Tuesday, January 1, 2013

Anekdot Haji 2001

Saya telah mengerjakan kefardhuan haji pada tahun 2001, pada usia belum mencapai 40an. Terlalu banyak pengajaran yang saya perolehi sepanjang melakukan ibadah ini dan amat perlu rasanya saya perturunkan beberapa cerita di sini untuk dikongsi bersama.

(i)    Semasa sedang menunggu waktu solat Isyak di Masjidil Haram, saya sempat berbual dengan seorang pemuda Turki yang merupakan seorang jurutera aeronautik di German. Satu soalan beliau yang telah membuka mata saya ialah pertanyaan beliau 'Brother, just imagine during this moment here, Hajar was left alone with Ismail with darkness enveloping them and cold rocks at their foot'. Satu soalan yang telah berjaya membuka mata saya yang selalu komplen keletihan bila melakukan sai'e walaupun dilindungi bumbung di atas kepala dan beralaskan jubin sepanjang Safa dan Marwah.

(ii)     Di hotel tempat kami menginap, terdapat dua pasang suami isteri yang selalu bersendirian sesama mereka, terutamanya semasa makan. Kadang-kadang terdetik di hati saya yang memandang negatif kepada mereka ini yang seperti tidak begitu bergaul dengan orang lain. Setelah beberapa lama, saya sempat mengenali mereka dan sedikit sebanyak mengetahui latar belakang mereka. Rupa-rupanya salah seorang daripada mereka baru sahaja keluar daripada CCU kerana masalah jantung, sementara isteri kepada yang seorang lagi sedang mengidap kanser payudara. Sudah semestinyalah siisteri kepada yang menghadapi masalah jantung itu perlu memastikan suaminya makan makanan yang seimbang dan berkhasiat bagi menjamin kesihatan jantung suaminya, sementara yang seorang lagi akan mengambil semua masa yang terluang dengan isterinya bagi memberikan support kepada isterinya yang sedang sakit itu. 

(iii)    Pada satu hari Jumaat, saya agak terlewat ke masjid dan terpaksa menunggu waktu solat di luar masjid dan di atas jubin di bawah panahan terus cahaya matahari. Di sebelah saya duduk seorang lelaki yang mungkin berasal daripada benua India ataupun daripada Myanmar, yang berpakaian agak kotor dan tidak begitu terurus. Panas matahari begitu menikam diri, dan saya terpaksa menundukkan kepala dan menutup mata sambil menahan bahang matahari tengahari itu. Tiba-tiba saya terasa seperti badan saya mendapat teduhan matahari, dan bahang yang saya rasa tadi tiba-tiba hilang. Bila saya membuka mata, saya dapati yang lelaki 'kotor' ini sedang melebarkan kain serbannya dan memayungi saya dengan kain itu.

..............................................................................................

Hidup adalah satu tarbiyah berpanjangan untuk semua Muslim, dan semua aktiviti dalam ibadat haji juga adalah merupakan tarbiyah bagi sesiapa yang ingin mencari pengajaran daripadanya. Pemuda Turki itu telah membuka mata saya tentang pengorbanan satu keluarga para anbiya' di wadi yang tidak berpenghuni (Mekah) dan membandingkan dengan keadaan kita sekarang yang hanya melaksanakan syiar tanpa menghayati sejarah di sebaliknya. Dua pasang suami isteri itu juga telah memberi satu tarbiyah kepada saya untuk tidak membuat sebarang penilaian awal ke atas apa saja yang orang lain lakukan. Setiap orang mempunyai 1001 sebab dalam melakukan apa saja, dan siapa kita untuk memberikan hukuman? Seorang lelaki yang saya pandang rendah pada awalnya rupanya mempunyai akhlak yang jauh lebih terpuji daripada saya dan menggunakan serbannya bagi meringankan sedikit penderitaan seorang manusia yang duduk di sebelahnya setakat mana yang ia mampu.

Memang, hidup ini adalah satu tarbiyah berpanjangan.

Monday, December 31, 2012

Mengingati Ayah

Pada 31 Disember 2012, genaplah 4 tahun saya kehilangan seorang ayah. Seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi, seorang yang memandang jauh ke hadapan dan seorang pejuang pendidikan agama. 


Rasanya seperti baru semalam Ayah melihat kami dari jauh semasa kami bermain-main di padang sekolah Naim di Langgar. Kemudian kami akan dipanggil oleh Ma untuk makan malam, sebelum masuk waktu Maghrib.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah balik dari pasar dengan membawa buah tangan ala kadar, sama ada jagung rebus atau kuih-kuih untuk kami. Dan kami akan menyambut Ayah balik dari pasar dengan penuh harapan.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah balik dari menjual berbagai barangan seperti ubat-ubatan, batu permata dan lain-lain hingga ke merata tempat, semuanya bagi menyara keluarga yang besar ini.

Rasanya seperti baru semalam kami mengikut Ayah bersolat hariraya di Tapang. Kemudiannya kita akan ke kubur Tok Ayah dan Wa, di mana Ayah akan terkumat-kamit membaca surah-surah sambil mencabut lalang dan rumput di atas kuburan mereka.

Rasanya seperti baru semalam mengikut Ayah ke pejabat Persatuan Ibubapa Mengajar Anak-Anak Membaca AlQuran di Jalan Pengkalan Chepa, di mana Ayah akan berbincang dengan orang-orang di pejabat itu tentang langkah-langkah memastikan anak-anak dapat menguasai bacaan alQuran dengan baik.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah datang menjenguk kami di sekolah Maahad Muhammadi bagi memastikan kami belajar dengan tekun. Kekerapan Ayah menjenguk kami di sekolah menjadi buah mulut guru-guru kerana ini tidak dilakukan oleh ibubapa lain. Baru-baru ini semasa bercakap dengan Cikgu Asmak melalui telefon, perkara yang disebut-sebutnya ialah sikap Ayah yang selalu melawat kami di kelas, walaupun agak kepenatan mengayuh basikal.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah merenung jauh bila kami berdua serentak mendapat tawaran ke Kolej Islam Klang. Mungkin Ayah memikirkan bagaimana untuk mencari sumber kewangan bagi membiayai kos ke Kolej nanti.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah begitu bangga menghantar kami ke Kolej Islam dan menyebut nama abang-abang dan kakak-kakak yang pernah belajar di situ di hadapan ibubapa yang lain. Ayah nampak begitu bangga dengan 'harta-harta' ini.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah gigih mengajak anak-anak kampung belajar di sekolah agama. Semasa zikra setahun pemergian Ayah, Arif yang Ayah masukkan ke Maahad Muhammadi dulu sekali lagi bercerita tentang betapa beliau menghargai jasa Ayah yang menjadikannya seorang 'manusia'. Memang Arif menjadi seorang yang berjasa, seperti Ayah kerana dia adalah seorang guru, satu karier yang Ayah memang galakkan. Begitu juga dengan Min yang sekarang ini menabur bakti untuk anak-anak di kawasan taman perumahannya.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah menyambut kami pulang ke Kota Bharu dengan senyuman, dan Ayah akan menghantar kami di luar rumah untuk kembali ke KL dengan iringan bacaan doa dan ayat-ayat yang bacakan hinggalah kami menaiki kereta untuk meneruskan perjalanan.

Rasanya seperti baru semalam melihat Ayah terlantar, dan kami akan balik hampir setiap bulan bagi menjenguk Ayah, melayan semua permintaan Ayah dan mengurut-urut badan Ayah. Rasanya seperti tidak puas kami melayan keinginan Ayah di masa Ayah sihat, seperti minat Ayah kepada jam, batu permata dan pakaian.

Rasanya seperti baru semalam Ayah berkata 'La, jangan tinggalkan Ayah' pada tengahari Ayah meninggalkan kami, kata-kata yang akan terpahat dalam diri ini hingga ke akhir hayat.

Semoga Ayah redha dengan kami semua.



Friday, February 24, 2012

Satu Tribute

Sejak akhir-akhir ini, bila terdengar sajak Pak Samad Said yang selalu dibacakan di Radio IKIM, bulu roma saya akan meremang. Satu sajak yang amat mengesankan jiwa saya, dan setiap kali mendengarnya, hati saya amat tersentuh. Bait-bait sajaknya penuh bermakna dan banyak memberi pengajaran.

Dan akhir-akhir ini juga, saya selalu membaca satu blog yang memaparkan kegigihan seorang manusia biasa dalam memastikan anak bangsanya berdiri sama tinggi dengan orang lain, dan tidak terus dibelenggu kemiskinan. Perjuangan yang hampir sama dengan perjuangan arwah ayah saya dan sekarang diwarisi oleh anak-anaknya yang hampir semuanya adalah merupakan educationists.

Sajak ini serta lagu yang dialunkan oleh kumpulan penyanyi puitis Kopratasa kegemaran saya ini ini adalah satu tribute kepada Pak Cik di http://almanar-nuri.blogspot.com/. Perhatikan bait-bait dalam bold yang amat kena dengan perjuangan Pak Cik.

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan

Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas


Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

~ A. Samad Said



Sunday, January 29, 2012

Pasti Kau Akan Menangis, Wahai Umar


Pasti Kau Akan Menangis, Wahai Umar

Apa katamu wahai Umar
Bila melihat umat ini
Tidur nyenyak di hotel 7 bintang
Dan bermewahan makan minum
Sedangkan kau hanya tidur di atas pelepah tamar
dan engkaulah orang pertama merasa lapar kalau rakyat kelaparan
dan orang terakhir merasa kenyang bila rakyat kenyang

Apa katamu nanti wahai Umar
Bila melihat umat ini dipimpin sang penipu dan pendusta
Yang mengaut harta milik negara
Yang rakus memegang kuasa secara dusta
Sedang di zamanmu
Semua amir adalah golongan terpilih
Yang enggan menerima amanah
Hinggakan katamu:
"Kamu serahkan kepadaku amanah ini, sedangkan kamu membiarkanku sendirian"

Apa katamu nanti wahai AlFaruq
Bila mendengar umat ini
Terbang ke sana sini melewati bumi Al-Aqsa ini
Menjadikan bumi barakah ini bagaikan yatim sendirian
Sedang suatu masa dulu
kau membebaskan Al-Aqsa
denganbergilir menaiki unta dengan khadammu

Tahukah kamu wahai Umar
Bahawa kami cukup berbangga denganmu
Tapi
Kau pasti akan menangis wahai Umar
Bila 1300 tahun selepas AlAqsa kau bebaskan
Umat ini sekali lagi menantikan kehadiranmu
Kerana umat ini begitu ketandusan sosok sepertimu



Friday, January 13, 2012

Doa Untuk Bumi Syam

AlHajjaj bin Yusuf asSaqafi pernah berkata tentang penduduk bumi Syam:

'Jangan kami tertipu dengan sifat sabar mereka, dan jangan kamu memperlekehkan kekuatan mereka. Jika mereka bangkit untuk menolong seseorang, mereka tidak akan membiarkannya sehinggalah mereka meletakkan mahkota di atas kepala orang itu. Jika mereka bangkit menentang seseorang, mereka tidak akan melarikan diri sehinggalah mereka dapat memenggal leher orang itu. Mereka adalah sebaik-baik tentera di bumi ini'.

'Takutilah kamu tentang tiga perkara mengenai orang Syam: Pertama, wanita-wanita mereka jangan kamu sakiti, kerana nanti kamu akan dibaham seperti singa membaham mangsanya. Kedua, bumi mereka, kerana nanti kamu akan diperangi oleh batu-batan dari gunung-gunung mereka. Ketiga, deen (agama) mereka, kerana nanti mereka akan memusnahkan dunia kamu'.

Seorang taghut seperti AlHajjaj, yang pernah merosakkan Kaabah dengan meriam batu (manjanik) sendiri merasa gerun untuk berhadapan dengan ahli Syam. Sehingga sekarang mereka setelah beberapa bulan berlalu, mereka masih cekal melawan kezaliman thaghut di bumi mereka. Semoga mereka mendapat kemenangan dalam masa yang terdekat, insya Allah.




Sunday, January 8, 2012

Ulama' Dan Umara'


Gambar di atas hampir tidak ada kaitan dengan posting saya kali ini. Idea untuk menulis tajuk di atas datang bila melihat seorang menteri yang men'tadbir' urusan agama dengan penuh hormat mengucup tangan seorang bekas Perdana Menteri, sesuatu yang tidak pernah diajar di dalam Islam.

Mencium tangan hanya diharuskan bagi tujuan memuliakan ulama' dan ahli zuhud, atau di antara pelajar dengan guru, di antara suami dan isteri ataupun di antara anak dengan orang tua. Imam Malik contohnya mengharamkannya jika ianya dilakukan dengan tujuan riya', takabbur atau maksud duniawi seperti mengampu pemimpin dan sebagainya.

Hubungan di antara ulama' dan umara' di dalam Islam amat unik, dan sejarah Islam telah memaparkan bahawa umara' yang terbaik adalah sama ada dari golongan ulama', ataupun yang sentiasa mendampingi ulama'. Ada baiknya kita melihat contoh sikap dan pendirian khalifah terbilang, Harun AlRasyid dengan ulama' muktabar AlFudhail ibn 'Iyadh dalam cerita di bawah dan melihat bahawa umara' amat memerlukan ulama' dalam melakukan 'check and balance' dalam pentadbiran ummah.

Harun AlRasyid adalah seorang suka menghadiri majlis para ulama' di Iraq tanpa diketahui orang ramai. Baginda membahagikan malam beliau untuk tujuh perkara; satu malam untuk menemui menteri-menteri bagi mengetahui keadaan rakyat, satu malam untuk para pegawai bagi membincangkan urusan khazanah negara dan membincangkan kemaslahatan ummah, satu malam selanjutnya khusus untuk perjumpaan dengan para panglima tentera bagi membincangkan urusan sempadan, satu malam untuk berjumpa dengan para ulama' dan fuqaha' bagi mempelajari ilmu, satu malam untuk berjumpa para penuntut ilmu dan ahli ibadat bagi mendapatkan nasihat dan pandangan mereka, satu malam lagi untuk bersama dengan keluarga baginda, dan satu malam lagi untuk baginda bersendirian tanpa diketahui sesiapapun apa yang dilakukannya, bagi baginda mendekatkan diri dengan Penciptanya.

Pada suatu malam sedang baginda di dalam majlis Muhammad ibn AsSammak, baginda telah mendengar mereka yang hadir menyebut nama AlFudhail ibn 'Iyadh serta memuji kelebihan ilmu dan ibadah ulama' ini. Ini menyebabkan baginda teringin untuk berjumpa dengan AlFudhail. Baginda kemudian menuju ke Hijaz dengan ditemani Abdullah ibn AlMubarak bagi menemui AlFudhail. Bila mereka telah sampai ke tempat kediaman AlFudhail, Abdullah ibn AlMubarak telah berkata kepada Harun alRasyid "Wahai Amirul Mu'minin, jika AlFudhail mengenali tuanku, nescaya beliau tidak akan membenarkan tuanku berjumpa dengannya". Harun alRasyid berkata "Kamu mintalah izin darinya, dan jangan beritahunya siapa sebenarnya aku sampai dia izinkan aku masuk".

Ibn AlMubarak pun meminta izin untuk berjumpa AlFudhail dan berkata "Bolehkah lelaki yang bersamaku ini masuk sama?" Tanya AlFudhail "Siapakah yang bersamamu itu?" Jawab Ibn AlMubarak "Seorang lelaki dari kalangan Quraisy". Ujar AlFudhail "Tidak boleh, aku tidak ada apa-apa keperluan untuk berjumpa seorang lelaki dari Quraisy". Jawab AlFudhail "Orang ini mempunyai ilmu dan kefahaman yang tinggi". AlFudahil berkata lagi "Adakah kau tahu bahawa Iblis adalah paling banyak ilmu?" Jawab Ibn AlMubarak lagi "Orang ini adalah pemimpin Quraisy di zaman ini". AlFudhail menjawab "Jika begitu katamu, biarkanlah dia masuk".

Harun AlRasyid pun masuk berjumpa AlFudhail, bersalam dan duduk di hadapan AlFudhail. Mereka kemudian bercakap-cakap sebentar. Ibn AlMubarak bertanya "Wahai AlFudhail, adakah kamu tahu siapakah lelaki ini? Lelaki ini adalah Harun AlRasyid, Amirul Mu'minin". AlFudhail pun memandang Harun AlRasyid sejenak, kemudian berkata "Wajah yang elok inilah yang akan disoal di kemudian hari tentang umat Muhammad dan dipertanggungjawabkan oleh Allah nanti. Semoga engkau sentiasa mendapat keampunan".

Kemudian AlFudhail terus menasihati Harun AlRasyid sehingga menyebabkan baginda menangis.

Inilah hubungan yang saling menyempurnakan di antara umara' dan ulama' di masa kegemilangan Islam. Tidak hairanlah zaman Harun AlRasyid dikenali sebagai zaman keemasan Islam. Rosaknya ummah ini ialah bila perkara sebaliknya terjadi; para ulama' menghampiri para umara' bagi mendapatkan sedikit habuan keduniaan, dengan niat mengampu dan dengan menjual prinsip kebenaran yang sepatutnya sentiasa menjadi pegangan golongan ulama' dan memastikan golongan umara' sentiasa berpegang dengan prinsip ini. Bilakah hubungan seumpama ini akan berulang kembali?


Wednesday, December 21, 2011

Dedikasi Untuk Seorang Isteri



BILA TANGANKU KU HULURKAN

(dedikasi sempena ulangtahun ke 25)

Ingatkah lagi saat itu
Satu hari lebih dua dekad lalu
Bila seorang pemuda yang tidak punya apa-apa
Jauh sekali dari seorang lelaki pilihan
Menghulurkan tangannya kepadamu
Meminta sesuatu yang ia sendiri tidak pasti
Menyerahkan satu harga diri di antara sela-sela jarinya
Dan kau menyambutnya mungkin antara sangsi dan harapan

Ingatkah lagi waktu itu
Bila kita disatukan
Kita menganyam kasih dalam seribu perbezaan
Mengharap satu pertautan yang berpanjangan
Mendoakan satu keserasian dalam satu perkongsian
Mengimpikan satu kebahagiaan dalam hari-hari mendatang

Isteriku
Terima kasih kerana sudi menemaniku
Bersama dalam kepayahan membina kehidupan
Berkongsi mengecapi pahit manis satu perkongsian
Betah menerima seorang insan yang penuh kekurangan

Isteriku
Terima kasih kerana memberiku:
seorang Al-Abrar, muga ia sentiasa di kalangan orang yang membuat kebaikan
seorang Al-Fateh, hendaknya ia sentiasa mampu menguasai dirinya
seorang Al-Faqihah, biarlah ia menjadi seorang yang faham tentang agamanya
seorang Munibah, harapnya ia selalu taat kepada Tuhannya dalam semua perkara
seorang Abid, doakan ia menjadi hamba yang melimpah imannya

Isteriku
Bila tanganku aku hulurkan
Dan ianya disambut penuh hormat
Akan kujunjung penghormatan itu
Kerana di situ juga ada mimpi dan harapan kita bersama

Shah Alam
21 Disember 2011
 

blogger widget
Touchsmart PC