehatan abadi setelah menghabiskan usia mudanya yang singkat tapi padat dengan perjuangan dan keimanan. (Terdapat juga beberapa entry yang tidak pula diceritakan oleh anak saya)

(iii) Melihat Diri

Syeikh Fathi Yakan telahpun pergi meninggalkan kita, tetapi tarbiyah yang ditinggalkan perlu terus dihayati dan dihidupkan. Orang tua ini, yang sentiasa membaca buku-buku Syeikh Fathi Yakan di masa mudanya, akan melihat kembali karya-karya syeikh ini bagi mendapat satu refreshment di hujung-hujung usia ini.

Anak-anak perubatan di Mesir juga mungkin telah kehilangan satu asset yang selama ini menjadi panduan dan tali pengerat di kalangan mereka. Orang tua ini juga mungkin perlu belajar sesuatu dari tulisan anak muda seperti Ammar ini yang terbukti telah menghabiskan usia beliau yang singkat tapi cukup bermakna dan bermanfaat.

Semoga mereka berdua dimasukkan dalam golongan para anbia', para solihin, para syuhada' dan para muqarrabin. Benarlah bahawa usia bukanlah dikira dengan hari-hari yang kita lalui, tetapi adalah dikira dengan buah-buah yang dihasilkan dari hari-hari yang dilalui itu.
'

Saturday, June 6, 2009

Dirgahayu Tuanku

Sempena dengan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Tuanku, dengan hormat dan penuh takzimnya patek mohon menyembah setinggi-tinggi tahniah ke Bawah Duli Tuanku sempena ulangtahun Tuanku hari ini.

Sempena hari yang berbahagia ini, patek juga berdoa ke hadhrat Allah Subhanahu Wataala semoga Duli Tuanku serta Baginda Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayahNya. Demikian juga, patek berdoa semoga Duli Tuanku berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat, dengan penuh daulat dan kesejahteraan.

Limpahan rahmat dan hidayah Allahlah yang paling penting yang perlu untuk Tuanku dalam menerajui negara tercinta ini. Untuk memperolehi rahmat dan hidayah Allah Subhanahu Wataala, mungkin Tuanku perlu mengikut suri tauladan yang telah ditunjukkan oleh Paduka Ayahanda dan Nenda Tuanku yang begitu rapat dengan ulama 'amilin. Tradisi eratnya hubungan ulama 'amilin dan umara' telahpun dimulakan sejak zaman Nenda Paduka Sultan Omar yang mendampingi Tukku Tuan Besar serta Nenda Sultan Zainal Abidin I yang rapat dengan Tok Pulau Manis, seorang ulamak tersohor yang merupakan peneraju pendidikan agama di Terengganu, ulama istana dan guru kepada orang ramai.

Tradisi mendampingi ulama ini diteruskan oleh Nenda Tuanku Sultan Zainal Abidin III yang sentiasa mendampingi anak Tukku Tuan Besar, Tokku Paloh yang merupakan seorang ulamak kerohanian yang juga terlibat dalam bidang pentadbiran Terengganu. Tokku Paloh juga diterima sebagai penasihat utama kepada Nenda Sultan Zainal Abidin III dan berjaya mematahkan percubaan penjajah untuk mencampuri urusan negeri. Nenda Tuanku ini juga adalah juga anak murid kesayangan seorang lagi ulama besar Terengganu, Tok Syeikh Duyung. Boleh dikatakan ulama-ulama inilah yang menjadi tunjang kepada pemerintahan nenda-nenda Tuanku di Terengganu.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Kejayaan nenda Tuanku Sultan Zainal Abidin III dalam menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah pada usia yang muda (16 tahun) adalah berkat mendampingi ulama, sehinggalah nenda Tuanku dapat memerintah selama 36 tahun. Penjajah tidak dapat bertapak di negeri Tuanku kerana ulama dan umara yang berganding bahu mempertahankan jati diri dan akidah umat. Itulah sebabnya selepas kematian Tokku Paloh pada 1917 dan kemangkatan Nenda Tuanku setahun selepas itu, barulah penjajah sedikit demi sedikit dapat menguasai Terengganu.

Tuanku. Negara akan selamat jika pemerintah tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Sebaliknya negara dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Negara juga akan lebih binasa jika pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Akan tetapi akan sentiasa ada ulama yang akan terus mempertahankan kebenaran di kalangan umat ini sepertimana dulunya Haji Abdul Rahman Limbong di negeri Tuanku tetap berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kuffar walaupun beliau kalah dan dibuang keluar negara.

Ampun Tuanku. Segala musibah yang menimpa negara hari ini mungkin kerana hilangnya keberkatan dalam pimpinan sekarang. Kepimpinan sekarang nampaknya diterajui oleh golongan yang fasid dan bukan golongan yang terbaik di kalangan rakyat. Rasuah dipandang ringan dan menjadi mainan golongan pemerintah, zina sudah terlalu melata, arak dan judi menjadi mainan harian. Akibatnya rakyat terpaksa menanggung bala yang datang silih berganti; tanah runtuh, ekonomi merudum, bangunan berantakan menyembah bumi dan entah apa lagi musibah yang akan menimpa.

Ampun Tuanku. Tuanku mempunyai model yang terbaik yang telah diasaskan oleh nenda-nenda Tuanku. Model itu begitu berkesan satu abad lepas, dan tentunya model yang berasaskan Islam ini juga adalah yang terbaik untuk setiap masa.

Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.



Wednesday, June 3, 2009

The Structure is Falling Down......

A corrupted version of 'London Bridge is Falling Down' and to be sung according to its tune.
What can we expect from an industry which is being controlled by greedy towkays and politicians, managed by corrupt professionals and authorities and run by unqualified foreigners?
------------------------------------------------------------------------------------------------

Jaya Supermaket is broken down,
Falling down, falling down.
Gong Badak stadium is falling down,
My dear Menteri.

Build it up with bricks and mortar,
Bricks and mortar, bricks and mortar,
Build it up with bricks and mortar,
My fair Bangladeshi.

Bricks and mortar will not stay,
Will not stay, will not stay,
Bricks and mortar will not stay,
My dear Indonesian coolies.

Build it up with iron and steel,
Iron and steel, iron and steel,
Build it up with iron and steel,
My dear cronies.

Iron and steel with bend and bow,
Bend and bow, bend and bow,
Iron and steel with bend and bow,
My dear MB.
Build it up with silver and gold,
Silver and gold, silver and gold,
Build it up with silver and gold,
My Fair Lady.

Silver and gold will be stolen away,
Stolen away, stolen away,
Silver and gold will be stolen away,
By all the cronies.

Set engineers to watch all construction activities,
Watch all construction activities, watch all construction activities,
Set engineers to watch all activities,
My dear PWD.

Suppose the engineers should fall asleep,
Fall asleep, fall asleep,
Suppose the engineers should fall asleep,
Since the stomach is too heavy.

Give authorities a treat to karaoke all night,
Karaoke all night, karaoke all night,
Give them a treat to karaoke all night,
My dear companies' MDs.

Sunday, May 31, 2009

Seorang Gadis Kecil Di Kota Suci

Satu memoir umrah 2007 untuk perkongsian.

Seorang Anak Kecil Di Sebuah Kota Suci

Di suatu malam di kota suci penuh damai ini
Sedang aku mencari sesuatu di celah-celah gedung penuh mewah
Datang seorang anak kecil meminta
Mungkin untuk sekadar mengalas lapar di malam itu
Tapi aku dengan penuh keakuanku
Memilih untuk tidak memenuhi harapannya

Anak kecil itu
Yang juga memimpin seorang nenek tua bersama
Menuju pula seorang wanita serumpunku
Yang kemudian membawa mereka bersama
Melayani apa juga yang anak kecil itu minta
Dan membelikan makanan kepada nenek tua
Yang dapat menghilang rasa lapar mereka
Di malam hari yang semakin sejuk dan gelita
Dan
Seri wajah anak kecil itu
Serta riak syukur nenek tua itu
Membuat aku termangu

Tuhan
Sejuta syukurku kerana tarbiyah ini
Yang begitu menyedarkan aku
Betapa wanita serumpun itu
Sememangnya lebih mulia dari aku
Yang konon mengerti setiap firman
Dan faham segala sabda

Dan di waktu subuh ini
Di dalam Raudhah di masjid NabiMu ini
Di dalam sendu mendengar ayat yang dibaca
Yang bagaikan menempelakku
Giliranku pula menjadi bagaikan seorang anak kecil
Yang menagih sedikit maghfirahMu

Tapi adakah air mata yang ditumpahkan
Di pagi mulia di tempat barakah ini
Dapat memadamkan satu kekesalan
Mampu menghapuskan satu kekhilafan
Pada sepasang tangan kecil itu
Dan harapan seorang nenek tua
Yang aku nafikan hak mereka


madinah munawwarah
16 Mac 2007



Saturday, May 23, 2009

Rakyat Hakim Negara

Ungkapan ini begitu masyhur lebih sepuluh tahun lepas semasa isu pemecatan dan penghukuman ke atas DS Anwar Ibrahim. 10 tahun lepas kita telah melihat bagaimana institusi kehakiman begitu dipandang rendah oleh umum dan nampaknya persepsi itu tidak banyak berubah hinggalah sekarang.

Kemandulan institusi kehakiman ini telahpun bermula lebih 20 tahun lepas dengan isu pemecatan Tun Salleh Abas dan beberapa orang hakim Mahkamah Agong. Kita juga telah menyaksikan bagaimana insistusi kehakiman terus menghadapi krisis dengan isu tuduhan rasuah melibatkan hakim-hakim, isu percutian Ketua Hakim Negara dan seorang peguam terkemuka dan isu video VK Lingam yang terus mencacatkan pandangan masyarakat kepada institusi kehakiman.

Suatu masa dulu, institusi kehakiman Malaysia adalah dipandang tinggi dan di antara yang terbaik di kalangan negara Commonwealth. Tetapi imej itu telahpun lama terkubur. Malaysia tidak lagi mempunyai dan mengeluarkan hakim-hakim yang berkaliber dan dihormati seperti Tun Suffian, Tun Salleh Abas dan Eusoffe Abdool Cader. Walaupun saya bukan mempunyai latarbelakang undang-undang, tetapi dulunya saya begitu berminat membaca 'written judgements' hakim-hakim terkemuka seperti Tan Sri Eusoffe Abdool Cader, Datuk George Seah, Tun Suffian dan lain-lain yang begitu menarik, tetapi minat itu telah lama hilang disebabkan kredibiliti hakim-hakim sekarang yang boleh dipersoalkan.

Dalam isu Menteri Besar Perak, keputusan Mahkamah Rayuan adalah sesuatu yang tidak memeranjatkan, dan mungkin juga keputusan Mahkamah Persekutuan nanti juga boleh dijangkakan. Lihatlah kepada senarai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, dan mengharapkan sesuatu yang memihak kepada rakyat nanti dengan keputusan mahkamah tertinggi nanti mungkin hanya satu mimpi di siang hari.

Bagi saya, ungkapan 'Rakyat Hakim Negara' adalah begitu relevan kepada kemelut politik Perak sekarang. Biarlah rakyat yang menentukan siapa yang mereka inginkan sebagai Menteri Besar mereka dan biarlah mereka yang menjadi hakim yang menentukan pemimpin mereka. Keputusan siapa Menteri Besar kepada rakyat Perak tidak sepatutnya ditentukan oleh Augustine Paul, Zaki Tun Azmi atau Ariffin Zakaria atau lain-lain hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada tahun 1995, calon BN, Dato' Lee Chong Meng telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai pemenang kerusi Bukit Bintang, dan seterusnya beliau telah dikenali sebagai 'wakil mahkamah' dan bukannya 'wakil rakyat'. Kita tidak mahu Dato' Zambry juga nanti digelar 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya Menteri Besar rakyat Perak.

Biarkan rakyat menentukan nanti kerana mereka adalah hakim yang akan memberikan keputusan muktamad yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapapun.

 

blogger widget
Touchsmart PC